Ujian Glukosa Semasa Kehamilan

3 min bacaan

Perkara pertama yang diinginkan oleh setiap wanita hamil ialah melalui tempoh kehamilan mereka dengan selamat hingga ke proses kelahiran bayi tersayang. Oleh itu, pemeriksaan rutin di klinik ibu atau hospital perlu dihadiri supaya doktor dapat memantau perkembangan bayi dan keadaan kesihatan ibu.

Beberapa ujian akan dilakukan sekiranya anda didapati mempunyai komplikasi yang boleh menggugat keselamatan bayi anda. Namun ada juga ujian yang perlu dilalui oleh setiap wanita hamil sebagai rutin.

Ibu-ibu perlu membuat ujian diabetes apabila mencecah minggu 24 – 28 kehamilan.

Jika kandungan gula anda tinggi semasa melakukan rutin ujian air kencing, anda mungkin perlu menjalani ujian diabetes lebih awal.

Diabetes kehamilan

Diabetes kehamilan ialah mimpi ngeri setiap wanita hamil. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh mendatangkan bahaya kepada kedua ibu dan bayi. Berita baiknya ialah keadaan ini hanyalah sementara kerana setelah kelahiran bayi anda, anda tidak perlu risau tentang diabetes lagi.

Namun anda tetap perlu bersedia dengan komplikasi yang sama untuk kehamilan akan datang. Oleh itu, pengetahuan asas tentang diabetes kehamilan sangat penting bagi setiap wanita untuk sentiasa bersedia apabila merancang kehamilan. Tetapi, mengapakah wanita hamil mudah terdedah pada diabetes kehamilan?

Sistem pencernaan untuk wanita biasa berjalan seperti biasa, glukosa yang terhasil akan memasuki saluran darah. Kemudian bersama insulin yang dihasilkan oleh pankreas, membekalkan bahan bakar kepada sel-sel tubuh. Namun, proses ini tidak berlaku dengan cara yang sama pada wanita hamil di mana glukosa akan kekal dalam darah.

Peningkatan hormon semasa hamil membuatkan tubuh sukar menggunakan insulin. Pankreas tetap akan menghasilkan insulin yang lebih berbanding wanita biasa, dan terkumpul dalam tubuh secara berlebihan seterusnya menyebabkan diabetes kehamilan.

Ujian glukosa semasa hamil

Ujian glukosa dilakukan untuk menilai bagaimana tubuh wanita hamil memproses gula.

Setiap wanita hamil yang harus minum cecair glukosa perlu berpuasa pada jam 10 malam sebelumnya hingga ke hari ujian glukosa dilakukan.

Setelah itu sampel darah wanita tersebut akan diambil untuk dianalisis.

Sekiranya keputusan dari ujian glukosa ini positif, wanita tersebut perlu menjalani ujian toleransi glukosa untuk mengenalpasti adakah dia benar-benar mengalami diabetes kehamilan.

Ujian toleransi glukosa

Bagi wanita hamil yang perlu menjalani ujian ini, mereka perlu makan makanan yang mengandungi karbohidrat sebanyak lebih daripada 150 mg. Setelah itu mereka perlu berpuasa selama 14 jam pada hari ujian tersebut.

Ujian akan dilakukan pada hari yang sama, dan selama waktu ini mereka hanya boleh minum air kosong dalam jumlah yang sedikit.

Pagi ialah waktu yang paling sesuai untuk ujian ini kerana puasa pada waktu malam sangat mudah. Selepas ujian dijalankan sampel darah akan diambil dari wanita hamil tersebut untuk menguji tahap glukosa di dalam darah semasa berpuasa. Kemudian wanita hamil tersebut akan diminta untuk minum cecair glukosa semula.

Selepas tiga jam, sampel darah akan diambil lagi untuk diuji. Proses yang sama dilakukan semula pada tiga jam berikutnya. Doktor akan meneliti empat keputusan kadar glukosa dalam darah dan jika dua atau lebih daripada keputusan itu menunjukkan bacaan yang tidak normal, rawatan lanjut akan disyorkan kepada wanita tersebut.

Sekiranya ujian glukosa mengesahkan seseorang wanita hamil itu menghidap diabetes kehamilan, salah satu nasihat yang akan diberikan oleh doktor ialah perubahan diet pemakanan. Seorang wanita hamil yang menghidap diabetes kehamilan perlu mengamalkan rutin pemakanan yang seimbang yang terdiri daripada lemak, protein, karbohidrat, mineral, vitamin dan kalori.

Selain itu, mereka juga boleh melakukan senaman ringan selama 30 minit sehari. Sekiranya perubahan gaya hidup ini tidak dapat mengawal diabetes kehamilan, langkah terakhir yang akan diberi ialah suntikan insulin untuk mengurangkan risiko diabetes.