Mungkinkah hamil di usia 46 tahun?

3 min bacaan

Mungkinkah hamil di usia 46 tahun? Scenario kehidupan sosial masa kini telah berubah. Jika dahulu peranan wanita hanyalah sebagai surirumah, namun sekarang wanita turut bekerja bagi menampung kewangan keluarga. Ini kerana, duit telah menjadi keperluan utama dalam meneruskan kelangsungan kehidupan zaman kini.

Dalam usaha untuk menjamin masa depan, terdapat wanita yang menangguhkan dahulu hasrat untuk menjadi seorang ibu. Walaupun kehidupan mereka berubah secara sosiologi, namun sayangnya biologi mereka tetap tidak dapat berubah mengikut perkembangan semasa.

Perkara paling jelas adalah dalam hal kesuburan. Disebabkan lebih ramai wanita yang merancang untuk memulakan kehidupan berkeluarga lewat daripada kebiasaan, maka isu kesuburan wanita yang berumur 40-an dengan petanda ketidaksuburan lebih banyak dihadapi hari ini.

Mungkinkah hamil di usia 46 tahun

Punca

Seseorang wanita mempunyai telur sepanjang hayatnya. Namun, kualiti telurnya akan merosot seiring dengan peningkatan usia. Hal ini bertentangan dengan sperma lelaki yang berterusan dihasilkan setelah mencapai usia baligh. Ini menjadikan semakin lanjut usia seseorang wanita, semakin susah untuknya mengandung.

Telur akan mengalami ‘penuaan’ seiring dengan masa. Ini menjadikan telur mereka lebih berpeluang besar untuk mengalami kecacatan. Hasilnya, mereka akan berkemungkinan untuk mengalami keguguran dan masalah kelainan genetik seperti Sindrom Down terutamanya dalam kalangan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang lebih tua.

Selain daripada faktor kualiti telur wanita, faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesuburan adalah:

  • Perubahan hormon
  • Lapisan rahim dibuang lalu menjadikan telur bermusuhan apabila disenyawakan.
  • Kitaran haid tidak teratur.
  • Penyakit sistem pembiakan seperti endometriosis, sindrom ovarium polikistik (PCOS) dan klamidia.

Baca selanjutnya: punca susah mengandung wanita.

 

Kesuburan dan umur

Terdapat pelbagai sebab kepada kemandulan wanita. Usia adalah faktor terpenting yang mempengaruhi keupayaan pembiakan wanita. Kebanyakan sebab-sebab penurunan kadar kehamilan adalah kerana usia wanita. Ini kerana, tahap kesuburan wanita mulai menurun kira-kira pada umur ke-27 tahun dan seterusnya.

Justeru, kesannya ke atas kemampuan untuk mengandung semakin jelas apabila dia berusia 40 tahun.

Contohnya, wanita berusia 20-an mempunyai 20% hingga 30% peluang untuk hamil dengan kemungkinan keguguran 5% hingga 10% dan kemungkinan bayi mengalami kecacatan genetik seperti Sindrom Down pula adalah 1/1200.

Wanita awal 30-an pula akan mengalami penurunan tahap kesuburan sehingga 15% dengan kadar keguguran meningkat sebanyak 20%. Sekiranya wanita tersebut tidak dapat hamil setelah aktif mencuba selama 9 bulan, dia harus mendapatkan bantuan perubatan.

Pada usia 35 hingga 40 tahun, kadar kemampuan wanita itu untuk mengandung menurun ke 10% dengan kadar keguguran meningkat sehingga 25% dan kebarangkalian untuk janin mengalami kecacatan genetik meningkat ke 1/350.

Oleh itu, terdapat sebilangan besar profesional penjagaan kesihatan yang menasihati wanita berumur 35 tahun dan ke atas agar menjalani ujian genetik bagi mencari kelainan genetik pada janin.

Selepas wanita mencapai umur 40-an, kadar kesuburan menurun sebanyak 5% dan kadar keguguran pula meningkat sebanyak 33% dengan kemungkinan kelainan genetik berlaku pada anak meningkat 1/38. Tambahan lagi, kajian menunjukkan bahawa 90% telur pada wanita berumur 40 tahun mempunyai kecacatan genetik.

FertilityAge_Chart

Kadar kehamilan melalui persenyawaan in-vitro (IVF), iaitu rawatan kemandulan yang paling berjaya pula hanya 10% berjaya kepada wanita berumur 40 tahun. Jadi, wanita-wanita dalam kumpulan umur ini mesti meminta pertolongan profesional sekiranya tidak dapat hamil setelah mencuba secara aktif selama 3 bulan.

Seterusnya, setelah wanita berusia 45 tahun, pendermaan telur menjadi pilihan untuk hamil. Namun, kadar kehamilan bagi wanita berusia 45 tahun hanyalah sekadar 1%. Ini kerana, telur golongan ini secara genetiknya adalah kurang sesuai. Disebabkan itu, dalam pendermaan telur, usia penderma telur juga adalah penting.

Namun begitu, walaupun penderma telur masih muda, persoalan mengenai daya tahan tubuh badan wanita berusia 45 tahun turut menjadi pertimbangan. Dengan perkembangan perubatan yang semakin maju, persenyawaan in-vitro (IVF) telah menjadi solusi kepada masalah kemandulan. Namun, teknik ini turut mempunyai masalah tersendiri walaupun ia sering diabaikan seperti kelahiran pramatang dan kecacatan bayi.

Namun begitu, kemajuan kajian ilmiah yang mengatakan bahawa usia tidak memberi kesan kepada kesuburan wanita telah mengaburi mata kita. Hal ini menjadikan trend menangguhkan kehamilan dan kemandulan dalam kalangan wanita berusia 40-an kini menjadi sesuatu yang membimbangkan.