Tips Kulit Bebas Dari Jerawat

3 min bacaan

Masalah jerawat yang dialami oleh remaja dan orang dewasa adalah berbeza. Masalah jerawat boleh berlaku apabila folikel rambut atau liang pori tersumbat. Minyak yang dihasilkan secara berlebihan tidak dapat dirembeskan keluar daripada kulit akan tersumbat didalam folikel. Lama kelamaan bakteria pula akan terhasil.

Selepas bakteria mula terbentuk, komedo atau whiteheads pula muncul. Whiteheads ialah minyak dan juga bakteria yang terperangkap dibawah lapisan kulit. Lama kelamaan, warna akan bertukar menjadi hitam kerana berlaku pigmentasi pada kulit. Kebiasaannya, blackheads akan duduk lebih lama di bawah lapisan kulit kerana memerlukan masa yang lama untuk ia mengalir.

Jangkitan jerawat juga dipengaruhi oleh hormon, diet, tekanan dan kekurangan vitamin. Masalah jerawat bukan sahaja boleh terjadinya blackheads dan whiteheads, malah ada jenis-jenis jerawat yang lagi teruk keadaannya.

Jerawat Vulgaris

Jerawat Vulgaris ialah sejenis jerawat yang paling biasa. Boleh jadi ia whiteheads, blackheads atau pun cyst.Jerawat Vulgaris boleh berada pada tahap biasa, sederhana dan juga teruk.

Bentuk jerawat vulgaris pada tahap biasa dan sederhana adalah termasuk jerawat biasa dan keradangan yang biasa kita lihat di permukaan kulit. Ia seperti benjolan merah kecil yang tidak mempunyai kepala. Ia juga dikenali sebagai papula.

Jerawat Vulgaris pada tahap yang paling teruk pula ialah luka yang dikenali sebagai nodul dan sista. Kebiasaannya ia lebih besar daripada jerawat biasa atau sederhana serta lebih menyakitkan. Nodul berbentuk kecil dan keras di bawah permukaan kulit. Manakala sista tidak mengandungi nanah semasa ia berlaku. Jika tidak dirawat dengan rapi, ia akan meninggalkan parut.

Jerawat vulgaris pada tahap biasa dan sederhana juga berkesan jika menggunakan krim peroksida benzoil dan pencuci muka yang “gentle”. Elakkan dari mencuci muka banyak kali, cukup sekadar sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam. Ia sudah memadai.

Selain itu, elakkan juga daripada kerap menyentuh muka menggunakan tangan dan anda disarankan menggunakan produk kosmetik daripada bahan yang bebas minyak.

Anda juga tidak digalakkan untuk memicit jerawat tersebut kerana ia akan meninggalkan parut yang dalam.

Jerawat Rosacea

Jerawat Vulgaris dan Rosacea adalah jenis jerawat yang berbeza walaupun ia kelihatan agak serupa. Jerawat Rosacea selalunya dialami oleh golongan dewasa yang berusia lebih dari 30 tahun. Tanda-tanda jerawat jenis ini ialah ruam merah dan juga lebam dan kebiasaannya ia akan tumbuh di bahagian pipi, hidung, dagu dan juga dahi.

Jerawat Rosacea agak berbahaya jika tidak dirawat kerana ia boleh menyebabkan tumbuhnya tisu berlebihan.

Jerawat Conglobata, Acne Fulminans, Pyoderma Faciale

Terdapat tiga jenis jerawat yang lebih teruk berbanding jerawat Vulgaris dan juga Rosacea iaitu Conglobata, Acne Fulminans, Pyoderma Faciale.

Jerawat Conglobata selalunya terjadi pada lelaki dan ia akan menyerang di bahagian badan.

Individu terbabit akan mengalami masalah ini pada usia 18 hingga 30 tahun.

Jerawat jenis ini sukar untuk dirawat dan berkemungkinan ia akan kekal aktif selama beberapa tahun. Rawatan yang biasa di berikan oleh ahli dermatologi kepada pesakit ialah rawatan Accutane.

Jerawat yang dikenali sebagai “Acne Fulminans” ialah jerawat biasa tetapi pada permulaan jangkitan ini akan disertai dengan demam dan sakit sendi. Jerawat jenis ini juga selalunya dialami oleh lelaki yang muda. Steroid oral dan Accutane boleh digunakan sebagai rawatan.

Pyoderma Faciale pula sering dialami oleh wanita yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun. Pyoderma Faciale pula hanya dialami di Kawasan wajah sahaja. Jerawat jenis ini tidak kekal lama seperti jenis-jenis yang lain. Ia biasanya terhad selama satu tahun atau pun kurang. Walaupun begitu, ia sangat menyakitkan dan meninggalkan parut.