Punca Susah Mengandung Wanita

4 min bacaan

Masalah punca susah mengandung khususnya pihak wanita menjadi topik perhatian utama bagi sebilangan besar pasangan di dunia. Menurut anggaran, sebanyak 15% pasangan di Malaysia adalah tidak subur. Kemandulan ditentukan oleh tanda-tanda ketidakmampuan untuk hamil setelah setahun mencuba untuk hamil.

Baik lelaki mahupun wanita, kedua-duanya berpotensi untuk mandul. Bahkan kemandulan sekunder setelah mempunyai anak pertama.

Wanita akan mengalami penurunan tahap kesuburan setelah berusia 30 tahun ke atas dan ia akan menjadi ketara sebaik sahaja berusia 35 tahun ke atas. Tahap kesuburan ditentukan oleh beberapa faktor. Ini bermakna, terdapat beberapa faktor yang berhubungkait dengan kemandulan lelaki dan wanita.

Punca Susah Mengandung Wanita

Apa yang boleh menyebabkan kemandulan pada wanita?

Kemandulan wanita boleh disebabkan oleh masalah ginekologi serta masalah dan kecacatan pada organ pembiakan seperti ovari dan tiub fallopio. Ia juga berkait dengan kegagalan untuk berovulasi. Bahkan, masalah hormon dan penyakit tertentu juga boleh menyebabkan seseorang wanita tidak subur.

Sindrom Ovari Polikistik (PCOS)

Ovari bertanggungjawab untuk menghasilkan telur. Jika ovari bermasalah, ia boleh mempengaruhi kesuburan. Salah satu masalah ovari yang paling biasa terjadi pada wanita adalah sindrom ovarium polikistik, iaitu masalah yang disebabkan oleh pengeluaran hormon androgen berlebihan melalui ovari.

Penyakit ini menampakkan kista kecil di sepanjang ovari dan kebanyakan wanita mempunyai masalah ini. Sindrom ovari polikistik juga adalah salah satu penyebab kepada kemandulan dan haid tidak teratur yang paling biasa terjadi dalam kalangan wanita.

Endometriosis

Endometriosis adalah masalah yang disebabkan oleh pertumbuhan tisu endometrium di luar rahim. Biasanya, tisu endometrium membentuk lapisan rahim. Tetapi, tisu-tisu itu tumbuh di luar rahim di tempat-tempat seperti ovari, tiub fallopio dan di dalam rongga pelvis.

Pertumbuhan tisu endometrium di luar rahim dapat mencegah kemasukan telur seterusnya mempengaruhi fungsi normal ovari, tiub fallopio dan rahim lalu mengakibatkan kemandulan.

Masalah pada Tiub Fallopio

Kerosakan dan penyumbatan pada tiub fallopio menyebabkan masalah kepada wanita. Sekiranya tiub fallopio rosak dan tersumbat, telur yang disenyawakan tidak dapat mencapai implantasi rahim.

Ini mengakibatkan peningkatan risiko kemandulan dan kehamilan ektopik apabila telur yang disenyawakan ditanam di luar rahim. Tiub fallopio boleh dirosakkan oleh penyakit kelamin seperti klamidia dan gonorea serta penyakit radang pelvis.

Masalah Ovulasi

Kehamilan tidak akan berjadi sekiranya ovulasi tidak berlaku. Ovulasi merujuk kepada pelepasan telur dari ovari. Ovulasi diatur oleh hormon luteinizing (LH) dan perangsang folikel (FSH). Penyimpangan dalam rembesan pengeluaran hormon dapat mencegah ovulasi lalu menyebabkan ketidaksuburan.

Seterusnya, ketiadaan ovulasi juga berkait dengan gangguan hipotalamus dan kelenjar pituitari yang bertanggungjawab untuk mengatur ovulasi dan seluruh kitaran haid.

Kegagalan Ovari Pramatang

Kegagalan ovari pramatang juga diketahui sebagai menopaus awal dan ia disebabkan oleh penipisan awal folikel ovari yang menghasilkan telur. Akibatnya, ovari gagal menghasilkan telur lalu menyebabkan kemandulan. Antara penyebab kepada kegagalan ovari pramatang termasuklah gangguan pada adrenal, hipofisis kelenjar tiroid, rawatan barah dan penyakit autoimun.

Penyakit Radang Pelvis

Penyakit radang panggul dianggap sebagai penyebab paling utama yang menyebabkan kemandulan kepada wanita muda di dunia. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria pada organ pembiakan atau struktur yang terletak di kawasan pelvis.

Antara organ-organ pembiakan, tiub fallopio lebih kerap terjejas dengan penyakit ini dan ia turut bertanggungjawab terhadap banyak kes yang berkaitan dengan penyakit radang panggul. Penyakit kelamin seperti klamidia dan gonorea juga merupakan faktor terpenting yang menyebabkan penyakit ini.

Sebab-sebab lain

Wanita kehilangan kesuburan kerana beberapa keadaan seperti ketidakseimbangan hormon, terdapat rembesan berlebihan dari hormon prolaktin dan kekurangan hormon perangsang folikel, pengembangan fibroid rahim dan tumor jinak di dinding rahim, lekatan pelvis, kecacatan struktur pada organ pembiakan, alahan sperma, gangguan tiroid, barah dan kesan rawatan barah, serta pengambilan ubat tertentu.

Faktor-faktor lain seperti, merokok, berat badan berlebihan dan kegemukan, stress, kekurangan berat badan, keguguran berulang, kekurangan zat makanan, gangguan makan seperti, anoreksia nervosa atau bulimia, senaman yang berlebihan dan pengambilan alkohol dan kafein berlebihan turut menyebabkan masalah kesuburan.

Rawatan untuk Kemandulan Wanita

Dalam kebanyakan kes, masalah kemandulan dapat diatasi secara berperingkat. Kejayaan dalam rawatan ini bergantung kepada beberapa faktor seperti penyebab kemandulan, usia wanita dan berapa lama dia mengalami kemandulan. Biasanya, kesuburan dapat dipulihkan dengan cara menyembuhkan dasar kepada masalah kesihatan.

Biasanya, ubat kesuburan digunakan untuk wanita yang gagal hamil akibat masalah ovulasi. Pembedahan juga mungkin diperlukan untuk merawat kemandulan tetapi ia bergantung kepada penyebabnya seperti penyumbatan tiub fallopio yang boleh diselesaikan melalui prosedur pembedahan. Sekiranya kemandulan tidak juga dapat diatasi, maka wanita mungkin perlu memilih teknologi pembiakan dibantu iaitu persenyawaan in-vitro.

Kesimpulannya, kemandulan adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Rawatan kemandulan yang tepat boleh ditentukan setelah faktor yang menyebabkan kemandulan dikenal pasti melalui ujian kesuburan wanita.

Tidak ada gejala spesifik yang menyebabkan kemandulan tetapi ramai wanita yang tidak subur mempunyai sejarah kitaran haid tidak normal, endometriosis dan sakit radang pelvis. Mereka harus diperiksa dengan teliti jika tidak dapat hamil selepas berusaha selama setahun.