Pengambilan Pil Zat Besi Semasa Mengandung

4 min bacaan

Pengambilan zat besi yang mencukupi adalah amat penting semasa kehamilan kerana ia membantu pertumbuhan janin yang sihat. Apabila hamil, anda perlu mengambil beberapa makanan tambahan atau ubat-ubatan untuk memastikan janin berkembang dan membesar mengikut minggu kehamilan dengan sempurna.

Antara ubat-ubatan yang akan diberikan oleh doktor kepada wanita hamil adalah pil zat besi. Sebilangan besar wanita akan mengalami anemia akibat kekurangan zat besi. Amalan diet pemakanan yang tidak seimbang, diet vegetarian yang ketat, pendarahan haid yang banyak satu kehamilan adalah punca utama anemia.

Pengambilan zat besi yang mencukupi yang disyorkan untuk wanita hamil ialah 30 mg/ hari.

Dengan mengambil pil zat besi semasa kehamilan, anda dapat mengelakkan kelahiran pramatang dan bayi yang kurang berat semasa kelahiran.

Kekurangan zat besi semasa mengandung

Bagi wanita hamil yang tidak mengambil zat besi secukupnya, mereka mungkin tidak akan mengalami anemia pada awal kehamilan mereka. Namun mereka mungkin akan mengalami gejala ini apabila kehamilan mereka bertambah hingga ke tarikh kelahiran. Ujian darah dapat membantu untuk mengesan anemia pada peringkat awal kehamilan.

Kebanyakan wanita tidak akan mengalami sebarang gejala apabila mereka mengalami anemia ringan. Antara gejala biasa akibat kandungan zat besi yang rendah semasa hamil adalah bibir pucat, kuku dan bahagian bawah kelopak mata pucat, keletihan yang melampau, badan berasa lemah-lemah serta berasa pening.

Manakala gejala yang akan dialami oleh wanita yang menderita anemia ialah degupan jantung yang laju, jantung berdebar-debar, sesak nafas, sakit kepala, berasa mudah marah dan mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian.

Ada juga sesetengah wanita yang menderita anemia mengidam barang yang bukan makanan seperti ais, kertas atau tanah liat. Perkara ini mungkin kelakar tetapi ini juga merupakan gejala kekurangan zat besi.

Setelah melakukan pemeriksaan menyeluruh dan mendapatkan keputusan ujian darah, doktor akan menetapkan spell zat besi atau supplemen zat besi kepada wanita hamil.

Walau bagaimanapun, pastikan untuk hanya mengambil ubat-ubatan tersebut mengikut saranan doktor anda kerana pengambilan ubat-ubatan atau pil zat besi secara berlebihan boleh membahayakan nyawa anda.

Kesan sampingan pil zat besi

Gangguan gastrointestinal

Zat besi boleh menyebabkan sakit perut atau najis yang berwarna lebih gelap. Antara kesan sampingan utama ubat ini adalah sembelit, ketidakselesaan perut, pedih ulu hati, loya dan muntah.

Keracunan zat besi

Perhatikan dalam gejala berikut; muntah, cirit-birit, sakit perut dan najis berdarah adalah tanda tanda keracunan zat besi. Bagi ibu-ibu yang mengambil suplemen zat besi secara berlebihan, ia akan mempengaruhi anak-anak anda dan mereka akan turut mengalami keracunan zat besi.

Kesan sampingan penyakit langka

Kesan sampingan yang jarang berlaku adalah seperti kekebasan atau mati rasa di tangan atau kaki, gangguan penglihatan seperti penglihatan kabur atau penglihatan berganda adalah antara kesan sampingan yang berlaku akibat pengambilan pil zat besi secara berlebihan. Walaupun kesan-kesan sampingan ini jarang berlaku tetapi adalah lebih baik untuk anda mengambil langkah berjaga-jaga.

Peningkatan berat badan

Kesan sampingan ini masih belum mempunyai bukti yang kukuh yang dapat mengaitkan kenaikan berat badan dengan pengambilan pil zat besi. Kajian yang dilakukan sebelum ini hanya membuktikan gaya hidup yang kurang aktif semasa hamil adalah antara faktor kenaikan berat badan dan bukan disebabkan oleh pil zat besi.

Masalah kulit

Pengambilan zat besi dalam bentuk cecair sepanjang kehamilan boleh mengakibatkan warna kebiruan pada bibir, tapak tangan dan kuku. Kesan sampingan zat besi juga seperti gatal-gatal dan/ atau ruam kulit yang boleh berlaku di seluruh badan. Pengambilan zat besi yang berlebihan boleh menyebabkan bengkak pada mulut atau tekak serta perubahan warna gigi.

Anda perlu cuba fahami kesan-kesan sampingan yang boleh terjadi akibat pengambilan zat besi secara berlebihan. Pengetahuan asas tentang gejala atau masalah kesihatan yang mungkin timbul semasa kehamilan amat penting dan diperlukan oleh setiap wanita hamil. Mungkin lebih baik untuk anda memulakan pengambilan pil zat besi separuh daripada dos yang disyorkan oleh doktor anda.

Setelah badan anda terbiasa dengan pengambilan supplemen ini, mungkin anda boleh mengambilnya mengikut dos yang telah ditetapkan. Pakar perubatan menyatakan bahawa kuantiti zat besi di dalam tubuh orang dewasa tidak boleh melebihi 45mg/ hari.

Minum air yang banyak serta meningkatkan pengambilan cecair lain seperti jus buah-buahan boleh mengelakkan sembelit.

Anda perlu ingat untuk mengelakkan minuman seperti teh, kopi dan minuman berkarbonat kerana ia boleh mempengaruhi proses penyerapan zat besi.

Anda juga perlu mengamalkan diet seimbang dengan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang banyak untuk mengelakkan masalah yang sama. Sekiranya anda memilih ubat pelembut najis, berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat.

Pengambilan vitamin C pula boleh meningkatkan proses penyerapan zat besi, oleh itu pilihlah makanan yang tinggi dengan vitamin C.

Pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi akan dapat menyelesaikan sebarang masalah sepanjang kehamilan anda.