Kontraksi Braxton Hicks = Kontraksi Sebenar?

3 min bacaan

Anda mungkin mengalami Kontraksi Braxton Hicks sebenarnya, macam pernah dengar nama ini kan? Hampir semua wanita hamil akan mengalami kekejangan perut semasa tempoh kehamilan mereka. Gejala hamil ini dianggap normal namun adalah penting untuk anda faham dan peka tentang sebarang gejala yang boleh menimbulkan risiko terhadap bayi anda. Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan wanita terutamanya yang hamil anak pertama akan mulai panik dan menyangkakan proses kelahiran akan bermula.

Apa itu Braxton Hicks?

Kontraksi Braxton Hicks dikenali pada tahun 1872 sempena nama seorang doktor Inggeris, John Braxton Hicks. Beliau menjelaskan kontraksi ini adalah ‘false alarm’ atau kontraksi palsu yang dihadapi oleh ibu hamil sebelum bersalin. Wanita hamil biasanya akan alami keadaan ini mulai trimester kedua fasa kehamilan. Anda akan mula merasakan otot perut anda mengeras, keadaan Inilah yang akan mengelirukan anda serta membuatkan anda tertanya-tanya ‘Adakah ini kontraksi yang sebenar?’

Apa itu Braxton Hicks

Kontraksi ini ialah latihan bagi ibu hamil kerana otot rahim akan menjadi ketat selama 2 minit sebelum kembali seperti normal. Ia akan berpanjangan tidak melebihi 30 saat, dan jika ia berlangsung lebih lama dari masa itu maka itu adalah kontraksi yang sebenar.

Bagaimanakah Braxton Hicks berlaku?

Kontraksi palsu ini adalah perkara biasa namun penting yang akan dilalui oleh wanita hamil. Ia adalah latihan bagi tubuh anda untuk bersedia proses kelahiran yang sebenar. Kontraksi Braxton Hicks tidak akan berlaku lebih daripada 30 saat dan tidak akan terjadi secara berkala.

Tahap kesakitannya juga tidak akan meningkat walaupun ia berlaku dengan kerap. Untuk melegakan gejala ini anda boleh mengubah posisi anda, contohnya jika anda sedang duduk, anda boleh berdiri dan sebaliknya. Anda juga boleh melakukan senaman ringan dengan perlahan seperti berjalan untuk melegakan kekejangan perut anda.

Perbezaan dengan kontraksi sebenar

Perbezaan dengan kontraksi sebenar

Kontraksi Braxton Hicks akan dialami hanya dua kali dalam satu jam dan mungkin berlaku beberapa kali sepanjang hari. Manakala kontraksi sebenar dan berlaku secara berkala mungkin satu kali setiap 1 jam sepanjang hari, ia akan menjadi lebih kerap menandakan kelahiran semakin hampir.

Tahap kesakitan kontraksi sebenar juga akan meningkat dan menjadi lebih kerap sementara Braxton Hicks pula akan kekal di tahap kesakitan yang sama. Apabila anda mengalami kontraksi sebenar, rasa sakit itu tidak akan hilang walaupun anda mengubah posisi.

Sehingga kini, punca Braxton Hicks masih belum dapat diketahui. Pakar sakit puan bersetuju bahawa ia penting untuk mengetatkan otot rahim ibu dan mengawal pengaliran darah ke plasenta. Kontraksi Braxton Hicks tidak mengembangkan serviks semasa bersalin tetapi ia membantu melembutkan serviks.

Kontraksi braxton hicks menyamai kontraksi sebenar

Kekejangan perut berlaku kerana beberapa sebab yang berbeza. Walaupun kekejangan perut perkara yang biasa, ia tetap akan menyebabkan ketidakselesaan seterusnya menimbulkan kerisauan di kalangan wanita hamil. Sesetengah wanita hamil akan berasa kekejangan perut itu hampir serupa dengan kontraksi ringan. Keadaan ini dianggap normal namun adalah penting untuk anda faham dan peka tentang sebarang gejala yang boleh menimbulkan risiko terhadap bayi anda.

Tidak dinafikan, kontraksi Braxton Hicks ditakuti oleh para ibu kerana hampir menyamai kontraksi sebenar. Namun, ia membantu badan anda untuk bersedia menghadapi kontraksi yang sebenar dan memberi bayangan bagaimana anda akan lalui proses kelahiran bayi anda.

Sekiranya anda mengalami kekejangan perut semasa kehamilan dan berasa sangat tidak selesa, segera hubungi doktor anda untuk rawatan selanjutnya. Pengetahuan asas tentang gejala ini sangat penting untuk anda membuat keputusan tentang tahap kesakitan anda. Diagnosis diri adalah penting supaya anda boleh mengelakkan sebarang gejala yang membahayakan diri dan bayi anda.