Persoalan Payudara Sakit Tanda Hamil Terjawab

Persoalan Payudara Sakit Tanda Hamil Terjawab

3 min bacaan

Anda tertanya-tanya payudara sakit tanda hamil? Apabila seseorang wanita itu tidak didatangi haid, itu adalah di antara petanda kehamilan. Namun ini tidak selalunya benar kerana ada banyak wanita hamil yang mengalami kelembutan payudara walaupun sebelum mereka tidak didatangi haid. Payudara sakit adalah salah satu petunjuk pertama bahawa konsepsi telah terjadi dan seseorang wanita itu telah hamil.

Sepanjang tempoh kehamilan, wanita akan mengalami pelbagai perubahan fizikal dan di antaranya ialah perubahan payudara. Ia terjadi kerana payudara anda sedang di dalam proses penghasilan susu bayi. Keadaan payudara yang lembut ini adalah perkara biasa semasa awal fasa kehamilan dan ia sangat penting untuk mengetahui punca ia berlaku.

payudara sakit petanda kehamilan

Mengapakah ia terjadi?

Payudara wanita akan melembut mulai minggu ke-4 atau ke-5 kehamilan. Ini adalah waktu yang sulit bagi wanita kerana ia diiringi pembengkakan dan rasa sakit payudara. Dalam masa yang sama, wanita hamil juga akan berasa gatal terutamanya di kawasan puting susu dan areola (kawasan berpigmen di sekitar puting yang berwarna gelap).

Pada waktu ini payudara dan puting akan menjadi lebih sensitif dengan sentuhan, sehingga ada yang menyamakan ia seperti rasa sakit kulit kering terbakar. Dalam masa yang sama, payudara yang semakin memberat juga akan menyukarkan pergerakan seseorang wanita hamil. Mereka terpaksa menukar atau membeli bra baharu kerana peningkatan saiz.

Perubahan payudara ini adalah perkara normal ketika awal kehamilan namun tidak ramai yang tahu mengapakah ia terjadi. Antara sebab yang menyebabkan payudara lembut ialah pengeluaran estrogen dan progesteron yang meningkat untuk perkembangan bayi yang sihat. Sepanjang tempoh peningkatan hormon ini, aliran darah akan meningkat di dalam tubuh ibu terutamanya ke arah payudara anda.

payudara sakit tanda hamil

Persediaan yang sedang dilalui oleh payudara di dalam menghasilkan susu untuk bayi menyebabkan perubahan kepada tisu payudara. Sel yang menghasilkan susu dan tisu susu akan mula terbentuk di sepanjang lapisan lemak. Ukuran payudara serta bentuknya akan berubah semasa tempoh kehamilan ini.

Petua untuk melegakan payudara sakit tanda hamil

Penglembutan payudara anda akan mula berkurangan pada trimester kedua atau ketiga. Namun masih ada wanita hamil yang terpaksa berhadapan dengan masalah ini sehingga hari kelahiran bayinya. Ada juga sesetengah wanita yang mengalaminya pada tahap berbeza. Ia berlaku pada waktu yang tidak tetap dan ada yang juga berlaku secara berkala.

kolostrum

Wanita hamil juga akan mengalami kebocoran kolostrum pada trimester kedua atau trimester terakhir. Kolostrum adalah cecair pertama yang akan diberikan kepada bayi yang baru lahir sebelum payudara memulakan pengeluaran susu. Pembengkakan payudara pastinya akan membuatkan seseorang wanita hamil itu berasa tidak selesa.

Ia penting untuk wanita hamil mengetahui tentang cara-cara yang dapat membuatkan seseorang wanita hamil itu berasa selesa.

  1. Pemilihan bra yang sesuai seperti yang tidak mempunyai besi atau ‘underwire’ akan dapat membantu wanita hamil berasa lebih selesa semasa mengandung.
  2. Pemilihan jenis kain yang sesuai juga sangat penting, pilihlah bra yang diperbuat dari kapas dan pilih saiz yang tidak terlalu ketat.
  3. Kebanyakan wanita hamil berasa selesa memakai bra senaman atau bra menyusu sepanjang tempoh kehamilan mereka.
  4. Penggunaan bra tidur yang diperbuat daripada kapas juga baik kerana ia akan dapat mengurangkan rasa tidak selesa apabila payudara anda membengkak ketika tidur. Adalah lebih baik jika anda membeli bra yang berukuran satu kali lebih besar daripada ukuran saiz anda yang biasa.
  5. Salah satu cara lain yang dianggap berkesan untuk mengurangkan kesakitan di payudara anda ialah mandi air suam. Sekiranya anda merasa payudara anda berdenyut, letakkan kain yang sejuk di kawasan tersebut sehingga anda berasa lega.

Jadi buatlah pilihan yang bijak semasa membeli bra baharu dan jangan ambil ubatan yang untuk mengurangkan kesakitan payudara anda. Anda juga tidak perlu meletakkan daun kubis di payudara anda mengikut petua orang dahulu.

Rujuklah pakar sakit puan atau doktor anda sekiranya anda tidak dapat menahan rasa sakit tersebut.