Sakit Pinggang Ketika Hamil Kerana Bayi Terlalu Berat?

3 min bacaan

Setiap wanita akan merasa sungguh gembira ketika hamil dan setiap saat berlalu dirasakan sungguh berharga. Walau bagaimanapun, mereka masih berasa gelisah dan bimbang dengan kandungan mereka. Perasaan berbelah bahagi ini sudah pasti dialami oleh setiap wanita hamil dan ini adalah pengalaman yang bercampur-baur. Antara perkara yang perlu dialami oleh setiap wanita hamil ialah rasa sakit pinggang ketika hamil yang semakin teruk pada trimester ketiga yang akan mengganggu aktiviti harian serta tidur malam anda.

Mari fahami masalah ini.

Punca sakit pinggang ketika hamil

Punca sakit pinggang ketika hamil 

Perubahan hormon

Hormon di dalam badan ibu hamil seperti progestron berfungsi untuk melembutkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi. Ia membantu untuk melonggarkan ligamen seterusnya menyediakan badan ibu untuk menampung pertumbuhan bayi di dalam rahim. Proses melonggarkan dan menggesel ligamen dan sendi yang menyebabkan ibu-ibu berasa tidak selesa dan sakit pinggang ketika hamil.

Rahim yang semakin membesar

Perubahan yang berlaku pada tubuh anda akan menyebabkan sakit pinggang ketika hamil. Rahim anda akan membesar untuk menampung bayi yang juga semakin berkembang dan membesar. Otot perut akan diregangkan serta memberi tekanan yang lebih pada bahagian pinggang yang membuatkan anda berasa sakit pinggang. Sekiranya peningkatan ukuran rahim menekan saraf lain, rasa sakit pinggang akan tetap anda rasai.

Postur badan

Apabila fasa kehamilan semakin bertambah, anda akan alami kenaikan berat badan, pusat graviti yang bergerak seiring dengan badan anda serta otot perut yang akan terdorong ke depan. Kebanyakan wanita hamil akan membongkok ke belakang atau ke depan yang disebabkan oleh berat perut mereka yang semakin meningkat. Keadaan ini hanya akan meningkatkan lagi rasa sakit pada pinggang.

Peningkatan berat badan

Peningkatan berat badan semasa kehamilan akan memberikan beban tambahan pada otot-otot punggung bawah, otot paha serta struktur badan yang lain. Keadaan ini ditambah dengan kerisauan dan tekanan tentang peningkatan berat badan ini yang juga menyebabkan seseorang wanita hamil itu berasa sakit di pinggang.

Tips rawatan yang sesuai

Tips rawatan yang sesuai sakit pinggang ketika hamil

  1. Kurangkan aktiviti harian anda dan dapatkan rehat yang mencukupi. Anda masih boleh mengemas rumah, memasak atau membasuh baju seperti biasa. Perkara yang perlu dielakkan ialah berjalan dengan lama dan jauh, membongkok atau mengangkat barang yang berat. Ia akan menyebabkan otot anda keletihan seterusnya anda akan berasa sakit di pinggang.
  2. Menyapu atau meletakkan ubat / minyak panas di pinggang anda. Cara ini dapat melegakan rasa sakit di pinggang yang membuatkan anda rasa tidak selesa. Meletakkan pek air panas atau tuala panas di pinggang dan mandi air suam juga berkesan untuk meredakan rasa sakit anda.
  3. Urutan pranatal boleh dilakukan untuk mengurang ketidakselesaan anda. Cara ini dapat melonggarkan otot yang tegang dan melegakan kesakitan anda. Amat penting untuk mendapatkan khidmat ahli terapi yang terlatih jika anda memilih untuk berurut.
  4. Senaman seperti berenang berjalan kaki dan aktiviti fizikal yang lain dapat membantu menguatkan badan anda serta mengurangkan ketidakselesaan. Senaman pelvis, senaman kardiovaskular dan regangan dapatmelegakan sakit belakang, semestinya di bawah pengawasan doktor anda.
  5. Mengubah posisi tidur juga membantu mengurangkan sakit pinggang ketika hamil. Berbaring di sisi kiri badan dan bengkokkan sebelah lutut dapat menampung si kecil dalam perut anda. Letakkan bantal di bawah peut dan pinggang juga dapat mengurangkan sebahagian daripada tekanan di pinggang dan pinggul.
  6. Melakukan yoga atau bermeditasi juga berkesan untuk mengurangkan tekanan mental dan emosi anda.

Sakit pinggang ketika hamil

Wanita hamil tidak akan mengalami perubahan fizikal sepanjang 9 bulan kehamilan (kecuali perut yang semakin membesar). Apa yang akan mengganggu mereka ialah perubahan emosi dan mental yang perlu dipantau dan dijaga. Tekanan akibat keletihan juga membimbangkan dan setiap wanita hamil perlu mendapatkan nasihat doktor tentang perkara ini.

Gejala seperti sakit pinggang ketika hamil ini tidak boleh dibiarkan mengganggu saat-saat gembira anda. Sabar dan tabah dari segi emosi dan mental perlu diamalkan oleh setiap wanita hamil untuk bersedia menghadapi hari bersejarah mereka.