Bolehkah Ibu Mengandung Menaiki Kapal Terbang?

3 min bacaan

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang wanita hamil itu terpaksa menaiki kapal terbang sepanjang kehamilannya ada untuk tujuan kecemasan atau melancong. Walau bagaimanapun, perasaan takut atau paranoid mungkin dialami oleh wanita hamil ini apabila memilih untuk melakukan perjalanan udara semasa kehamilan mereka.

Adakah perjalanan menggunakan kapal terbang ini selamat bagi ibu hamil? Sesetengah ibu hamil berasa risau tentang bayi mereka yang mungkin dipengaruhi oleh radiasi berbahaya dari sinar matahari apabila pesawat terbang di ketinggian ribuan kaki. Secara teorinya keadaan ini seperti berisiko, namun masih belum ada bukti kukuh yang dapat membuktikan bahawa radiasi ini memberikan kesan yang buruk pada janin.

Risiko menaiki pesawat semasa kehamilan

Kebanyakan wanita hamil tidak mengalami sebarang masalah menaiki kapal terbang semasa kehamilan mereka asalkan kehamilan mereka adalah normal dan sihat. Bagi wanita-wanita hamil yang kategorikan kehamilan berisiko tinggi, mereka dilarang untuk terbang sama sekali. Kategori kehamilan berisiko tinggi adalah wanita hamil yang mengalami diabetis kehamilan, anemia sel sabit atau hipertensi. Ibu hamil yang juga mengalami gangguan plasenta atau berkemungkinan untuk bersalin pramatang juga disarankan untuk tidak menaiki pesawat.

Risiko Bolehkah Ibu Mengandung Menaiki Kapal Terbang

Trimester pertama iaitu 12 minggu pertama kehamilan biasanya dilalui dengan gejala seperti mual atau morning sickness, di mana ia akan bertambah buruk ketika menaiki pesawat. Selain itu, kemungkinan untuk keguguran apabila menaiki pesawat juga perlu dipertimbangkan. Anda boleh terbang dengan menaiki kapal terbang semula trimester kedua iaitu antara minggu ke-18 hingga 27 kehamilan anda.

Di sesetengah syarikat penerbangan, terdapat keadaan dimana wanita hamil tidak dibenarkan menaiki pesawat mereka apabila usia kehamilan mereka mencecah minggu ke 36. Ini kerana kemungkinan komplikasi kelahiran pramatang sangat tinggi pada tempoh kehamilan ini. Namun ada juga beberapa syarikat penerbangan yang membenarkan seseorang wanita hamil itu untuk terbang bersama syarikat mereka 7 hari sebelum tarikh kelahiran bayi mereka.

Walau bagaimanapun doktor sering menasihatkan supaya wanita hamil tidak menaiki kapal terbang satu bulan sebelum tarikh kelahiran bayi mereka. Bagi wanita hamil yang mengalami kehamilan kembar pula, mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat lebih awal dari tempoh yang disebutkan.

Tahukah anda bahawa apabila anda terbang dengan pesawat, tekanan di udara semasa penerbangan boleh menyebabkan masalah peredaran terhadap seseorang wanita hamil itu. Semasa penerbangan yang panjang seseorang harus duduk di tempat mereka untuk waktu yang agak lama. Keadaan ini akan meningkatkan penebalan darah dan pembentukan gumpalan darah. Selain itu keadaan juga akan menjadi lebih buruk dengan pengambilan cecair yang rendah semasa penerbangan seterusnya menyebabkan dehidrasi.

Petua untuk menaiki kapal terbang semasa hamil

  • Pakai pakaian yang longgar supaya anda berasa selesa sepanjang penerbangan. Memakai stokin tekanan untuk mengekalkan aliran darah yang normal juga penting sepanjang penerbangan. Selain itu anda boleh memakai kasut yang mempunyai tali yang boleh dilonggarkan untuk mengelakkan kaki anda membengkak duduk terlalu lama.
  • Makan buah-buahan segar yang kaya dengan vitamin semasa penerbangan anda. Elakkan makan makanan yang berat kerana ia boleh menyebabkan kekejangan perut dan ketidakselesaan pada perut anda.
  • Minum air suam yang banyak untuk mencegah dehidrasi. Jauhi alkohol atau minuman yang mengandungi kafein.
  • Semasa duduk, jangan silangkan kaki anda. Sentiasa mengubah cara anda duduk untuk mencegah peningkatan kelikatan darah. Ada juga boleh bangun dan berjalan-jalan di sekitar tempat duduk anda untuk mengurangkan kemungkinan pembentukan darah beku.
  • Cuba dapatkan rehat selama yang mungkin semasa di udara. Walau bagaimanapun, jangan ambil pil tidur untuk mengurangkan ‘jet lag’.
  • Gunakan pelindung mata dan penutup telinga untuk membantu anda tidur semasa penerbangan.

Petua bolehkah ibu mengandung menaiki kapal terbang

Terdapat keadaan di mana sesetengah ibu hamil mungkin terpaksa menaiki kapal terbang di atas sebab yang berbeza. Adalah baik untuk anda memberitahu agen tiket anda bahawa anda sedang hamil semasa proses penempahan tiket. Dengan ini anda akan mengetahui sekiranya ada sekatan yang berkaitan dengan keadaan kehamilan anda ataupun anda dibenarkan untuk menaiki penerbangan tersebut.

Adalah penting untuk berjumpa dengan doktor anda dahulu sebelum anda membuat sebarang rancangan perjalanan. Kumpulkan sebarang saranan atau catatan dari doktor anda yang mengatakan bahawa anda dibenarkan untuk menaiki kapal terbang.

Ini kerana terdapat sesetengah syarikat penerbangan yang akan meminta maklumat berkaitan kehamilan anda untuk memastikan bahawa anda tidak mempunyai sebarang komplikasi kehamilan dan kesihatan anda adalah normal dan selamat.