Tanda wanita tidak subur

Tanda wanita tidak subur

3 min bacaan

Banyak tanda-tanda wanita tidak subur tidak dapat dibuktikan. Namun, tanda yang biasanya dapat dilihat adalah apabila wanita itu tetap tidak dapat hamil walaupun telah melakukan hubungan seks tanpa perlindungan dalam lingkungan usia kesuburan sebanyak beberapa kali.

Wanita tulen berkemampuan untuk menjadi ibu suatu hari nanti. Namun, ada sesetengah wanita tidak dapat hamil kerana masalah kemandulan. Kemandulan wanita terjadi disebabkan banyak sebab termasuklah masalah ovulasi, sindrom ovarium polikistik (PCOS), masalah tiroid, ketidakseimbangan hormon, tiub fallopio tersekat, kegemukan dan lain-lain lagi.

Oleh itu, adalah menjadi keperluan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar pembiakan.

Gejala kemandulan wanita

Dalam perenggan berikut, kita akan membincangkan mengenai gejala-gejala kemandulan wanita. Di sini, kami akan membantu mereka untuk mengenal pasti tanda-tanda peringkat awal dan meminta mereka mendapatkan rawatan perubatan sebelum perkara-perkara tersebut gagal dipulihkan.

Tidak ada gejala yang jelas untuk menunjukkan bahawa seseorang wanita mengalami kemandulan. Mereka hanya dapat mengetahuinya jika tidak dapat mengandung. Namun, terdapat beberapa petanda kemandulan yang perlu diambil perhatian sebelum semuanya terlewat. Berikut adalah beberapa simptom ketidaksuburan wanita.

Masalah kitaran haid

Tempoh haid yang normal bagi wanita adalah sekitar 28 hingga 30 hari. Namun, jika kitaran haid tidak teratur, ia benar-benar menjadi satu isu penting. Ketidakteraturan pada tarikh kitaran itu menunjukkan masalah ovulasi. Sekiranya tempohnya bermula 24 hari selepas 36 hari dari tarikh haid terakhir, ia mungkin menunjukkan tanda kemandulan.

Menopaus awal juga dianggap sebagai salah satu daripada penyebab masalah kemandulan yang berlaku kepada wanita berusia 30-an. Maka, segeralah berjumpa doktor sekiranya haid tidak teratur selama 2 bulan.

Dalam pada itu, sesetengah wanita akan mengalami pendarahan yang berlebihan semasa haid. Ini mungkin satu petanda kemandulan. Akan tetapi, ianya tidak bermakna setiap wanita yang mengalami pendarahan berlebihan mempunyai masalah kemandulan kerana terdapat ramai juga wanita yang mengalami tempoh haid panjang dalam sebulan.

Walau bagaimanapun, kekurangan pendarahan dalam haid juga merupakan satu isu yang penting. Sekiranya anda memerhatikan pendarahan yang berlebihan atau berkurangan lebih daripada 2 fasa haid, anda perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Sakit semasa persetubuhan atau kedatangan haid

Haid boleh jadi akan menyakitkan. Namun, jika kesakitan disertai dengan kekejangan dan sakit perut yang teruk, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor. Hal ini mungkin terjadi disebabkan oleh pembentukan parut tisu dalam tiub fallopio yang tersumbat lalu mendatangkan kesakitan yang teruk.

Seterusnya, tanda kemandulan lain adalah wanita itu mengalami kesakitan yang teruk semasa melakukan persetubuhan. Jadi, mereka harus terus memerhatikan segala gejala-gejala yang berlaku seterusnya mengambil nasihat secara berkala daripada pakar.

Keguguran berulang

Keguguran berulang-ulang yang berlaku pada minggu ke-20 kehamilan adalah salah satu tanda kemandulan. Namun, tidak semestinya ia disebabkan oleh kemandulan kerana keguguran juga boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor lain. Tetapi, ya, selalunya ia merupakan tanda kemandulan.

Imbangan hormon

Ketidakseimbangan hormon menunjukkan masalah kemandulan pada wanita kerana fluktuasi estrogen banyak menyumbang kepada kemandulan. Oleh itu, sekiranya anda mengalami kenaikan berat badan yang luar biasa, pertumbuhan rambut wajah yang berlebihan dan jerawat kronik tetapi anda tidak dapat mengawal keadaan itu, maka anda memerlukan bantuan perubatan.

Sekiranya tanda di atas dijumpai, maka segeralah berjumpa doktor. Jangan putus asa jika tanda kemandulan dikesan kerana anda mempunyai banyak pilihan untuk merawat masalah ini dari segi ubat-ubatan, suntikan mahupun pembedahan. Sekiranya berlaku kemandulan, cuba kenal pasti dan hilangkan gejala-gejala tersebut.

Oleh itu, saya menyeru kepada pembaca lelaki agar tolong beri sokongan kepada pasangan ketika masa kesukaran ini kerana kemandulan boleh mengakibatkan kemurungan. Bantulah mereka untuk mengatasi keadaan ini dan beritahu mereka bahawa tiada apa-apa boleh mengurangkan rasa cinta anda terhadapnya.