Mata Kabur Ketika Hamil Tidak Hilang Dengan Mudah

Mata Kabur Ketika Hamil Tidak Hilang Dengan Mudah

3 min bacaan

Wanita hamil akan menghadapi pelbagai jenis ketidakselesaan seperti mual (‘morning sickness’), sembelit, keletihan atau sakit-sakit badan. Gejala-gejala ini adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh wanita sepanjang fasa kehamilan. Sesetengah wanita hamil akan menghadapi masalah penglihatan seperti penglihatan berganda dan mata kabur ketika hamil.

Mereka akan melihat sesuatu objek atau tempat atau ‘floaters’ dengan tidak jelas dan gejala ini tidak hilang dengan mudah. Masalah mata kabur ketika hamil yang jarang berlaku tidak dianggap sebagai satu masalah kesihatan yang serius. Namun jika gangguan penglihatan ini berlaku selama beberapa jam serentak dengan beberapa gejala lain, ini memerlukan perhatian perubatan dari doktor anda.

mata kabur ketika hamil

Adakah ia berbahaya?

Seperti kebanyakan gejala yang dialami sepanjang tempoh kehamilan, mata kabur ketika hamil juga disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku di dalam tubuh wanita hamil. Ia mengurangkan pengeluaran air mata seterusnya menyebabkan kekeringan pada mata dan kerengsaan mata. Kornea mata akan menjadi lebih tebal dan lekukan mata juga akan mengalami perubahan, ini seterusnya menyebabkan gangguan penglihatan atau penglihatan kabur semasa hamil.

Perubahan hormon yang mendadak serta penglihatan kabur mempunyai hubungan dengan beberapa masalah kesihatan tertentu. Antaranya ialah diabetes kehamilan pre-eklamsia, atau kehamilan yang disebabkan hipertensi diiringi oleh sakit kepala yang teruk serta pening. Sakit kepala yang teruk dan masalah mata kabur ketika hamil boleh menjadi gejala pre-eklampsia sekiranya ia berlaku lebih dari dua atau tiga jam.

Pembengkakan secara tiba-tiba pada wajah, mata dan tangan akan juga berlaku berpunca daripada pre-eklampsia. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh membahayakan wanita hamil serta bayi yang dikandungnya. Pemantauan dan pengawasan dari doktor adalah penting untuk mengelakkan masalah yang lebih serius.

Pening dan mual biasa terjadi disebabkan oleh peningkatan hormon semasa kehamilan. Penglihatan kabur semasa hamil juga sering berlaku pada masa yang sama. Hormon-hormon dalam badan wanita hamil akan mengendurkan dan melebarkan saluran darah seterusnya menurunkan tekanan darah dan mengganggu aliran darah ke otak.

Kadar gula yang rendah dalam darah juga dikatakan penyebab pening kepala. Namun wanita hamil perlu berhati-hati kerana rasa pening yang berpanjangan adalah tanda anemia, migrain, tekanan darah tinggi atau rendah. Penyakit-penyakit lain seperti sakit kepala dan penglihatan yang kabur juga perlu dipantau kerana ia boleh membahayakan ibu dan bayi.

Bagi wanita yang mengamalkan hidup aktif dengan bersenam, dehidrasi juga merupakan satu penyebab utama penglihatan kabur. Oleh itu pengambilan air yang banyak sangat penting sepanjang tempoh kehamilan.

Rawatan Untuk Mata Kabur Ketika Hamil

Gangguan penglihatan yang berlaku semasa hamil akan dapat diselesaikan selepas bersalin. Wanita hamil tidak perlu melalui sebarang rawatan perubatan untuk membetulkan masalah penglihatan mereka. Kebanyakan doktor bersetuju bahawa pembedahan untuk membetulkan mata kabur ketika hamil sangat tidak digalakkan.

penglihatan kabur semasa mengandung

Umum mengetahui bahawa wanita yang merancang untuk hamil tidak boleh menjalani pembedahan 6 bulan sebelum hamil dan 6 bulan selepas kelahiran. Pakar perubatan biasanya akan mencadangkan penggunaan titisan mata untuk melegakan kegatalan dan penglihatan kabur serta kekeringan. Bagi wanita yang tidak biasa menggunakan kanta lekap mereka boleh memilih untuk memakai cermin mata.

Kesimpulannya mata kabur ketika hamil akan dapat diselesaikan selepas kelahiran. Jika ini dapat melegakan kerisauan wanita hamil, kebarangkalian gangguan penglihatan kabur semasa kehamilan adalah rendah dibandingkan dengan gejala kehamilan yang lain. Namun jika anda mengalami pening dan penglihatan kabur diiringi sakit kepala rasa, berdebar-debar dan pembengkakan drastik di tangan dan wajah segeralah rujuk doktor anda.

Ini adalah petanda bagi beberapa penyakit serius seperti hipertensi semasa kehamilan, diabetes kehamilan dan anemia. Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala di atas, segeralah berjumpa dengan doktor anda untuk melakukan pemeriksaan secara menyeluruh. Nikmatilah tempoh kehamilan anda dengan gembira tanpa sebarang kerisauan tentang gejala-gejala kehamilan.