Fahami Kenaikan Berat Badan Ibu Hamil

4 min bacaan

Salah satu perubahan kehamilan yang paling ketara ialah kenaikan berat badan ibu hamil. Sesetengah wanita berpendapat (atau diberitahu) bahawa ia adalah normal untuk makan dengan banyak semasa hamil sambil berfikir ‘ia untuk anak saya’ atau ‘baby saya yang teragak’. pendapat beginilah yang kadangkala mendorong wanita hamil untuk makan apa yang diidamkan tanpa memikirkan kesannya kepada diri dan kandungan.

Tahukah anda bahawa jika seseorang wanita hamil menghidap obesiti kehamilan, kebarangkalian komplikasi kesihatan yang mungkin akan membahayakan nyawa ibu dan bayi adalah tinggi. Jumlah wanita yang mempunyai berat badan berlebihan sebelum hamil adalah melebihi 50% dan ini agak membimbangkan.

Peningkatan berat badan pada trimester pertama

Pertambahan selera yang dialami oleh wanita semasa kehamilannya berbeza-beza, dan bergantung kepada fasa kehamilan itu sendiri. Bagi sesetengah wanita yang mengalami mual atau ‘morning sickness’ yang agak teruk akan tidak lalu makan kerana alahan kepada bau makanan. Manakala wanita hamil yang tidak mengalami gejala ini, akan makan seperti biasa seterusnya membuatkan mereka menambah berat badan lebih awal.

Namun peningkatan berat badan semasa kehamilan yang sebenar ialah pada trimester pertama iaitu bermula selepas tiga bulan kehamilan. Berat wanita hamil biasanya akan naik sekitar 454 gram setiap bulan pada trimester pertama. Anda perlu ingat, perkembangan bayi pada tempoh ini masih minimal oleh itu tidak perlu makan dengan sangat banyak. Jika anda beringat tentang hal, kenaikan berat badan ibu hamil yang sangat tinggi dapat dielakkan sekaligus mencegah komplikasi kesihatan seperti obesiti kehamilan.

Kenaikan berat badan ibu hamil mulai trimester kedua

Bagi wanita hamil yang baru pulih dari mual-mual, mungkin akan dapat makan seperti biasa. Kenaikan berat badan ibu hamil akan mula dikesan pada trimester kedua, namun bagi wanita hamil yang masih mengalami ‘morning sickness’ anda perlu berusaha juga untuk menambah berat badan anda.

Kenaikan berat badan ibu hamil pada trimester pertama

Doktor pasti akan memberikan perhatian khas terutamanya pada 2 golongan wanita hamil; yang terlebih berat badan dan yang tidak cukup berat badan. Setiap wanita hamil perlu mencapai BMI yang baik, sebagai contoh jika BMI anda sebelum hamil ialah 24.9 jadi anda perlu capai kadar yang sama semasa hamil.

Berat badan perlu dicapai pada trimester ketiga

Anggaran berat badan yang perlu dicapai adalah

  • sekitar 15 kg untuk wanita yang kurang berat badan,
  • 11 hingga 16 kg untuk wanita dengan berat badan normal dan
  • 7 hingga 9 kg untuk wanita yang mempunyai berat badan berlebihan.

Walau bagaimanapun, jumlah kenaikan berat badan ibu hamil bergantung kepada beberapa perkara seperti tahap kesihatan anda, berat badan sebelum hamil serta jumlah bayi yang dikandung.

Terdapat beberapa keadaan di mana sesetengah wanita akan mengalami kenaikan berat badan ibu hamil yang mendadak atau penurunan berat badan yang berisiko. Bagi mereka yang berhadapan dengan kenaikan berat badan ibu hamil yang agak tinggi hingga boleh membahayakan kandungan, mereka disarankan untuk menjalani diet kehamilan di bawah nasihat doktor untuk mencapai berat badan yang sihat dan sesuai.

Untuk mendapat kenaikan berat badan ideal ibu hamil, gunakan kalkulator ini.

Berat saya semakin naik, mengapa ia jadi begini?

Kebanyakan wanita hamil pasti akan bertanya soalan begini walaupun mereka mengawal diet pemakanan mereka. Mengapa berat badan masih meningkat ni? Alamak..risaunya. Sabar ya, ada jawapan yang rasional di sebalik kenaikan berat badan ibu hamil yang penuh misteri ini.

Kenaikan Berat badan ibu hamil perlu dicapai pada trimester ketiga

Semasa hamil, aliran darah dalam tubuh ibu-ibu akan bertambah termasuklah cecair yang mengelilingi bayi anda. Perkara lain yang membuatkan berat anda lebih tinggi dari biasa ialah simpanan nutrien dan lemak yang diperlukan oleh bayi. Oleh itu, jangan risau tentang berat anda yang meningkat walaupun anda mengamalkan rutin pemakanan yang seimbang.

Bahayakah berat badan berlebihan semasa hamil?

Ya, sudah tentu! Peningkatan berat badan yang berlebihan semasa hamil boleh menyebabkan kelahiran secara caesarean dan membuatkan anda berasa tidak selesa, lebih sakit serta perlu bersedia dengan masalah yang mungkin timbul semasa atau selepas kelahiran. Selain itu, wanita hamil yang berlebihan berat badan juga berhadapan dengan risiko diabetes kehamilan, walaupun mereka sihat atau bebas diabetes sebelum hamil.

Bahayakah berat badan berlebihan semasa hamil

Gangguan penyusuan juga boleh berlaku dan memberikan kesan kepada bayi mereka. Manakala wanita hamil yang kurang berat badan dan gagal menambah berat badan semasa hamil juga berhadapan dengan kelahiran pramatang di mana bayi mereka juga mungkin mempunyai berat badan yang rendah.

Nutrien yang mencukupi adalah penting untuk tumbesaran bayi anda. Jika peningkatan berat badan anda semasa hamil sangat banyak, segera rujuk doktor anda untuk tindakan selanjutnya. Begitu juga jika anda mengalami keadaan sebaliknya iaitu penurunan berat badan yang mendadak semasa hamil. Segera rujuk doktor dan ke hospital jika anda alami mana-mana keadaan di atas.