Jerawat: Panduan dan Cara Solekan

3 min bacaan

“Make up” atau solekan memang sudah tidak asing lagi pada zaman sekarang, bah kan sudah menjadi trend di kalangan masyarakat kita tidak kira tua atau muda. Tetapi, tahukah anda bahawa solekan yang tidak mengikut panduan dan cara yang betul akan menyebabkan masalah kulit?

Memang benar ubat-ubatan untuk masalah jerawat pada zaman ini kebanyakannya dapat menjanjikan hasil yang cepat seawal 10 hari, tetapi apa yang boleh kita lakukan sebelum jerawat benar-benar tumbuh?

Apa yang anda perlukan adalah mempelajari beberapa petua untuk menyembunyikan jerawat ataupun parut jerawat dengan solekan yang menarik supaya anda lebih berkeyakinan dan kelihatan cantik ketika disekolah, tempat kerja atau ke mana saja.

Tetapi, anda perlu ingat.

Make up hanya lah bertujuan untuk menyembunyikan jerawat dan bukan untuk penyembuhan! Click To Tweet

Saya pasti semua sudah tahu tentang itu. Mengenakan solekan di wajah untuk menyembunyikan masalah jerawat, tidak terlalu sukar. Tetapi, ada beberapa panduan asas yang perlu anda ikut.

Kit Alat Solek Asas

Hanya tiga alat yang anda perlukan iaitu concealer, foundation dan bedak (loose powder). Elakkan guna produk sembarangan. Sila gunakan produk dari jenama yang boleh dipercayai.

Perkara yang paling penting ialah, anda perlu memilih alat solek yang bebas minyak dan sesuai dengan warna kulit anda. Jika anda memilih alat solek yang berminyak, ditambah pula dengan masalah jerawat yang sudah sedia ada itu akan memburukkan lagi keadaan kulit anda.

Sekiranya ini adalah kali pertama anda menggunakan alat solek, sila cuba dahulu dengan menyapukan sedikit produk tersebut di bawah rahang dan perhatikan tindak balas produk terhadap kulit anda selepas satu jam. Ini adalah untuk memastikan kulit anda sesuai dengan produk tersebut.

Sebelum Memulakan Solekan

Cuci muka dengan menggunakan sabun yang sesuai, kemudian bilas daan keringkan. Sapukan ubat jerawat anda terlebih dahulu sebelum bersolek. Pastikan anda mengikut arahan yang diberikan pada ubat dan biarkan sehingga ia kering.

Langkah pertama: Menggunakan Concealer

Sapukan concealer pada bahagian yang terdapat luka jerawat sama ada jerawat baru atau pun parut jerawat. Kemudian, campurkan concealer dengan span sekali pakai supaya rata. Gunakan concealer seberapa banyak yang anda perlukan tetapi jangan terlalu tebal, kerana solekan anda akan kelihatan mengerikan apabila ia kering. Pastikan anda menyapu rata concealer sebelum pergi ke langkah seterusnya.

Langkah kedua : Foundation

Kedua, gunakan foundation. Sapukan sedikit foundation dipermukaan kulit wajah anda dan ratakan ia dengan menggunakan span. Diingatkan sekali lagi jangan memakainya dengan terlalu tebal, supaya anda mendapat solekan yang kelihatan semulajadi.

Langkah ketiga : Bedak (loose powder)

Langkah yang terakhir mudah sahaja. Sapukan bedak (loose powder) bebas minyak dengan menggunakan berus solek yang besar. Ia bagi mengelakkan sebarang kilauan yang ditinggalkan oleh ubat jerawat,concealer dan juga foundation tadi. Bedak atau loose powder ini penting untuk memastikan solekan anda tahan lebih lama.

Pastikan anda tidak menggunakan span yang sama untuk solekan pada hari seterusnya, agar minyak dan bakteria semalam tidak dipindahkan ke hari esok!

Rutin Sebelum Tidur

Cuci muka sebersih mungkin untuk menghilangkan solekan sebelum tidur. Gunakan make up remover dahulu sebelum mencuci menggunakan sabun bagi memudahkan anda untuk mencuci muka. Tetapi, adalah lebih baik jika anda cepat-cepat mencuci muka setelah sampai ke rumah supaya kulit anda boleh bernafas dan mendapat udara segar yang diperlukan.