Pendarahan Awal Kehamilan (Punca & Cara Pencegahan)

Pendarahan Awal Kehamilan (Punca & Cara Pencegahan)

3 min bacaan

Segelintir wanita hamil akan berasa panik apabila melalui fasa kehamilan mereka. Gejala yang akan mengganggu perasaan gembira seseorang wanita hamil ialah pendarahan awal kehamilan. Pendarahan ketika hamil secara amnya dianggap sebagai tanda awal keguguran. Namun jika ia berlaku semasa awal kehamilan iaitu trimester pertama, ia adalah perkara yang normal.

Pendarahan Awal Kehamilan

Kehamilan dialami oleh wanita dengan pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Kebanyakan wanita hamil mengakui bahawa mereka berasa tertekan apabila memikirkan tentang keselamatan bayi mereka. Dalam masa yang sama mereka juga berasa gembira dan bahagia sambil menghitung hari kelahiran bayi yang dinanti-nanti. Emosi yang bercampur baur ini diiringi dengan ketidakselesaan, kekejangan, kesakitan serta pelbagai perubahan yang dialami oleh tubuh mereka.

Punca pendarahan awal kehamilan

Kebanyakan wanita hamil akan berfikir tentang keadaan mereka semasa hamil serta mempunyai pelbagai persoalan tentang apa yang mereka akan hadapi. Adakah saya akan melalui kehamilan saya dengan selamat? Atau adakah saya mempunyai masalah? Perkara-perkara ini akan mengganggu emosi serta perasaan seseorang wanita hamil itu.

Implantasi

Oleh itu apabila berlaku pendarahan ringan atau spotting, perasaan pertama yang mereka alami ialah risau serta panik. Namun jangan risau kerana ia mungkin pendarahan implantasi, di mana ia berlaku selama dua minggu pertama. Pendarahan implantasi berlaku apabila telur yang disenyawakan melekat pada lapisan rahim. Keadaan ini akan berlaku selama beberapa hari kemudian berhenti dengan sendirinya.

Pendarahan subchorionic atau hematoma

Pendarahan awal kehamilan juga mungkin merupakan gejala pendarahan pendarahan subchorionic atau hematoma. Pembentukan kolam kecil darah atau gumpalan darah berlaku apabila saluran darah pecah dan menyebabkan keluar pendarahan ringan pada awal kehamilan.

Kewujudan hematoma bersaiz kecil dapat dirawat dengan mendapatkan rehat yang secukupnya serta mengambil beberapa jenis ubat mengikut arahan doktor. Sekiranya pembentukan hematoma yang lebih besar berlaku pada selaput plasenta dan rahim, ia akan membahayakan kandungan kerana ia mungkin dapat memisahkan plasenta yang belum matang dari dinding rahim.

Punca pendarahan awal kehamilan

Keguguran

Pengeluaran darah berwarna merah jambu atau bintik coklat semasa awal kehamilan dianggap normal, namun sekiranya darah tersebut berwarna merah terang dan berlaku dengan kerap anda harus segera rujuk doktor anda. Jika anda dapati keluar cecair keputihan yang mengandungi gumpalan darah merah dan tisu, diiringi dengan rasa kekejangan dan sakit perut ia mungkin petanda berlaku keguguran.

Jangkitan

Selain itu jangkitan saluran kencing, bakteria vaginosis, jangkitan yis atau keradangan serviks akibat hubungan seksual juga adalah antara beberapa punca yang menyebabkan pendarahan awal kehamilan.

Kehamilan Ektopik dan Molar

Faktor lain yang menyebabkan pendarahan awal kehamilan juga adalah kehamilan ektopik dan kehamilan molar. Hamilan ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan melekat di tempat selain dari rahim. Kehamilan molar adalah masalah plasenta yang berkaitan dengan pertumbuhan tisu plasenta yang tidak normal di dalam rahim. Keadaan ini adalah berisiko serta boleh membahayakan kehamilan anda. Sekiranya ini berlaku, anda memerlukan rawatan dengan segera.

Cara-cara mencegah pendarahan awal kehamilan

Cara-cara mencegah pendarahan awal kehamilan

Implikasi warna darah yang keluar:

  • Keluar darah berwarna merah muda atau berwarna coklat cair semasa awal kehamilan mungkin sisa darah lama atau hasil implantasi.
  • Sekiranya darah yang keluar berwarna merah terang dan berbentuk gumpalan darah, ia bermaksud risiko kepada anda dan bayi. Dalam masa yang sama anda mengalami kesakitan dan kekejangan, ini adalah perkara yang serius yang memerlukan rawatan dan perhatian dari doktor anda.

Keradangan yang berlaku pada pangkal rahim akibat hubungan seksual merupakan satu punca pendarahan awal kehamilan, oleh itu anda perlu

  • berehat dari melakukan hubungan seksual untuk sementara waktu.
  • elakkan mengangkat benda berat atau melakukan aktiviti fizikal yang lasak.
  • imbasan ultrasound atau ujian darah akan dapat membantu doktor memeriksa keadaan bayi anda.

Adalah penting untuk setiap wanita hamil untuk tidak berasa tertekan serta menjaga kesihatan diri sendiri. Rehat yang mencukupi serta makanan yang sihat adalah dua perkara yang penting sepanjang tempoh kehamilan. Sekiranya anda mengalami sebarang komplikasi atau gejala yang berbahaya, hubungi doktor anda dengan segera untuk pemeriksaan lanjut.