Kulit Berjerawat Dan Berminyak

2 min bacaan

Jerawat adalah masalah sebenar yang di hadapi oleh masyarakat kita pada waktu ini. Majoriti pesakit yang mengalami masalah jerawat merasakan bahawa masalah ini tidak akan lenyap dalam kehidupan mereka.

Dengan kecanggihan rawatan masa kini, masalah jerawat dapat dirawat dengan jayanya dan hanya memerlukan kesabaran yang tinggi daripada anda. Bagaimana pula jika anda memiliki kulit yang berminyak?

Apakah yang dimaksudkan dengan kulit berminyak?

Kulit manusia mempunyai banyak lapisan dengan fungsi yang tertentu. Antaranya ialah kelenjar sebum. Kelenjar ini dalah tempat penghasilan minyak yang menjadikan kulit kita lembab serta melindunginya daripada jangkitan mikrob.

Sebum terjadi daripada lipid dan sel kulit mati. Kulit kita sentiasa menghasilkan sebum untuk keperluan tubuh kita. Tetapi, jika ia berlebihan pula akan mendatangkan masalah kepada kulit.

Masih tidak jelas? Sekiranya anda tidak mencuci rambut selama beberapa hari, rambut anda akan kelihatan berminyak. Itulah yang dinamakan sebum.

Mengapa setiap orang memiliki berlainan jenis kulit?

Seperti yang kita tahu, sebum adalah punca kulit berminyak. Sesetengah orang mempunyai kelenjar sebum yang terlalu aktif berbanding orang lain. Ini ada kaitannya dengan hormon seseorang yang menyebabkan pengeluaran sebum berlebihan.

Disebabkan ini, ramai wanita diluar sana yang mendapati kulit muka mereka lebih berminyak semasa haid. Selain menitik beratkan soal penjagaan kulit berminyak, rujuklah dengan doktor anda tentang kaedah mengawal hormon androgen yang menyebabkan penghasilan sebum berlebihan.

Kulit berminyak berisiko mendapat jerawat

Kulit berminyak adalah permukaan yang disukai oleh bakteria P.acne untuk membiak. Dengan terhasilnya minyak berlebihan pada kelenjar dan kulit, bakteria akan lebih senang berjangkit ke bahagian lain dan terjadinya luka jerawat. Sekiranya anda memiliki kulit jenis ini, pastikan anda menyediakan penjagaan yang rapi khas untuk kulit anda supaya tidak mudah tumbuh jerawat.

Artikel ini hanya bertujuan untuk berkongsi maklumat dan bukan sebagai penasihat perubatan atau professional. Untuk maklumat lanjut, sila berjumpa dengan pakar perubatan dermatologi anda. Sila berunding dengan doktor anda sebelum mengikuti petua ini. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang hasil yang baik atau buruk yang mungkin timbul dari maklumat yang diperolehi dari artikel ini.