Fahami Sakit Ligamen Bulat Semasa Kehamilan

3 min bacaan

Sakit ligamen bulat adalah sejenis gangguan yang berlaku di perut. Peningkatan berat badan semasa kehamilan akan memberikan beban tambahan pada otot-otot punggung bawah, otot paha serta struktur badan yang lain. Keadaan ini ditambah dengan kerisauan dan tekanan tentang peningkatan berat badan ini yang juga menyebabkan seseorang wanita hamil itu berasa sakit di pinggang.

Selain itu, ukuran janin yang membesar, ligamen, otot serta organ yang mengelilingi rahim akan memberikan tekanan yang banyak ke atas tubuh anda. Anda akan berasa kekejangan di kedua sisi perut anda serta kawasan yang berhampiran pelvis. Sekiranya anda ubah posisi, kekejangan tersebut akan hilang.

Rahim yang mengembang memberikan tekanan tambahan ke atas otot dan ligamen kaki. Ini menyebabkan kekejangan kaki semasa hamil. Kekejangan akibat rahim yang meregang biasanya akan bermula dari trimester kedua dan akan menjadi lebih buruk sepanjang fasa kehamilan.

Apa itu sakit ligamen bulat?

Apa itu sakit ligamen bulat

Sakit ligamen bulat juga dikenali sebagai Round Ligament Pain. Keadaan ini seringkali disalahanggap dengan kekejangan atau kontraksi yang membahayakan. Namun ia adalah kekejangan yang biasa dihadapi pada trimester akhir kehamilan. Ia berlaku kerana ligamen yang menyokong rahim akan mengembang dengan lebih cepat pada tahap-tahap akhir kehamilan.

Ligamen ini berfungsi untuk meregangkan rahim yang sedang berkembang. Sakit ligamen bulat mungkin akan bermula pada trimester kedua bagi kebanyakan wanita tetapi ada juga yang baru mula merasainya pada trimester ketiga.

Saiz rahim seseorang wanita pada awalnya adalah sangat kecil, sebesar sebiji epal atau buah pir. Ligamen pula ialah jalur berselirat dengan tisu yang berada di sekeliling rahim dan berfungsi untuk menyokong organ ini dan memastikannya kekal di posisinya. Apabila rahim semakin mengembang, ligamen juga akan meregang dan menjadi elastik.

Namun, saraf yang melalui ligamen ini tidak dapat menahan tekanan dari janin yang sedang berkembang seterusnya menyebabkan kesakitan.

Gejala sakit ligamen bulat

Gejala sakit ligamen bulat

Anda mungkin akan rasa sakit di kawasan perut kanan untuk beberapa saat. Bangun secara tiba-tiba, berjalan atau berguling di satu sisi semasa berbaring akan menyebabkan anda berasa tidak selesa dan mengalami kekejangan perut. Sesetengah wanita hamil merasai rasa sakit yang bermula dari pangkal paha dan merebak ke kawasan perut.

Bilakah sakit ligamen bulat berlaku?

Ada yang alami keadaan ini sejak minggu 12 hingga minggu 15 kehamilan mereka. Ada juga yang terpaksa berhadapan dengan keadaan yang tidak selesa ini sepanjang kehamilan mereka.

Rawatan

Rawatan sakit ligamen bulat

Sekiranya anda merasa tidak selesa akibat kekejangan, terdapat beberapa kaedah yang boleh anda lakukan untuk melegakan ketidakselesaan anda. Apabila anda mengubah posisi badan, lakukan ia secara perlahan-lahan. Jika anda mengalami kekejangan ligamen yang ringan, anda boleh menggunakan botol air panas atau pek panas dan letakkan ia di perut atau mana-mana kawasan yang rendah.

Sekiranya anda mengalami masalah kembung perut, lakukan beberapa senaman ringan atau yang paling mudah – berjalan-jalan. Rujuk doktor anda untuk memastikan senaman yang anda lakukan tidak akan membahayakan anda dan bayi. Elakkan berdiri atau duduk di posisi yang sama untuk masa yang lama.

Mandi air suam sebelum waktu tidur akan dapat membantu mengelakkan kekejangan kaki pada sebelah malam. Sekiranya kekejangan itu teruk, anda mungkin boleh mengambil vitamin dan supplemen magnesium mengikut arahan doktor. Selain itu minum air yang banyak untuk kesihatan badan anda.