Nikmati Kulit Yang Sihat Dan Segar Tanpa Jerawat

2 min bacaan

Jerawat adalah penyakit kulit yang disebabkan oleh tindak balas hormon terhadap bahan luar yang menyerang kelenjar minyak dan folikel rambut pada kulit. Disebabkan ini, liang pori sering tersumbat dan pecahnya luka yang dikenali sebagai jerawat.

Luka jerawat pada dasarnya berlaku di permukaan kulit muka, belakang badan, dada, leher dan juga bahu. Dari segi istilah, jerawat adalah liang pori yang tersumbat (blackhead dan whitehead). Jerawat atau benjolan yang lebih dalam (sista dan nodul) akan tumbuh di bahagian tubuh yang berlainan.

Bagaimana jerawat boleh merebak?

Jerawat adalah sejenis penyakit unit pilosebaceous [PSU] yang terdiri daripada kelenjar sebum yang dihubungkan ke kanal, yang juga disebut sebagai folikel (rambut halus).

Kelenjar sebum ini akan menghasilkan zat berminyak yang akan naik ke permukaan kulit melalui pembukaan folikel. Apabila dinding folikel yang tersumbat ini pecah, sel-sel kulit akan mengeluarkan sebum dan bakteria sehingga menyebabkan luka jerawat.

Faktor yang boleh menyebabkan keadaan jerawat bertambah teruk.

Walaupun punca sebenar masalah jerawat ini masih tidak diketahui, namun terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang ke arah masalah ini. Antara faktornya ialah hormon androgen pecah secara tiba-tiba semasa proses akil baligh.

Selain itu, faktor keturunan dan juga genetik juga menjadi penyumbang utama dalam masalah ini. Kebiasaannya, kanak-kanak cenderung mendapat kulit berjerawat berpunca daripada ibu atau bapa mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat faktor yang menyebabkan jerawat menjadi lebih teruk, antaranya:

  1. Penukaran hormon remaja ke hormon dewasa.
  2. Penghasilan minyak secara berlebihan akibat daripada penggunaan produk penjagaan kulit seperti pelembab muka.
  3. Tekanan yang diterima oleh kulit pada tubuh badan yang berpunca daripada pemakaian seperti kolar baju atau pakaian seragam yang ketat.
  4. Persekitaran yang tidak bersih seperti berlaku pencemaran udara atau kelembapan yang tinggi.
  5. Menggosok permukaan kulit dengan kasar atau keras.
  6. Tekanan emosi.

Orang yang menderita akibat daripada masalah jerawat mempunyai pelbagai jenis luka jerawat yang boleh merosakkan permukaan kulit.

Berikut adalah jenis-jenis jerawat. Iaitu:

  • Komedo – folikel rambut yang tersumbat dan ia akan menghasilkan whiteheads pada kulit.
  • Papula – Luka akibat daripada radang kulit yang biasanya muncul seperti lebam merah jambu yang kecil dan terasa lembut ketika disentuh.
  • Kista – Luka yang dalam serta menyakitkan. Kebiasaannya mempunyai nanah yang boleh menyebabkan parut.
  • Nodul – Luka padat yang menyakitkan. Ia seperti benjolan besar yang tersembunyi di dalam kulit.
  • Pustula – Papula di atas dengan luka yang mempunyai nanah putih dan kuning. Pada pangkal dasarnya pula berwarna merah.

Apakah Rawatan Yang Sesuai Bagi Kulit Berjerawat?

Penjagaan kulit yang rapi adalah kaedah rawatan utama untuk mengelakkan berlakunya masalah jerawat daripada berterusan. Anda haruslah mencuci muka sekurang-kurangnya tiga (3) kali sehari dengan menggunakan sabun yang sesuai serta dibilas dengan air sejuk.

Selain itu, penggunaan minyak pati seperti lavender, chamomile, calendula, juniper dan pudina dengan minyak badam akan memberikan kesan yang terbaik. Anda juga boleh mengambil makanan tambahan seperti zink dalam pemakanan harian anda. Makanan ringan, masin dan juga berkafein haruslah dielakkan.

Selain daripada penjagaan kulit yang rapi, anda juga boleh mengambil ubat-ubatan yang disyorkan oleh doktor dan ahli farmasi seperti benzoil peroksida, asid salisilik, sulfur, asid azelaic, vitamin A dan ubat-ubatan herba untuk mempercepatkan proses penyembuhan.