Tangani Hilang Selera Makan Ketika Hamil Dengan Mudah

3 min bacaan

Antara perkara yang perlu dialami oleh setiap wanita hamil ialah mual atau loya yang biasa dialami pada trimester pertama. Ini menyebabkan mereka tidak lalu makan atau hilang selera makan ketika hamil. Namun perkara ini adalah normal dan boleh dirawat.

Setiap wanita akan merasa sungguh gembira ketika hamil dan setiap saat berlalu dirasakan sungguh berharga. Walau bagaimanapun, mereka masih berasa gelisah dan bimbang dengan kandungan mereka. Perasaan berbelah bahagi ini sudah pasti dialami oleh setiap wanita hamil dan ini adalah pengalaman yang bercampur-baur.

Punca hilang selera makan ketika hamil

Punca hilang selera makan ketika hamil

  • Rasa loya akan mengurangkan keinginan untuk makan seterusnya boleh menyebabkan penurunan berat badan serta sukar untuk mendapatkan khasiat yang diperlukan oleh badan.
  • Sistem pencernaan yang lebih lambat berbanding biasa juga boleh mengganggu selera makan semasa hamil. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh tekanan dari rahim yang sedang membesar pada usus bawah. Ia menyebabkan penurunan atau hilang selera makan ketika hamil dan sembelit dan biasanya berlaku pada trimester kedua.
  • Peningkatan tahap progesteron pada awal kehamilan juga mempengaruhi selera makan wanita hamil. Hormon ini melambatkan keseluruhan proses pencernaan dan mengganggu keinginan mereka untuk makan.
  • Peningkatan penyerapan air oleh usus juga melambatkan sistem pencernaan, termasuk pengambilan zat besi semasa hamil yang turut menyebabkan sembelit di kalangan wanita hamil.
  • Hilang selera makan pada minggu-minggu terakhir kehamilan juga sering berlaku. Tekanan dari bayi yang sedang membesar ke atas perut ibu membuatkan mereka kurang berasa lapar.

Tips mengatasi hilang selera makan ketika hamil

Tips mengatasi hilang selera makan ketika hamil 

  • Makan dalam jumlah yang sedikit untuk memastikan anda tidak kelaparan dan membantu mengurangkan rasa mual.
  • Jika anda tidak boleh mengambil sarapan pagi seperti biasa, jangan paksa diri anda untuk makan. Makanlah apabila badan anda bersedia, juga dalam jumlah yang sedikit. Minum minuman yang sihat seperti susu atau jus buah-buahan dapat membantu tubuh anda yang kehilangan nutrien akibat hilang selera makan ketika hamil.
  • Jika penurunan selera makan berlaku pada trimester kedua, anda haruslah minum 8 hingga 10 gelas air setiap hari. Ini dapat membantu sistem pencernaan anda dan membuatkan anda tidak berasa terlalu lapar.
  • Pastikan diet seimbang anda mengandungi sayur-sayuran berdaun hijau dan makanan kaya serat bagi membantu melancarkan sistem pencernaan anda. Selain itu, tubuh anda akan mendapat khasiat yang diperlukan untuk perkembangan bayi dalam kandungan.
  • Elakkan makanan berlemak yang sukar untuk dicerna. Makan jumlah yangs sedikit sekitar 5 hingga 7 kali sepanjang hari yang dimulakan dengan 2 hidangan utama. Teruskan rutin pemakanan ini hingga trimester terakhir jika anda masih tidak berselera untuk makan.
  • Salah satu formula diet yang anda boleh ikuti ialah BRAT – Banana (Pisang), Rice (Nasi), Applesauce (Epal) dan Toast (Roti). Makanan ini memberikan nutrisi yang mencukupi dan tidak mengganggu perut. Bau makanan ini juga tidak mencetuskan rasa loya di kalangan wanita hamil.
  • Jika anda mengalami penurunan berat badan yang serius dan tidak lalu makan hingga anda berasa sangat letih, segera rujuk doktor anda. Penurunan berat badan semasa mengandung dan dehidrasi adalah dua perkara yang membahayakan ibu dan bayi.

Jangan berasa tertekan dengan keadaan yang anda alami ini, kerana ia juga adalah salah satu punca hilang selera makan ketika hamil. Kesimpulannya, sentiasa rujuk doktor anda dan laporkan sebarang gejala yang tidak normal dengan segera.