Senaman Ibu Mengandung: Perubahan dan Kebaikan

3 min bacaan

Senaman Ibu Mengandung

Senaman adalah antara aspek penting yang boleh diamalkan sepanjang kehamilan. Ia mempunyai manfaat yang besar kepada tubuh seseorang wanita hamil itu serta bayinya.

Melakukan senaman ringan semasa hamil kini bukanlah satu perkara yang baru. Video-video senaman semasa hamil, kelas senaman untuk wanita hamil serta maklumat berkaitan dengan senaman ibu mengandung amat mudah didapati untuk dijadikan sebagai rujukan.

Wanita hamil kini digalakkan untuk melakukan aktiviti senaman ringan panjang tempoh sembilan (9) bulan kehamilan mereka.

Perubahan Yang Perlu Dilakukan

Bagi wanita yang memang mengamalkan gaya hidup sihat dan sering bersenam sebelum hamil, mereka mungkin terpaksa mengubah beberapa rutin senaman untuk menyesuaikannya dengan tubuh mereka sepanjang tempoh kehamilan mereka.

Sekiranya anda adalah seorang atlet atau pelari, anda boleh meneruskan rutin senaman yang sama cuma perlu melambatkan pergerakan anda. Anda boleh hanya berjoging dengan perlahan berbanding dengan keadaan larian yang lebih laju yang anda lakukan sebelum hamil.

Anda perlu ingat untuk melakukan senaman ringan secara bersederhana supaya tidak membahayakan tubuh serta bayi anda.

Bagi mereka yang tidak gemar bersenam pula, anda hanya perlu melakukan pergerakan yang mudah dan ringan semasa hamil. Ini bukan masa yang sesuai untuk mencuba pergerakan atau jenis senaman yang lasak kerana ia mungkin akan membahayakan kandungan anda.

Antara senaman ibu mengandung yang boleh anda lakukan adalah berjalan atau melakukan regangan ringan dengan teratur seperti Yoga.

Kebaikan Senaman Ibu Mengandung

Amalan senaman ibu mengandung adalah antara cara terbaik untuk setiap wanita hamil itu berasa segar dan melalui kehamilan mereka dengan selesa. Walaupun setiap wanita hamil mempunyai kehamilan yang berbeza, senaman tetap memainkan peranan yang penting untuk memastikan kehamilan anda sihat dan selamat.

Kajian mendapati bahawa senaman semasa hamil

  • memudahkan proses kelahiran
  • berupaya mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.
  • berupaya untuk menurunkan berat badan anda semasa hamil apabila bersenam.
  • Masa yang anda ambil untuk berat badan anda kembali normal seperti sebelum kehamilan juga lebih pendek berbanding wanita hamil lain yang tidak bersenam.

Kini semakin ramai sedar tentang kepentingan senaman ibu mengandung. Pelbagai pergerakan serta aktiviti yang disarankan untuk wanita hamil.

Namun adalah penting untuk anda merujuk doktor anda dahulu sebelum melakukan sebarang senaman ibu mengandung sepanjang kehamilan anda. Anda boleh berbincang dengan doktor anda tentang rutin senaman yang sesuai dengan keadaan kehamilan anda.

Doktor anda boleh memberikan nasihat atau pandangan tentang senaman yang boleh anda lakukan serta tahap intensiti senaman yang sesuai dengan kehamilan anda. Doktor anda akan mempertimbangkan juga keadaan kesihatan anda sebelum hamil dan amalan senaman yang anda lakukan sebelum ini dan mengesyorkan jenis senaman yang sesuai.

Beberapa Peringatan

Amalan senaman ringan semasa kehamilan bukan lagi perkara yang asing di kalangan wanita hamil. Manfaat serta kesan positif yang diperolehi daripada senaman membuatkan kebanyakan wanita hamil menjadikan ia sebahagian daripada rutin harian sepanjang kehamilan mereka.

Bagi wanita yang jarang bersenam sebelum ini, anda boleh memilih untuk berjalan kaki sebagai aktiviti senaman ibu mengandung anda semasa hamil.

Mulakan aktiviti berjalan kaki anda dengan perlahan dan tingkatkan kelajuannya secara beransur-ansur apabila anda mendapat lebih banyak kekuatan. Walaupun anda bukan seorang yang aktif atau yang gemar bersukan, masih belum terlambat untuk anda melakukan senaman dan membina tabiat yang lebih sihat untuk tubuh anda serta cahaya mata yang dinanti-nantikan.