Kenali Sakit Kepala Ketika Hamil: Punca dan Rawatan

3 min bacaan

Sakit Kepala Ketika Hamil

Salah satu gejala kehamilan yang sering mengganggu kebanyakan wanita hamil adalah sakit kepala. Sakit kepala ketika hamil boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang sembilan bulan kehamilan anda, tetapi biasanya berlaku pada trimester ketiga.

Mengapakah sakit kepala berlaku semasa kehamilan?

Peningkatan tahap hormon yang tidak seimbang dan pertambahan jumlah darah dalam tubuh wanita hamil dipercayai punca gejala sakit kepala yang dialami pada trimester pertama.

Perkara seperti tekanan, gangguan penglihatan dan postur tubuh yang lemah boleh memburukkan lagi sakit kepala anda. Anda mungkin akan berasa tidak selesa kerana berhadapan dengan gejala sakit kepala ini, disebabkan oleh tidur yang tidak mencukupi, dehidrasi, kandungan gula dalam darah yang rendah serta pengambilan kafein berlebihan.

Postur badan yang lemah pada trimester ketiga juga akan menyebabkan anda berasa sakit kepala. Kenaikan berat badan akan menambah tekanan kepada badan anda semasa hamil seterusnya melemahkan postur badan anda.

Selain daripada punca-punca yang disebutkan di atas, satu lagi keadaan yang dikenali sebagai pre-eklampsia iaitu tekanan darah tinggi di kalangan wanita hamil akan membuatkan anda mengalami sakit kepala.

Sekiranya anda mengalami sakit kepala membuatkan anda tidak selesa semasa kehamilan, dapatkan nasihat lanjut dari doktor anda. Anda mungkin akan diberikan ubat penghilang sakit atau ubat sakit kepala di bawah pemerhatian doktor anda. Terdapat cara organik yang boleh anda lakukan di rumah dengan menggunakan bahan semula jadi.

Cara hilangkan sakit kepala ketika hamil secara semulajadi:

  • rehat yang mencukupi: Berbaring di bilik anda. Tarik nafas panjang dan lelapkan mata untuk bertenang.
  • mandi air suam atau berendam dalam tab mandi yang diisi dengan air suam.
  • berurut untuk menghilangkan rasa sakit kepala. Anda boleh meminta pasangan anda untuk mengurut bahu dan leher untuk melegakan sakit kepala.
  • meletakkan panas beg pemanas di sekitar hidung dan mata untuk melegakan sakit kepala sinus semasa hamil. Sekiranya anda berasa sakit kepala akibat ketegangan, letakkan pek berisi air sejuk atau ais di pangkal leher anda.
  • jaga tahap gula dalam darah anda. Ambil makanan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Perumpamaan ini sering digunakan untuk mana-mana keadaan, termasuklah mengelakkan sakit kepala ketika hamil. Anda perlu pastikan untuk tidak membongkok semasa duduk atau berdiri jaga postur badan anda, terutamanya pada tiga (3) bulan terakhir kehamilan anda.

Setiap ibu perlu mendapatkan rehat yang mencukupi dan kerap untuk mengelakkan sakit kepala ketika hamil. Di samping itu, amalkan diet pemakanan yang seimbang dan berkhasiat memastikan pertambahan berat badan anda terkawal. Senaman ringan juga boleh dilakukan semasa hamil untuk kesegaran badan serta menjamin kesihatan bayi. Apabila anda berasa sihat dan tubuh anda selesa, gejala seperti sakit kepala dapat dielakkan.

Anda perlu berhati-hati dan memantau rutin pemakanan anda dan mengamalkan diet yang seimbang. Makanan atau minuman seperti keju tua, daging yang diawetkan, yogurt, coklat, kacang tanah dan alkohol perlu dielakkan sepanjang kehamilan. Jika anda berjaya mengawal pemakanan anda, anda boleh mengelakkan gejala sakit kepala ketika hamil atau mengurangkan kesakitannya.

Sakit kepala ketika hamil dianggap sebagai gejala yang biasa dihadapi. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh mengambil ringan kerana ia membahayakan anda dan bayi jika dibiarkan berterusan.

Dapatkan rawatan yang segera sekiranya sakit kepala anda menjadi lebih teruk semasa hamil. Hubungilah doktor anda sekiranya anda berasa sakit kepala diiringi muka dan tangan yang bengkak, penglihatan kabur serta sakit perut.