Haid Tidak Teratur Boleh Hamil?

3 min bacaan

Soalan yang sering kali ditanya oleh setiap wanita, ‘bolehkah anda hamil dan didatangi haid pada masa yang sama?’ Jawapannya adalah TIDAK sama sekali. Wanita hamil tidak akan datang bulan sepanjang tempoh kehamilan mereka. Kehamilan dan haid adalah dua perkara yang berlawanan, kedua-duanya tidak boleh berlaku pada masa yang sama.

Ada yang berfikir jika mereka tidak didatangi haid, jadi mereka sedang hamil. Adakah persepsi ini betul? Terdapat banyak perkara yang perlu diperhatikan dalam isu ini, seperti adakah kitaran haid seseorang wanita itu normal dan tepat pada setiap bulan? Setiap aspek ini perlu diambil kira sebelum anda membuat pengumuman, ‘Saya hamil!

Adakah anda mengalami haid tidak teratur?

Kitaran haid yang normal mestilah sekitar 28 hari bagi setiap wanita. Sekiranya anda mengalami pendarahan selain dari kitaran haid anda yang normal, anda mungkin sedang mengalami pendarahan yang tidak normal. Kitaran haid bergantung kepada saiz tubuh wanita dan tahap rembesan hormon mereka.

Bagi wanita yang normal, mereka akan mengalami kitaran haid antara 20 hingga 35 hari.

Lebih baik anda membuat catatan atau memuat turun aplikasi yang merekod kitaran haid anda.

Haid tidak teratur tapi hamil

Sudah pasti kebanyakan wanita hamil akan berasa runsing apabila kitaran haid mereka tidak teratur kerana ia boleh memberikan tanggapan yang serius bahawa agak susah untuk golongan ini mendapat anak.

Menurut pakar perubatan, walaupun seseorang wanita hamil itu mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, peluangnya untuk hamil tetap ada.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berjumpa dengan pakar sakit puan apabila anda telah membuat keputusan untuk hamil. Faktor-faktor yang perlu diberi perhatian ialah ovulasi, kerana sesetengah wanita gemar untuk merancang aktiviti seks mereka mengikut tarikh ovulasi mereka.

Bagi yang tiada perancangan tentang hari atau tarikh tertentu, mereka tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk mendapatkan anak. Jika anda berjumpa dengan pakar sakit puan, anda mungkin akan diberi pil kesuburan untuk mendapatkan kitaran haid yang lancar.

Setiap wanita hamil pasti akan berdepan dengan masalah, isu atau komplikasi sewaktu hamil. Ada yang sedang hamil namun pada masa yang sama, didatangi haid pula. Keadaan ini perlu dirujuk dengan doktor untuk mendapatkan kepastian tentang keselamatan bayi anda.

Haid semasa hamil

Haid yang tidak teratur semasa hamil berlaku apabila telur matang tidak dilepaskan dengan normal pada setiap bulan. Ada sesetengah kes di mana anda mungkin menjangkakan pendarahan haid yang normal berlaku tepat pada hari atau tarikh yang normal. Namun hakikatnya ia mungkin pendarahan implantasi setelah melakukan hubungan seks, di mana ia melewatkan haid anda.

Implantasi bermaksud telur yang menempel pada dinding rahim, dan mungkin berlaku pendarahan ringan yang sering disalah anggap sebagai haid. Sekiranya anda berasa ragu-ragu atau pendarahan yang berlaku bukan pada tarikh atau hari yang sepatutnya, segeralah rujuk doktor atau pakar sakit puan untuk mendapatkan penerangan tentang keadaan tubuh anda.

Dengan mendapat pengesahan dari doktor, anda dapat memahami tentang masa sesuai untuk hamil dan keadaan haid yang tidak teratur.

Pengambilan pil perancang

Sesetengah kaedah kawalan kelahiran atau penggunaan pil kontraseptif boleh membantu masalah seperti gangguan kitaran haid. Pengambilan perancang contohnya boleh membantu untuk mengatur kadar hormon di dalam tubuh dan mencegah masalah yang lain.

Bagi wanita yang lebih tua, pengambilan pil perancang mungkin akan menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur atau pendarahan yang sangat berat.

Oleh itu sentiasa ingat untuk tidak menanggung masalah kesihatan anda seorang diri. Jangan malu untuk bertanya apabila ia berkaitan dengan masalah peribadi atau dalaman wanita.

Berjumpalah dengan pakar sakit puan untuk mendapatkan pengesahan tentang masalah dalaman yang anda sedang alami. Nasihat yang diberikan oleh mereka pastinya akan membuatkan anda berasa lega dan dapat menghilangkan tekanan emosi anda.