6 Punca Sukar Hamil Anda Masih Amalkan Hari ini

3 min bacaan

Anda mungkin hairan sekiranya telah berusaha untuk mendapatkan zuriat tetapi masih lagi gagal tanpa mengetahui sebarang sebab. Walau bagaimanapun, wanita yang pernah mengalami beberapa siri keguguran memang akan mengalami kesukaran untuk hamil. Oleh itu, jika anda merupakan wanita yang susah untuk mendapat zuriat, berikut adalah punca sukar hamil yang mungkin berlaku, bahkan pada pasangan ingin mendapat anak kedua.

Faktor Umur

Semakin berumur seseorang lelaki dan wanita, semakin sukar untuk mereka mendapatkan zuriat. Apabila wanita telah berusia 35 tahun dan ke atas, frekuensi dan kualiti ovulasinya akan sangat terjejas. Telur-telur yang dikeluarkan oleh ovari pada setiap bulan dan hormon dalamannya tidak lagi sesuai untuk persenyawaan berbanding dengan mereka yang masih muda.

Manakala, jumlah air mani lelaki juga akan berkurangan setelah berusia 40 tahun. Oleh itu, jika anda atau pasangan anda berumur sedemikian, ia boleh dikatakan sebagai alasan kepada kemandulan.

Rujuk sini sekiranya ingin mendapat cara cepat hamil di usia 40-an.

Kekerapan Seks

Kekerapan hubungan seks yang dilakukan mungkin turut menjadi satu penghalang untuk hamil. Ada juga pasangan yang mengehadkan aktiviti seksual hanya pada hujung minggu atau dua minggu sekali. Kekurangan kekerapan hubungan seks memungkinkan peluang wanita untuk hamil menjadi rendah.

Jadi, lakukanlah hubungan seks pada waktu yang tepat iaitu dengan mengetahui masa yang paling subur bagi wanita dan melakukan persetubuhan dalam tempoh tersebut. Dengan menghitung tempoh tersebut dengan betul, anda tidak perlu risau lagi akan masalah tersebut.

Namun, kesuburan lelaki dan wanita juga harus dikenalpasti terlebih dahulu.

Merokok dan alkohol

Apabila seseorang lelaki merokok secara berlebihan, jumlah sperma akan berkurangan lalu menyebabkan pasangannya sukar untuk hamil.

Ini kerana, tabiat merokok secara berlebihan dapat menurunkan tahap tenaga dan kemampuan mereka untuk melakukan hubungan seks atau mengambil masa yang lebih lama untuk membuatkan pasangannya mengandung.

Selain itu, penyelidikan turut menunjukkan bahawa jika pasangan mengambil lebih banyak daripada empat unit minuman beralkohol pada minggu yang lalu, ia akan menurunkan peluang untuk pasangan mendapat zuriat sebanyak 3 kali ganda.

Baca selanjutnya:

Cara meningkatkan kesuburan lelaki.

Punca lelaki tidak subur.

Rawatan Kesuburan Lelaki.

Penyakit dan Masalah Perubatan

Sekiranya pasangan mengalami penyakit seperti diabetes, masalah tiroid atau penyakit menular yang disebabkan oleh seksual, ia turut boleh menyebabkan kemandulan.

Endometriosis, iaitu keadaan yang berlaku di luar endometrium di mana tisu yang terdapat di lapisan rahim mula tumbuh di luar rahim juga boleh menyebabkan kemandulan dan ia adalah salah satu masalah kesihatan yang menyebabkan kesukaran untuk hamil.

Masalah struktur rahim, tiub fallopio yang tersekat dan kista ovari turut menjadikan kehamilan sukar berlaku. Jangkitan pada rahim dan parut pada lapisan rahim juga boleh menjadi satu penyebab.

Baca selanjutnya: Rawatan kesuburan yang ada sekarang.

Diet Tidak Sihat dan Kurang Bersenam

Adalah sangat penting bagi pasangan untuk makan makanan seimbang dengan jumlah vitamin dan mineral yang betul. Sebarang kekurangan pemakanan yang baik dan berat badan berlebihan atau berkurangan disebabkan amalan pemakanan yang salah ataupun tidak melakukan senaman akan mempengaruhi kitaran haid wanita.

Ini akan membawa kepada kesukaran untuk hamil. Jadi, perhatikan diet yang disediakan iaitu ia mesti sarat dengan zink dan asid folik. Zink dapat memastikan sperma yang dihasilkan berkualiti baik, manakala asid folik pula dapat mempersiapkan tubuh wanita untuk kehamilan dan menambahkan jumlah sel darah merah.

Tekanan dan kemurungan

Sekiranya pasangan berada di bawah tekanan, ia turut mengurangkan kemungkinan untuk hamil. Bagi wanita, tekanan yang terlalu banyak boleh menyebabkan gangguan pada fasa haid dan pada masa yang sama, ia akan menyukarkannya untuk mengandung.

Menurut statistik, sekitar 30% daripada pasangan yang susah hamil tidak menjumpai penyebab atau alasan bagi kemandulan mereka walaupun tanda-tanda tidak subur lelaki dan wanita amat ketara. Dalam pada itu, tiada apa-apa langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah ini sekiranya penyebabnya tidak dapat dijumpai.

Oleh itu, daripada berasa terlalu resah dan terlalu bergantung kepada penyebab kemandulan tersebut, cubalah cara untuk hamil lain dan nikmati kehidupan seks anda mahupun dapatkan pertolongan penderma telur kerana rezeki untuk mendapat zuriat adalah terpulanglah kepada takdir tuhan.