Sakit Pinggul Ketika Hamil (Punca dan Rawatan)

3 min bacaan

Setiap wanita akan merasa sungguh gembira ketika hamil dan setiap saat berlalu dirasakan sungguh berharga. Walau bagaimanapun, mereka masih berasa gelisah dan bimbang dengan kandungan mereka. Perasaan berbelah bahagi ini sudah pasti dialami oleh setiap wanita hamil dan ini adalah pengalaman yang bercampur-baur.

Antara perkara yang perlu dialami oleh setiap wanita hamil ialah rasa sakit pinggul ketika hamil yang semakin teruk pada trimester ketiga yang akan mengganggu aktiviti harian serta tidur malam anda. Rasa tidak selesa ini akan meningkat seiring dengan perkembangan kehamilan anda.

Mari fahami masalah ini.

Kenali punca-punca sakit pinggul ketika hamil

Keadaan yang tidak selesa ini akan dialami hampir semua wanita hamil. Perubahan yang mereka alami sepanjang kehamilan membuatkan rasa sakit di pinggul meningkat. Berikut adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan sakit pinggul ketika hamil.

Perubahan hormon

Hormon di dalam badan ibu hamil seperti progestron berfungsi untuk melembutkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi. Ia membantu untuk melonggarkan ligamen seterusnya menyediakan badan ibu untuk menampung pertumbuhan bayi di dalam rahim.

Proses melonggarkan dan menggesel ligamen dan sendi yang menyebabkan ibu-ibu berasa tidak selesa dan sakit pinggul ketika hamil.

Yang Berkaitan:  Mata Kabur Ketika Hamil Tidak Hilang Dengan Mudah

Perubahan fizikal wanita hamil

Perubahan yang berlaku pada tubuh anda semasa hamil akan menyebabkan sakit pinggul ketika hamil. Rahim anda akan membesar untuk menampung bayi yang juga semakin berkembang dan membesar.

Otot perut akan diregangkan serta memberi tekanan yang lebih pada bahagian pinggang yang membuatkan anda berasa sakit pinggang. Sekiranya peningkatan ukuran rahim menekan saraf lain, rasa sakit pinggang akan tetap anda rasai.

Perubahan postur badan

Apabila tempoh kehamilan bertambah, anda akan alami kenaikan berat badan, pusat graviti yang bergerak seiring dengan badan anda serta otot perut yang akan terdorong ke depan.

Kebanyakan wanita hamil akan membongkok ke belakang atau ke depan yang disebabkan oleh berat perut mereka yang semakin meningkat. Keadaan ini hanya akan meningkatkan lagi rasa sakit pinggul ketika hamil.

Sebab-sebab lain

Peningkatan berat badan semasa kehamilan akan memberikan beban tambahan pada otot-otot punggung bawah, otot paha serta struktur badan yang lain.

Keadaan ini ditambah dengan kerisauan dan tekanan tentang peningkatan berat badan ini yang juga menyebabkan seseorang wanita hamil itu berasa sakit di pinggul.

Rawatan yang sesuai untuk wanita hamil

Menyapu atau meletakkan ubat / minyak panas di pinggang anda

Cara ini dapat melegakan rasa sakit di pinggang yang membuatkan anda rasa tidak selesa. Meletakkan pek air panas atau tuala panas di pinggang dan mandi air suam juga berkesan untuk meredakan rasa sakit anda.

Kurangkan aktiviti harian anda dan dapatkan rehat yang mencukupi

Anda masih boleh mengemas rumah, memasak atau membasuh baju seperti biasa. Perkara yang perlu dielakkan ialah berjalan dengan lama dan jauh, membongkok atau mengangkat barang yang berat.

Yang Berkaitan:  Punca & Tips Melegakan Sakit Celah Kelangkang Ketika Hamil

Ia akan menyebabkan otot anda keletihan seterusnya anda akan berasa sakit di pinggang.

Urutan pranatal boleh dilakukan untuk mengurang ketidakselesaan anda

Cara ini dapat melonggarkan otot yang tegang dan melegakan kesakitan anda. Amat penting untuk mendapatkan khidmat ahli terapi yang terlatih jika anda memilih untuk berurut.

Senaman seperti berenang berjalan kaki dan aktiviti fizikal yang lain

Ia dapat membantu menguatkan badan anda serta mengurangkan ketidakselesaan. Senaman pelvis, senaman kardiovaskular dan regangan dapat melegakan sakit belakang, semestinya di bawah pengawasan doktor anda.

Mengubah posisi tidur juga membantu mengurangkan sakit pinggang

Berbaring di sisi kiri badan dan bengkokkan sebelah lutut dapat menampung si kecil dalam perut anda. Letakkan bantal di bawah perut dan pinggang juga dapat mengurangkan sebahagian daripada tekanan di pinggang dan pinggul.

Melakukan yoga atau bermeditasi

Ia juga berkesan untuk mengurangkan tekanan mental dan emosi anda.

Akhir kata

Beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh wanita semasa kehamilan mereka ialah menjaga postur badan supaya pinggul tidak berasa tegang. Memakai pakaian yang selesa termasuk kasut yang mesra hamil juga boleh mengelakkan sakit pinggul ketika hamil. Apa yang akan mengganggu mereka ialah perubahan emosi dan mental yang perlu dipantau dan dijaga.

Tekanan akibat keletihan juga membimbangkan dan setiap wanita hamil perlu mendapatkan nasihat doktor tentang perkara ini. Gejala seperti sakit pinggang ini tidak boleh dibiarkan mengganggu saat-saat gembira anda. Sabar dan tabah dari segi emosi dan mental perlu diamalkan oleh setiap wanita hamil untuk bersedia menghadapi hari bersejarah mereka.