Kesan Malnutrisi Pada Ibu Hamil

3 min bacaan

Amalan pemakanan yang sihat sangat perlu semasa kehamilan untuk kesihatan badan serta bayi. Doktor menyarankan agar wanita hamil tidak makan dalam jumlah yang banyak supaya tidak mempunyai berat badan yang berlebihan. Adalah penting untuk seseorang wanita hamil berada dalam keadaan yang sihat untuk melahirkan bayi yang sihat. Malnutrisi pada ibu hamil adalah perkara yang paling ditakuti oleh wanita hamil kerana kesannya akan membahayakan ibu serta bayi.

Malnutrisi semasa hamil

Malnutrisi ialah kekurangan zat yang mencukupi yang diperlukan untuk membantu pertumbuhan serta menampung fungsi tubuh. Keadaan ini memberikan kesan yang buruk pada anggota badan yang jika tidak dirawat, ia akan menjadi lebih serius. Kekurangan zat berkhasiat sering dialami di sesetengah negara-negara membangun di mana jumlah masyarakat yang kelaparan sangat tinggi.Malnutrisi pada ibu hamil

Tahukah anda kadar wanita hamil yang mengalami diet pemakanan yang tidak cukup zat dan tidak seimbang adalah tinggi di negara-negara Asia dan Afrika?

Data perubatan menunjukkan bahawa wanita hamil, wanita menyusu dan kanak-kanak berumur tiga tahun mudah terdedah terhadap kesan kekurangan zat makanan berbanding kelompok lain.

Semua wanita perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang lagi bernutrisi sebaik saja merancang untuk hamil dan diteruskan sepanjang kehamilan agar dapat melahirkan generasi yang sihat. Ini kerana pemakanan sihat sebelum hamil akan membekalkan simpanan nutrisi bagi keperluan pembentukan janin pada awal kehamilan.

Justeru itu, setiap wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil berat mengenai pemakanan bagi mengurangkan risiko kesihatan semasa hamil dan seterusnya melahirkan bayi yang sihat. Malnutrisi pada ibu hamil mungkin akan membantutkan pertumbuhan bayi dan menyebabkan komplikasi kesihatan yang lain.

Kesan malnutrisi pada ibu hamil

Malnutrisi pada ibu hamil seterusnya akan membahayakan perkembangan bayi dalam kandungan. Bayi memerlukan zat dan nutrisi yang mencukupi untuk membantu tumbesaran mereka. Kesan kekurangan zat nutrisi pada bayi ialah

  1. Kadar pertumbuhan yang rendah dan berat badan bayi yang rendah semasa kelahiran.
  2. Selain itu bayi yang baru dilahirkan juga akan mempunyai sistem imun yang lemah, terdedah pada risiko penyakit yang serius, mempunyai tahap stamina serta ketinggian yang rendah.
  3. Terdapat sesetengah kanak-kanak yang terpaksa berhadapan dengan kesan kekurangan zat seumur hidupnya. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami malnutrisi dan mudah dijangkiti penyakit semasa kecil akan turut melalui keadaan yang sama setelah dewasa kelak. Kajian juga turut menyatakan bahawa gangguan kognitif dan IQ rendah merupakan antara kesan malnutrisi pada ibu hamil.
  4. Wanita hamil yang mengalami kekurangan zat berkemungkinan melahirkan bayi dengan berat badan yang rendah. Antara kesan malnutrisi pada ibu hamil yang lain ialah pertumbuhan kanak-kanak yang lambat, kurang koordinasi, gangguan penglihatan, kesukaran belajar dan banyak penyakit lain.
  5. Anemia adalah salah satu komplikasi kesihatan akibat kekurangan zat makanan yang dialami sesetengah beberapa wanita hamil di seluruh dunia. Ini meningkatkan risiko kematian ibu dan bayi semasa kelahiran.
  6. Kesan serius lain akibat malnutrisi pada ibu hamil adalah kelahiran pramatang, komplikasi semasa kelahiran, pendarahan yang teruk selepas bersalin dan kecacatan kelahiran.Kesan malnutrisi pada ibu hamil
  7. Bagi wanita yang menyusukan bayi mereka pula, malnutrisi pada ibu hamil akan mempengaruhi pengeluaran susu mereka. Setiap wanita hamil juga perlu mengamalkan diet yang seimbang supaya mempunyai tubuh yang sihat seterusnya membantu perkembangan bayi yang dikandung. Kesihatan ibu dan bayi bergantung pada tiga tahap ini; pemakanan yang seimbang dan cukup zat khasiat semasa kehamilan, menyusu dan selepas bayi dilahirkan.

Adalah sangat penting untuk wanita hamil untuk memastikan pengambilan makanan yang penuh nutrisi dan mencukupi diteruskan di samping mengurangkan pengambilan makanan tinggi gula, tinggi garam dan tinggi lemak. Peningkatan berat badan sepanjang kehamilan perlu dipantau agar memenuhi saranan ditetapkan.

Peningkatan berat badan yang tidak mengikuti saranan akan menjejaskan kesihatan kepada ibu dan kandungannya. Amalan pemakanan yang lebih spesifik juga perlu diikuti bagi mengatasi anemia semasa hamil seperti mengelakkan pengambilan makanan dan minuman berkafein contohnya teh dan kopi. Dapatkan nasihat doktor untuk makanan serta tips yang membantu anda kekal sihat sepanjang kehamilan serta memastikan tumbesaran bayi yang teratur.