Ujian FSH Hari ke-3 Khas Untuk Wanita

Ujian FSH Hari ke-3 Khas Untuk Wanita

4 min bacaan

Ujian FSH Hari ke-3 akan dilakukan kepada wanita yang tidak dapat hamil. Ia merupakan suatu ujian diagnostik yang digunakan untuk menguji tahap FSH bagi membantu memeriksa keadaan ovari wanita dan memberikan maklumat berguna mengenai peluang kehamilan.

Demi menyokong kehamilan, hormon-hormon estrogen dan progesterone yang dirembeskan mestilah mencukupi manakala hormon perangsang folikel (FSH) pula memainkan peranan penting dalam memfasilitasi proses ovulasi.

ujian FSH hari ke-3

Hormon perangsang folikel adalah hormon glikoprotein yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari. Ia merangsang pertumbuhan folikel.

Istilah ‘folikel’ merujuk kepada struktur kecil yang terletak pada ovari. Setiap folikel mengandungi telur. Apabila wanita berovulasi, folikel akan pecah dan melepaskan telur yang matang. Ia juga dipanggil pembuahan atau persenyawaan telur oleh sperma bagi wanita untuk hamil.

Sekiranya tahap FSH tidak normal, peluang anda untuk akan hamil turut berkurangan.

Apa itu Ujian FSH Hari ke-3?

Ia dikenali sebagai ujian darah dan dilakukan pada hari ketiga dalam kitaran haid wanita. Seperti yang kita sebutkan sebelum ini, tahap hormon perangsang folikel pada hari ketiga dapat membantu menentukan kandungan ovari wanita seterusnya melihat kepada kemampuan mereka untuk melepaskan telur yang sihat.

Perembesan FSH pada tahap awal dalam kitaran haid adalah penting bagi sistem pembiakan untuk berfungsi dengan baik. Jadi, tahap FSH pada fasa awal kitaran haid semestinya wujud pada tahap normal agar wanita dapat mengembangkan folikel. Ini kerana, rembesan FSH akan merangsang pertumbuhan folikel yang berfungsi sebagai kantung telur.

Terdapat beberapa folikel yang dihasilkan pada fasa folikel awal tetapi hanya satu folikel yang mengandungi telur matang di mana kantungnya akan pecah semasa ovulasi. Sekiranya telur itu berkualiti baik dan ia disenyawakan dengan sperma, maka seseorang wanita itu akan mengandung.

Oleh itu, inilah sebabnya kenapa anda perlu memeriksa tahap FSH pada waktu ini untuk menilai simpanan ovari.

Ujian FSH Hari ke-3 dengan Kesuburan

Rembesan FSH dalam jumlah yang tepat akan memudahkan pengembangan folikel ovari yang mana tahap FSH tidak normal dipercayai mempunyai kaitan dengan ketidakmampuan wanita untuk hamil. Tahap FSH biasanya diuji pada hari ketiga dalam kitaran haid bagi wanita yang mempunyai masalah haid tidak teratur dan ketidaksuburan.

Ini kerana, jika ujian dilakukan pada bila-bila masa selepas hari kelima haid, tahap estradiol dan estrogen dalam badan akan mulai meningkat dan tahap tinggi estrogen akan menekan tahap FSH. Dengan itu, seseorang wanita itu akan mendapat nilai FSH yang lebih rendah walaupun tahap FSH sebenar adalah lebih tinggi.

Jadi, untuk memastikan tahap FSH tidak dipengaruhi oleh tahap estrogen yang tinggi, maka waktu terbaik untuk memeriksa tahap FSH adalah pada hari ketiga atau kedua di mana tahap estradiol di dalam badan adalah rendah.

Selain daripada mendapatkan bacaan yang tepat mengenai tahap FSH, ujian ini juga penting untuk mengenal pasti ketidakseimbangan hormon di mana ia boleh didiagnosis pada peringkat awal. Oleh itu, ujian untuk memeriksa tahap estrogen dan progesterone juga dapat dilakukan.

Bacaan FSH Hari ke-3

Tahap FSH dapat membantu untuk menilai simpanan ovari seterusnya menjelaskan hubungan tahap FSH tidak normal dengan kemandulan. Tahap FSH berbeza-beza pada setiap peringkat kitaran haid wanita. Pada fasa awal kitaran haid, rembesannya melepaskan gonadotropin iaitu hormon untuk merangsang pengeluaran FSH yang seterusnya merangsang perkembangan folikel ovari.

Sekiranya tahap FSH tidak dapat dicapai dalam julat normal semasa fasa folikel, maka simpanan ovari dan bekalan telur akan terjejas. Apabila kuantiti dan kualiti folikel ovari bermasalah, ia akan menimbulkan masalah lain.

Tahap hormon perangsang folikel biasanya berada dalam lingkungan 4.7 tо 21.5 mIU / ml semasa kitaran haid. Bacaan FSH seharusnya menjadi tinggi apabila telur dilepaskan semasa ovulasi berlaku.

Seorang wanita dikatakan mempunyai simpanan ovari yang baik apabila tahap hormon perangsang folikel adalah lebih rendah daripada 9 mIU / ml pada hari ketiga kitaran haid. Tahap FSH yang normal pada peringkat awal kitaran haid menandakan telur yang berkualiti baik.

Kebiasaannya, wanita akan mempunyai tahap FSH yang tinggi selepas menopaus. Namun, ia menjadi suatu masalah yang serius jika seseorang wanita di usia subur mempunyai tahap FSH yang tinggi.

Sekiranya tahap FSH lebih tinggi daripada 15 mIU / ml, ia menunjukkan bahawa simpanan ovari wanita menjadi semakin berkurang. Jika nilainya lebih tinggi iaitu melebihi 25 mIU / ml pula, ia menandakan kegagalan ovari.

Ujian FSH hari ke-3 dipercayai dapat memberikan pandangan yang berharga bagi wanita yang tidak dapat hamil. Namun, ujian diagnostik hormon termasuklah estrogen, progesterone dan luteinizing juga perlu dilakukan.

Ini kerana, tahap FSH yang tidak normal adalah disebabkan oleh gangguan yang berkaitan dengan kelenjar pituitari dan hipotalamus serta pelbagai masalah kesihatan yang tidak normal. Jadi, itulah pentingnya menjalani pelbagai jenis ujian untuk mengenal pasti penyebab kepada tahap FSH yang rendah.

Pada hari ini, kit ujian rumah yang menjimatkan kos untuk menguji sendiri tahap FSH sudah banyak tersedia di farmasi. Walau bagaimanapun, ia adalah lebih baik jika sampel darah diambil oleh pakar dan tahap FSH diuji oleh ahli patologi.

Segeralah berjumpa dengan doktor kerana mereka dapat membantu untuk mengenal pasti masalah sebenar yang mengganggu anda untuk hamil.