Jangan Panik! Fahami Pergerakan Janin Anda Semasa Kehamilan

3 min bacaan

Pengalaman setiap ibu tentang pergerakan janin mereka berbeza-beza. Bagi yang sedang hamil anak pertama, mungkin tidak menyedari pergerakan bayinya pada awal kehamilan. Ada yang akui mereka hanya sedar pergerakan bayi mereka menjelang minggu ke-24 kehamilan.

Berlainan pula dengan yang telah melalui kehamilan sebelum ini, mereka lebih peka dengan pergerakan janin dan dapat membezakan ia dengan angin yang bergerak dalam perut mereka. Sesetengah ibu pula mengakui telah mula merasai pergerakan bayi dalam kandungan seawal minggu ke 13. Namun, pergerakan janin biasanya akan mula dirasai pada minggu ke 18 hingga minggu 20 kehamilan.

Pergerakan janin di setiap fasa kehamilan

Menurut pakar perubatan, tiada corak pergerakan yang khusus untuk bayi yang dikandung. Sesetengah bayi akan membongkok ke tepi, memusingkan kepala, janin tersedu atau menggeliat. Semua pergerakan ini dikatakan berlaku semasa awal kehamilan. Pada trimester kedua pula, anda mungkin akan merasai pergerakan yang lebih spesifik kerana pada waktu bayi anda mulai menghisap jari serta bermain-main dengan jari-jarinya.

Ibu-ibu akan mula rasai peningkatan pergerakan bayi pada trimester ketiga seolah-olah bayi mereka sedang berguling, berpusing, membuat ‘back flip’ di dalam perut mereka. Pergerakan bayi akan menjadi sangat aktif pada tempoh ini di mana bayi yang sihat akan membuat sekitar 10 pergerakan dalam dua jam. Bagi bayi yang lebih aktif pula, mereka akan bergerak sebanyak 10 kali dalam tempoh 15 minit.

Tak perasan minggu kehamilan anda? Guna Kalkulator kehamilan mingguan ini.

Janin yang kurang aktif semasa awal kehamilan

Pergerakan Janin yang kurang aktif semasa awal kehamilan

Sesetengah wanita hamil bersetuju bahawa mereka tidak begitu merasai pergerakan bayi semasa trimester pertama kehamilan mereka. Namun jika anda sedar berlaku pergerakan yang ringan, ini bermaksud bayi anda dalam keadaan yang sihat. Sekiranya bayi anda biasanya memberi pertunjuk dari segi pergerakan yang ringan dan pergerakannya tidak lagi dirasai adalah lebih baik anda segera rujuk doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.

Jangan risau ya, kerana tidak semestinya ia bererti masalah atau komplikasi. Cuma mendapatkan kepastian dari doktor melalui ujian ultrasound atau doppler lebih baik dan melegakan hati anda untuk mengesan pergerakan bayi anda. Terdapat sesetengah keadaan di mana bayi berada dalam suatu waktu di mana ia enggan bergerak tetapi sebenarnya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah serius. Namun, adalah lebih baik ke hospital untuk kepastian.

Janin yang kurang aktif menjelang kelahiran

Pergerakan janin sewaktu minggu ke-28 hingga minggu ke-32 kehamilan biasanya sangat dirasai oleh ibu-ibu. Kemudian mulai minggu ke-33, kekerapan serta tahap pergerakan bayi akan menurun. Kepala bayi anda berada di lantai pinggul pada ketika ini. Saiz bayi akan bertambah pada waktu ini dan pergerakannya menjadi lebih lambat ketika ini. Anda akan dapat merasai kepala bayi berpusing dan tendangan di tulang rusuk.

Pergerakan Janin yang kurang aktif menjelang kelahiran

Anda akan berasa sakit pada saat kelahiran tetapi bersabarlah, kerana keajaiban yang anda nantikan selama sembilan bulan akan berada di tangan anda. Segera hubungi doktor anda jika anda berasa sesuatu yang tidak kena seperti pergerakan bayi yang luar biasa aktif atau pergerakan bayi yang terlalu lemah pada waktu ini.

Lebih baik punyai tanggapan salah dari perasaan menyesal. Bayi anda adalah keutamaan anda dan tidak salah untuk anda berasa panik untuk setiap perkara. Dapatkan ujian ultrasound untuk melegakan hati anda supaya anda tahu perkembangan bayi anda.

Terdapat beberapa punca mengapa pergerakan janin berkurangan dalam masa yang singkat. Antaranya ialah suara yang kuat yang mengejutkannya atau menakutkannya, dan keadaan ini membuatkannya mendiamkan diri. Anda perlu tunggu seketika untuk bayi anda kembali aktif.

Sekiranya bayi anda masih mendiamkan diri dalam tempoh yang lama, segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Ingat…jika anda berasa sangsi dengan pergerakan janin anda, rujuklah doktor anda tentang perkara ini. Jangan dengar nasihat jiran sebelah rumah atau pandangan rakan-rakan yang tiada pengetahuan khas tentang bayi dan kehamilan.

Baca selanjutnya mengenai perkembangan otak janin sebagai panduan memahami tumbesaran bayi anda.