Amalan Pemakanan Ibu Hamil Trimester Pertama

3 min bacaan

Pemakanan Ibu Hamil Trimester Pertama

Sesetengah wanita hamil menganggap hamilan akan dapat dilalui seperti hari-hari biasa mereka. Namun ramai tidak menyedari bahawa kehidupan mereka akan berubah dari pelbagai aspek disebabkan oleh kehamilan mereka. Satu perkara yang perlu diubah sepanjang kehamilan adalah tabiat pemakanan mereka.

Perubahan besar ini perlu dilakukan secara berperingkat kerana ia boleh menyebabkan tekanan kepada bakal-bakal ibu yang mungkin terkejut dengan perkara baharu ini.

Rutin pemakanan baharu boleh diperkenalkan dengan perlahan-lahan supaya bakal-bakal ibu ini berasa selesa dengan jenis makanan baharu yang perlu diambil serta mengelakkan makanan yang mungkin merupakan kegemaran mereka.

Bagi wanita memang merancang kehamilan mereka, mungkin telah bersedia dengan sebarang tanda yang membuktikan mereka hamil. Berlainan pula dengan wanita yang tidak merancang untuk hamil pula, mereka mungkin tidak sedar tentang kehamilan mereka.

Keadaan ini agak berisiko sekiranya amalan pemakanan yang tidak seimbang atau pengambilan barang-barang berbahaya seperti alkohol dan darah boleh memberikan kesan jangka panjang kepada bayi mereka.

Oleh itu setiap wanita perlu peka dengan sebarang perubahan atau tanda-tanda yang diberikan oleh tubuh mereka. Sebaik anda sedar tentang kehamilan anda, segeralah melakukan beberapa perubahan untuk menyesuaikan diri dengan kehamilan anda. Salah satu daripadanya adalah pemakanan harian anda.

Pilihlah makanan iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan yang organik. Ini kerana produk organik adalah lebih selamat di mana tiada penggunaan bahan kimia yang boleh membahayakan anda dan bayi.

Elakkan makanan yang diproses kerana ia memberikan kesan yang buruk kepada diri anda serta bayi. Mungkin anda boleh mengurangkan pengambilan makanan dalam tin atau plastik sepanjang kehamilan anda.

Perubahan-perubahan ini mungkin agak drastik namun ia adalah demi kebaikan anda dan bayi. Mulakan dengan langkah yang kecil seperti membeli sayur-sayuran organik dan makanan dalam botol kaca. Setiap perubahan kecil adalah perubahan yang positif untuk bayi anda.

Antara perkara lain yang boleh anda ubah adalah mengurangkan pengambilan gula atau makanan manis. Anda juga boleh elakkan pemanis buatan dan kafein dari rutin pemakanan anda. Kajian menunjukkan wanita hamil boleh mengambil 150 mg kafein sehari.

Ini boleh dijadikan sebagai langkah pertama ke arah perubahan diet pemakanan yang sesuai sepanjang kehamilan mereka. Mungkin selepas seketika, pengambilan kafein ini boleh dielakkkan sepenuhnya.

Selain itu bagi wanita yang gemar makanan manis yang juga dipanggil ‘sweet tooth’, ini mungkin merupakan cabaran yang sukar buat mereka. Namun jangan risau kerana ada sumber gula alternatif yang sihat yang boleh menggantikan makanan atau minuman manis kegemaran mereka. Anda boleh menukar gula dengan pemanis semulajadi seperti sirap agave, Stevia atau madu segar.

Gejala yang sering dialami pada trimester pertama adalah mual atau morning sickness. Ketidakseimbangan hormon sepanjang kehamilan merupakan punca berlakunya gejala-gejala ini. Sesetengah wanita merasakan gejala ini sangat sukar dihadapi dan tidak dapat mengamalkan rutin pemakanan sihat dengan sempurna.

Sekiranya anda mengalami keadaan yang tidak selesa ini, rujuk doktor anda untuk mendapatkan nasihat tentang amalan pemakanan sesuai sepanjang trimester pertama. Ada beberapa jenis makanan yang boleh diambil untuk melegakan rasa mual-mual seperti halia, protein yang mencukupi, snek kekacang atau keropok dan bijirin.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa anda mempunyai banyak pilihan boleh dipilih untuk kehamilan yang sihat. Pengambilan makanan yang sihat diperlukan untuk menjamin kesihatan anda dan bayi. Ia juga penting untuk mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan sepanjang kehamilan.