Perlukah Saya Bersenam Selepas Bersalin?

3 min bacaan

Perlukah Saya Bersenam Selepas Bersalin

Pernahkah anda berfikir bersenam selepas bersalin? Namun, kebanyakan wanita hamil berpendapat selepas kelahiran bayi mereka adalah waktu yang sesuai untuk mereka berehat dan menikmati tempoh tersebut dengan gembira. Pandangan ini salah sama sekali.

Banyak perkara yang anda perlu ambil kira selepas proses kelahiran bayi yang dinanti. Antaranya ialah merancang diet pemakanan yang seimbang dan berkhasiat supaya tubuh dan bayi anda mendapat nutrien secukupnya (bagi yang menyusukan bayi) dan melakukan senaman ringan semasa hamil untuk memastikan anda kekal cergas selepas bersalin.

Bersenam selepas bersalin boleh dilakukan apabila anda yakin bahawa tubuh anda boleh melakukan pergerakan atau aktiviti tertentu tanpa memudaratkan kesihatan badan. Sebahagian besar wanita akan mula bersenam pada minggu keenam (ke-6) dan ada juga yang tunggu hingga tubuh mereka benar-benar bersedia.

Apakah jenis senaman selepas bersalin?

Setiap wanita perlu berhati-hati semasa melakukan senaman ringan. Mereka perlu sedar bahawa pergerakan mereka tidak lagi selincah seperti sebelumnya.

Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda rujuk doktor anda dahulu sebelum membuat keputusan untuk bersenam selepas bersalin. Doktor anda akan menyarankan jenis senaman yang sesuai untuk anda untuk dilakukan selepas kelahiran terutamanya pada minggu pertama.

Senaman Kegel

Senaman Kegel adalah salah satu senaman yang biasa dilakukan kerana pergerakannya yang ringan dan boleh dilakukan selepas kelahiran bayi. Senaman Kegel membantu proses pengecutan otot di dalam dinding faraj dan ia juga boleh menguatkan otot pelvis anda.

Berjalan kaki

Selain itu, berjalan kaki merupakan acara bersenam selepas bersalin yang terbaik. Aktiviti ini boleh dianggap seperti latihan memanaskan badan sebelum anda lakukan senaman yang lebih lasak atau aktif.

Berjalan kaki boleh memberikan ketenangan kepada anda kerana anda berada di luar rumah sambil menghirup udara segar. Ia juga boleh melegakan sebarang tekanan atau rasa tidak selesa selepas bersalin.

Senaman menguatkan pelvis

Berikut adalah senaman ringan untuk melatih kecergasan tubuh anda selepas kelahiran bayi.

Jenis senaman ini sangat sesuai dilakukan selepas bersalin kerana ia membantu meningkatkan peredaran darah di kawasan pelvis. Senaman ini juga membantu mengekalkan bentuk saluran vagina anda.

Cara-caranya ialah:

  • berbaring menelentang di lantai. Bengkokkan lutut anda sedikit tetapi pastikan kaki anda rata di lantai.
  • menguncupkan otot faraj seperti anda sedang menahan diri untuk membuang air kecil.
  • tahan selama 5 hingga 10 saat dan legakan otot faraj anda.
  • ulangi cara-cara di atas sekerap yang boleh.

Senaman kepala dan bahu

Cara-caranya ialah:

  • berbaring menelentang di atas lantai. Bengkokkan lutut sedikit dan letakkan tangan anda di belakang kepala anda.
  • tarik nafas dalam-dalam dan cuba kuncupkan otot-otot di perut apabila anda hembuskan nafas semula. Pastikan punggung anda kekal di lantas, dan angkat bahu dan kepala anda dan turunkan ia ke lantai secara perlahan-lahan.
  • ulangi cara-cara di atas sekurang-kurangnya 8 hingga 10 kali.

Senaman memiringkan pelvis

Cara-caranya ialah:

  • berbaring menelentang di lantai. Bengkokkan lutut anda sedikit tetapi pastikan kaki anda rata di lantai.
  • tarik nafas dalam-dalam dan biarkan perut anda mengembang
  • angkat tulang ekor anda ke atas semasa anda menghembuskan nafas. Kekalkan posisi pinggul di atas lantai semasa anda lakukan pergerakan ini.
  • tetapkan pinggul anda semasa menarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan.
  • ulangi cara-cara di atas sekurang-kurangnya 8 hingga 10 kali.

Senaman ringan yang disyorkan sesuai dilakukan selepas bersalin kerana ia tidak melibatkan pergerakan yang lasak. Namun adalah penting untuk anda berhati-hati dan tidak memaksa diri anda untuk bersenam selepas bersalin melainkan tubuh anda benar-benar bersedia.

Bincanglah dengan doktor anda atau pakar kecergasan tentang idea anda untuk bersenam selepas bersalin.