Pelan Diet Kehamilan Untuk Ibu Baru

3 min bacaan

Pelan Diet Kehamilan Untuk Ibu Baru

Berita terbaik bagi setiap wanita ialah “Tahniah, anda hamil!”, dan saat terima berita ini merupakan pengalaman yang paling indah bagi mereka. Perancangan yang rapi diperlukan untuk memastikan kehamilan anda berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang komplikasi yang tidak diingini. Salah satu daripadanya ialah amalan diet pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dari semua aspek.

Pasti anda tertanya-tanya mengapakah pemakanan yang seimbang sangat penting sepanjang kehamilan? Diet yang berkhasiat amat diperlukan oleh tubuh anda dan menjamin kesihatan bayi anda.

Peningkatan berat badan semasa hamil adalah perkara yang pasti terjadi. Jangan risau jika anda berasa badan anda berat dan sukar untuk bergerak. Pertambahan berat badan adalah perkara yang normal kerana ia menunjukkan tubuh anda sedang bersedia untuk menampung bayi anda.

Amalan pemakanan yang seimbang adalah cara yang terbaik untuk memastikan bayi anda mendapat nutrien yang mencukupi untuk membesar. Sekiranya anda mengamalkan pemakanan yang seimbang, pertambahan berat badan anda adalah yang sepatutnya bagi menampung pertumbuhan bayi dan akan memudahkan proses kelahiran kelak.

Adalah penting untuk anda memantau pengambilan makanan sepanjang kehamilan anda kerana ia akan memberikan kesan kepada anak anda kelak. Makanan yang anda ambil serta aktiviti yang anda lakukan sepanjang sembilan bulan ini akan memberikan kesan kepada pertumbuhan anak anda serta mempengaruhi perkembangannya.

Sekiranya anda mengamalkan pemakanan yang sihat dan kaya dengan nutrisi, ia berpotensi mencegah sebarang masalah kesihatan yang mungkin akan berlaku kepada anda atau bayi anda. Sudah tentu apa-apa makanan yang anda ambil semasa kehamilan anda akan memberi kesan secara langsung kepada kenaikan berat badan sepanjang tempoh kehamilan anda.

Setiap wanita hamil perlu memastikan pengambilan kalori mereka semasa trimester pertama mengikut jumlah yang sepatutnya.

Anda hanya boleh menambah 300 kalori sehari pada 12 minggu pertama kehamilan anda.

Elakkan makanan yang berlemak atau yang mempunyai kandungan natrium yang tinggi, dan mengamalkan piramid makanan yang sesuai untuk tempoh kehamilan.

Sekiranya anda mempunyai berat badan yang normal, kenaikan berat badan anda mungkin akan bertambah sekitar 11 hingga 16 kg semasa kehamilan anda.

Adalah penting untuk anda menghadkan kenaikan berat badan anda supaya tidak melebihi 2 hingga 4.5 paun dalam 20 minggu pertama. Setelah itu anda hanya perlu menambah 1 paun seminggu sahaja.

Bagi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan sebelum hamil, doktor akan menasihatkan mereka untuk menurunkan sedikit berat badan mereka. Ini adalah untuk memudahkan tempoh kehamilan serta kelahiran bayi mereka kelak. Mereka juga akan dapat menurunkan berat badan mereka dengan mudah selepas kelahiran nanti.

Menurut kajian, wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan mungkin terpaksa menjalani pembedahan cesarean berbanding kelahiran normal. Selain itu mereka mungkin akan berhadapan dengan komplikasi kesihatan seperti keguguran, diabetes kehamilan serta mudah terdedah kepada tekanan darah tinggi.

Oleh itu pengambilan makanan yang berhasiat sangat dititikberatkan sepanjang kehamilan. Anda boleh merancang pemakanan anda dengan mempelbagaikan jenis sayur-sayuran serta buah-buahan untuk setiap hidangan anda.

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah penting kerana ia kaya dengan serat dan membantu wanita hamil mengelakkan sembelit semasa kehamilan.

Elakkan makanan yang diproses atau makanan segera di dalam tin kerana ia mengandungi perasa, pewarna serta bahan pengawet yang boleh membahayakan nyawa anda dan bayi anda.

Sentiasa ingat untuk melaporkan sebarang ketidakselesaan semasa lawatan rutin anda berjumpa doktor. Sebarang kenaikan berat badan yang tidak normal yang dikenalpasti semasa lawatan ini, adalah penting supaya doktor dapat memberikan nasihat serta langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mencegah kenaikan berat badan yang tidak diingini.