Kenali Plasenta Previa: Jenis, Punca dan Risiko

3 min bacaan

Apakah itu plasenta previa?

Pengalaman hamil merupakan perkara terindah bagi setiap bakal-bakal ibu yang merancang untuk mendapatkan zuriat. Merasai setiap pergerakan dan tendangan adalah kenangan yang tidak boleh dibandingkan dengan sebarang peristiwa pun.

Bayi anda akan membesar dan tumbuh dengan sihat dengan mendapatkan sumber makanan dari plasenta. Namun, terdapat keadaan di mana ia menjadi rumit dan posisi plasenta yang tidak normal menyukarkan kelahiran bayi.

Uri di bawah rahim dikenali sebagai plasenta previa. Ia adalah keadaan di mana uri atau plasenta berada di bahagian rahim yang bawah berdekatan laluan serviks. Apabila ini terjadi, ibu berisiko mengalami pendarahan ketika kehamilan. Ia seterusnya menyukarkan proses kelahiran bayi serta boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi.

Plasenta adalah sejenis rangkaian saluran darah yang penting untuk ibu dan bayi. Fungsi plasenta atau uri adalah untuk membekalkan segala nutrien dan oksigen kepada janin dalam kandungan dan membawa keluar bahan buangan yang tidak diperlukan bayi. Melalui organ inilah berlakunya pertukaran antara darah bayi dan ibu.

Posisi plasenta pada awalnya bermula di pangkal rahim. Anda mungkin akan dapat merasakan ‘pergerakan’ plasenta anda dan ia dapat dilihat semasa ujian ultrasound di awal kehamilan mereka.

Kedudukan plasenta akan berubah sekali lagi menjelang kelahiran bayi anda di mana ia akan berada lebih jauh ke dinding rahim dan serviks dan bersedia untuk kelahiran bayi.

Tiga jenis plasenta previa

Terdapat tiga (3) jenis plasenta previa yang mungkin dialami oleh mana-mana wanita hamil.

  1. Pertama ialah plasenta previa totalis di mana serviks akan ditutup sepenuhnya oleh plasenta;
  2. Kedua adalah plasenta previa parsialis iaitu plasenta yang menutupi sebahagian bukaan serviks dan;
  3. Ketiga adalah plasenta previa low-lying (terletak dalam keadaan yang rendah) di mana plasenta berada sangat hampir dengan bukaan serviks tetapi tidak menutupinya.

Punca plasenta previa berlaku

Salah satu puncanya adalah pembedahan caesarean yang mungkin dijalani semasa kehamilan sebelumnya. Jika anda pernah menjalani pembedahan, parut yang ditinggalkan mungkin masih ada. Keadaan ini menyebabkan plasenta bergerak lebih rendah.

Selain itu, gaya hidup yang tidak sihat di kalangan wanita hamil seperti merokok juga membuatkan mereka terdedah kepada risiko komplikasi ini. Begitu juga bagi wanita yang pernah mengalami plasenta previa semasa kehamilan sebelum ini, mereka mungkin berisiko untuk menjalani histerektomi untuk memisahkan plasenta dari rahim semasa kelahiran bayi.

Risiko plasenta previa

Wanita hamil yang mempunyai komplikasi ini akan mengalami pendarahan semasa atau sebelum kelahiran bayi mereka. Apabila serviks melebar dan menipis menjelang kelahiran bayi, plasenta akan koyak dan menyebabkan pendarahan yang banyak seterusnya membahayakan nyawa ibu dan bayi.

Oleh itu, pembedahan caesarean terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan kedua-dua ibu dan bayi dan memastikan bayi dilahirkan dengan selamat.

Meskipun pembedahan caesarean ini merupakan salah satu punca plasenta previa berlaku pada wanita hamil dan akan berulang pada kehamilan akan datang, ia terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan ibu dan bayinya.

Lawatan rutin ke klinik ibu dan hospital sangat penting bagi setiap wanita hamil supaya doktor boleh mengesan sebarang komplikasi seperti plasenta previa lebih awal bagi mendapatkan rawatan atau jalan penyelesaian yang sesuai. Ujian ultrasound boleh dilakukan sebagai pemeriksaan yang menyeluruh.

Jika anda didiagnosis dengan plasenta previa, jangan bimbang dan berasa tertekan. Bincangkan perkara ini dengan keluarga dan bawalah pasangan anda untuk berjumpa doktor dan dapatkan nasihat doktor tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan anda dan bayi anda selamat.