Bacaan 90/60 adalah Tekanan Darah Rendah Ketika Hamil

3 min bacaan

Kehamilan ialah pengalaman yang dinanti-nantikan oleh setiap wanita. Kenangan yang indah yang dinikmati bersama pasangan anda akhirnya akan bertambah dengan kehadiran ahli keluarga ketiga. Sepanjang fasa kehamilan, wanita akan mengalami pelbagai gejala akibat perubahan hormon yang terjadi pada tubuhnya. Hipotensi atau tekanan darah rendah ketika hamil adalah antara komplikasi yang dirisaukan oleh setiap wanita, selain daripada tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Peningkatan jumlah darah serta denyutan jantung semasa hamil menyebabkan berlaku perubahan pada tahap tekanan darah. Hipotensi semasa kehamilan bermaksud bahawa tahap tekanan darah adalah sekitar 90/60, jumlah tekanan darah normal adalah sekitar 120/80. Menurut doktor, jika tekanan darah menurun antara 5 hingga 15 mata pada trimester pertama ia adalah perkara normal.

Tanda tekanan darah rendah ketika hamil

Wanita hamil yang mengalami tekanan darah rendah ketika hamil akan berasa pening kepala, pitam, mual, muntah, kemurungan, keletihan serta alami penglihatan kabur.

Punca tekanan darah rendah ketika hamil

Punca tekanan darah rendah ketika hamil

Terdapat pelbagai sebab yang boleh menyebabkan wanita hamil alami tekanan darah rendah ketika hamil.

  • Antaranya ialah dehidrasi, pembuluh darah mengembang dan pengeluaran hormon tertentu yang membuatkan pengembangan saluran darah.
  • Rahim yang semakin membesar sepanjang kehamilan akan memberi tekanan pada saluran darah besar yang menyebabkan hipotensi.
  • Hipotensi suppine ialah penurunan tekanan darah yang dialami oleh wanita hamil yang kerap berada dalam keadaan berbaring.
  • Jenis hipotensi yang lain pula adalah hipotensi postural yang berpunca daripada pengumpulan darah di kaki yang menyekat aliran darah ke otak. Ini dialami ketika seseorang wanita hamil itu bangun dan berdiri dari posisi duduk atau posisi berbaring. Gejala lain seperti anemia dan hipoglisemia (kadar gula darah rendah) juga disebabkan oleh keadaan ini.

Rawatan

Tekanan darah rendah ketika hamil yang mungkin akan dialami oleh wanita hamil akan biasanya beransur normal pada akhir trimester kedua. Namun, ada juga wanita hamil yang terpaksa bersabar dengan gejala hipotensi sepanjang kehamilan mereka. Pengetahuan asas tentang diet yang sesuai untuk wanita hamil adalah penting bagi setiap wanita supaya dapat mengelakkan sebarang masalah atau komplikasi semasa hamil.

Rawatan tekanan darah rendah ketika hamil

  • Amalkan pemakanan yang seimbang untuk mencegah anemia dan kadar gula rendah. Makan dengan kerap dalam jumlah yang sedikit juga perlu untuk elakkan kelaparan.
  • Minum air dengan banyak juga perlu untuk mengelakkan dehidrasi. Jus buah-buahan juga sesuai diminum untuk tujuan yang sama.
  • Semasa anda duduk, darah berkumpul di kaki anda. Apabila anda bangun dengan pantas, aliran darah tidak sempat untuk sampai ke bahagian atas badan anda menyebabkan anda berasa pening. Bangun dengan perlahan jika anda sedang berbaring. Mulakan dengan mengiring ke sisi, menolak badan dengan tangan anda dan bangun dengan perlahan-lahan.
  • Semasa berbaring di atas katil, tidur di sisi kiri anda kerana ini akan dapat meningkatkan aliran darah.
  • Lakukan senaman ringan untuk mencegah gejala tekanan darah rendah ketika hamil. Berjalan kaki dapat membantu melancarkan peredaran darah dalam badan.
  • Begitu juga mendapatkan rehat yang secukupnya pada masa yang sesuai. Setiap ibu hamil perlu sedar tentang aktiviti atau makanan yang boleh membahayakan kesihatan diri dan bayi. Anda juga perlu mendapatkan rehat yang cukup bagi mengelakkan keletihan atau kemurungan.
  • Pendedahan yang lama terhadap racun perosak sinar-x boleh menyumbang kepada pelbagai jangkitan dan penyakit. Amalan diet yang sihat, senaman ringan serta pemeriksaan berkala membantu anda menjalani kehamilan yang selamat dan normal.

Lawatan rutin ke hospital atau klinik adalah penting bagi memantau perkembangan bayi anda. Sebarang risiko atau komplikasi berkaitan kehamilan dapat dirujuk dengan doktor untuk pemeriksaan yang lebih lanjut.