Umur yang sesuai untuk mengandung

Umur Yang Sesuai Untuk Mengandung Bukan Segalanya

3 min bacaan

Hampir semua wanita akan berasa tertekan apabila memikirkan tentang kehamilan anak pertama mereka. Adakah ini umur yang sesuai untuk mengandung? Apakah masalah yang akan menanti saya semasa hamil? Ini adalah antara perkara yang mengganggu fikiran setiap wanita.

Kebanyakan pasangan akan berbincang untuk menentukan masa yang sesuai untuk mendapatkan anak. Pakar Perubatan akan mencadangkan usia tertentu untuk menimang cahaya mata, namun anda mungkin tidak bersetuju dengan cadangan doktor anda.

Terdapat beberapa perkara yang boleh mempengaruhi keputusan anda untuk merancang kelahiran anak anda.

Apakah Umur Yang Sesuai Untuk Mengandung?

Umur yang sesuai untuk mengandung

Kebanyakan pakar perubatan bersetuju bahawa umur yang sesuai untuk menimang cahaya mata pertama ialah dalam lingkungan awal usia 20-an hingga pertengahan 20-an. Mereka berpandangan bahawa wanita sekarang tidak mempunyai kekuatan atau daya tahan tubuh badan kerana gaya kehidupan mereka yang mencabar seterusnya menyebabkan tekanan.

Apabila anda meningkat tua pelbagai masalah kesihatan akan timbul dan ini akan memberi kesan kepada peluang seseorang wanita itu untuk hamil. Gaya hidup yang semakin moden dan sibuk akan mempengaruhi kesuburan wanita, terutamanya bagi wanita berkerjaya. Disebabkan inilah pakar perubatan percaya bahawa usia terbaik untuk kelahiran bayi pertama ialah pada pertengahan 20-an.

Namun usia bukanlah faktor utama yang menentukan kelahiran bayi anda. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah:

Pilihan kerjaya yang baik

Bagi wanita yang bekerjaya, mereka biasanya akan meletakkan kerjaya mereka sebagai keutamaan. Perkahwinan pula akan dijadikan sebagai motivasi kehidupan seterusnya menunjukkan bahawa perancangan kehamilan bukan perkara yang diutamakan. Wanita berkerjaya berpendapat kestabilan dari segi kewangan adalah perkara yang paling penting sebelum cahaya mata.

Keadaan kewangan sebelum kehamilan

Setiap pasangan berkahwin sedar tentang kepentingan kewangan yang stabil sebelum menimang cahaya mata. Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dan segala kehendak ahli baru keluarga mereka perlu dipenuhi. Perkara seperti kesihatan, pemakanan, serta kos persekolahan adalah di antara isu yang perlu difikirkan dan dipenuhi nanti.

Oleh yang demikian, perbincangan yang menyeluruh serta pertimbangan yang bijak sangat penting untuk membuat keputusan sekiranya pasangan ingin menimang cahaya mata.

Tahap kesihatan ibubapa

Selain daripada aspek kewangan, setiap pasangan juga perlu memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Sebelum seseorang wanita merancang untuk hamil, adalah penting untuk mempunyai kesihatan yang optimum serta tubuh badan fizikal yang sihat.

Jika perkara ini tidak dapat dipenuhi anda akan mengalami kesukaran untuk hamil atau melahirkan anak. Perkara ini sekali lagi dapat dikaitkan dengan gaya hidup wanita berkerjaya yang mungkin penuh dengan tekanan.

Kesediaan mental untuk menimang cahaya mata

Aspek kewangan anda stabil? Anda juga seorang yang sihat? Dua perkara ini masih tidak mencukupi untuk mempersiapkan anda untuk memikul tanggungjawab terhadap kelahiran bayi. Adakah anda mampu membahagikan kasih sayang dan perhatian anda dengan pasangan anda? Perubahan kasih sayang dan perhatian ini biasanya menjadi punca kepada masalah perkahwinan selepas kelahiran cahaya mata.

Begitu juga dengan perubahan emosi yang besar, ketidakseimbangan hormon serta gejala yang akan dihadapi sepanjang kehamilan, adalah antara cabaran yang akan dihadapi oleh pasangan berkahwin. Jangan lupa dengan keupayaan diri anda untuk mendidik anak dengan sempurna sehingga mereka mencapai kejayaan. Kesemua perkara ini adalah isu yang perlu anda selesaikan dengan baik.

Terdapat sebilangan kes di mana pasangan mendapatkan anak kerana terpengaruh dengan rakan-rakan mereka yang sudah menimang cahaya mata. Ada yang juga berpakat untuk melahirkan anak pada masa atau tahun yang sama. Ramai tidak sedar atau tidak tahu tentang masalah yang mereka akan hadapi di rumah atau sepanjang tempoh membesarkan anak-anak mereka.

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa usia bukanlah satu penentu yang penting di dalam merancang kelahiran anak. Banyak lagi aspek lain seperti faktor kewangan, status kesihatan serta persiapan mental ibu bapa sebelum menimang cahaya mata. Perancangan yang teliti serta perbincangan bersama pasangan akan membantu anda membuat keputusan yang bijak.