Sakit Pelvis Semasa Mengandung

3 min bacaan

Sakit Pelvis Semasa Mengandung

Kebanyakan wanita hamil akan melalui pelbagai jenis gejala-gejala kehamilan akibat ketidakseimbangan hormon sepanjang tempoh kehamilan mereka. Antara keadaan yang perlu dihadapi oleh wanita hamil ialah sakit di bahagian pelvis yang mungkin akan menyukarkan mereka bergerak atau berjalan.

Keadaan ini biasa dialami menjelang trimester ketiga kehamilan yang disebabkan oleh pertumbuhan bayi yang memberi tekanan kepada pelvis anda. Di samping itu, pelvis anda juga sedang bersedia untuk menampung proses kelahiran bayi dan membuatkan anda berasa sakit di pinggul.

Mengapakah arthropathy pelvis berlaku?

Arthropathy pelvis merupakan terma perubatan bagi mereka yang mengalami sakit pelvis semasa kehamilan. Ia biasanya berlaku semasa trimester ketiga atau setelah proses kelahiran. Tulang pelvis yang bersambung membuatkan sebarang pergerakan tidak sepatutnya berlaku.

Namun, wanita hamil akan menghasilkan hormon yang menyebabkan tulang rawan di pelvis menjadi lembut berbanding sebelumnya yang membenarkan pergerakan di tulang berlaku.

Sakit di pelvis biasanya dialami disebabkan peningkatan berat badan wanita hamil seiring dengan pertumbuhan bayi mereka. Terdapat beberapa gejala yang menunjukkan anda sedang mengalami sakit di bahagian pelvis.

  • sakit di pangkal paha dan kemaluan anda. Rasa sakit tersebut akan merebak ke paha anda.
  • rasa sakit yang agak teruk di kawasan kemaluan
  • rasa sakit yang bertambah teruk apabila anda sedang berjalan, menaiki atau menuruni tangga atau berbaring di katil anda.

Rawatan yang boleh melegakan sakit di pelvis semasa hamil

  • kurangkan pergerakan anda semasa hamil, terutamanya semasa trimester ketiga. Anda mungkin akan berasa lebih segar pada waktu pagi dan boleh melakukan kerja anda dengan aktif. Namun rasa tidak selesa tersebut akan mula dirasai pada sebelah petang dan malam.
  • jangan mengangkat atau menolak benda yang berat. Bawalah pasangan atau ahli keluarga semasa membeli-belah supaya mereka boleh membantu membawa barang yang dibeli. Mereka juga boleh membantu untuk menolak troli anda. Ya, menolak troli juga dianggap beban yang berat.
  • naik tangga dengan perlahan-lahan. Langkahlah satu anak tangga demi satu dan menggunakan kaki anda yang lebih kuat dahulu, dan jangan terburu-buru.
  • semasa memakai seluar dalam, seluar atau skirt, lakukan ia dengan duduk di kerusi atau katil anda. Pusat graviti anda semasa hamil agak tidak stabil dan anda boleh terjatuh jika tidak berhati-hati.
  • dapatkan rehat yang mencukupi dan teratur. Rehat membantu anda untuk bertenang dan tidak memberi tekanan kepada pelvis anda. Apabila duduk, pastikan untuk memilih kerusi atau tempat duduk yang mampu menyokong belakang anda dengan baik.

Selain tips-tips di atas, anda juga boleh menyapu krim atau losyen minyak panas di kawasan yang sakit. Ia mungkin boleh legakan rasa sakit anda di kawasan berkenaan. Selain itu, tidur dengan menggunakan bantal yang lembut juga membantu mengurangkan kesakitan buat sementara waktu.

Anda juga boleh memakai tali pinggang pelvis yang direka khas untuk menstabilkan pinggul. Dikenali juga dengan nama tali pinggan pranatal, ia dipakai di bawah perut dan sekitar pinggul dan membantu melegakan ketidakselesaan yang anda alami di pelvis anda.

Jika anda alami rasa sakit yang sangat teruk, jangan ambil ubat tahan sakit sesuka hati. Rujuklah doktor anda untuk mendapatkan nasihat tentang keadaan anda bagaimana anda boleh kurangkan rasa sakit itu. Doktor anda mungkin akan mengesyorkan ubat tahan sakit yang selamat untuk anda, namun anda perlu pastikan keselamatan ubat tersebut dengan doktor anda.