Kenali HELLP Sindrom

3 min bacaan

Sepanjang kehamilan, bakal-bakal ibu akan berdepan dengan pelbagai gejala. Ada di antaranya yang tidak membahayakan bayi, namun ada sesetengah gejala ini mempengaruhi ibu dan perkembangan bayi yang dikandung. Salah satunya ialah HELLP sindrom yang biasa berlaku pada wanita hamil ketika trimester ketiga atau 3 bulan terakhir mereka.

Sindrom ini terdiri daripada hemolisis iaitu sel darah merah yang pecah, enzim hati yang meningkat dan jumlah platelet yang rendah.

Terdapat kes di mana wanita hamil terdedah kepada praeklampsia atau eklampsia semasa kehamilan. Walau pun keadaan ini biasanya dikesan sebelum kelahiran bayi, ada juga kes terpencil yang berlaku setelah kelahiran bayi. Bagi wanita hamil yang pernah mengalami penyakit ini, mereka mungkin terpaksa berhadapan dengan penyakit yang sama untuk kehamilan seterusnya.

Gejala HELLP Sindrom

Antara gejala HELLP sindrom yang biasa dialami oleh wanita ialah rasa sakit atau lembut di bahagian kanan atas perut, sakit kepala, mual dan muntah. Punca yang membuatkan wanita hamil berasa sakit di perut mereka adalah pembesaran hati semasa kehamilan. Terdapat sesetengah keadaan di mana wanita hamil mengalami gejala-gejala seperti paresthesia dan edema.

Selain itu sindrom HELLP juga boleh membuatkan peningkatan tekanan darah tinggi, kekejangan, dan peningkatan protein yang tinggi dalam air kencing. Wanita hamil yang mengalami sindrom ini juga akan berdepan dengan pembengkakan di tangan dan wajah mereka. Hemolisis menyebabkan pembekuan darah dan anemia seterusnya menyebabkan pendarahan secara berlebihan. Keletihan juga merupakan salah satu gejala yang sering berlaku di kalangan wanita hamil yang mengalami HELLP sindrom.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh anemia hemolitik. Bagi wanita hamil yang agak berusia, dan mempunyai masalah berat badan berlebihan mereka mungkin akan mengalami masalah tekanan darah seterusnya menderita sindrom HELLP semasa kehamilan. Bagi keadaan wanita hamil yang mengalami kemerosotan kesihatan, kemudian koma, ini menandakan keadaan mereka telah menjadi lebih teruk dan mungkin telah berkembang menjadi eklampsia.

Sekiranya rawatan segera tidak dijalankan, bakal ibu mungkin berhadapan dengan kemungkinan kegagalan buah pinggang.

Diagnosis dan rawatan

Untuk mengenalpasti wanita hamil yang mengalami sindrom HELLP agak sukar kerana gejala-gejalanya hampir sama dengan gejala penyakit yang lain yang dialami oleh wanita hamil semasa kehamilan. Terdapat beberapa kes di mana wanita hamil diberikan diagnosis yang salah.

Yang Berkaitan:  5 Punca Pening Kepala Ketika Hamil dan Tips Mengatasinya

Sebagai contohnya seorang doktor telah memeriksa seorang wanita hamil yang mengalami gejala seperti penyakit pundi hempedu, hepatitis (radang hati) atau purpura thrombocytopenia idiopathic. Dalam contoh yang lain pula, seorang doktor melakukan pemeriksaan ke atas wanita hamil bagi memeriksa tekanan darah, fungsi hati, sel darah merah, jumlah platelet dan ujian air kencing untuk menentukan keberadaan protein di dalamnya seterusnya mengenalpasti adakah pesakit tersebut sebenarnya ada menghidap sindrom HELLP atau tidak.

Rawatan untuk pesakit sindrom HELLP bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit dan latar belakang perubatannya. Sekiranya keadaan wanita hamil tersebut tidak terlalu serius, doktor akan menyarankan mereka untuk berehat secukupnya di rumah.

Wanita hamil yang menderita anemia yang tinggi, mereka akan diberikan tranfusi darah dan janin akan dipantau dengan rapi untuk melihat adakah sindrom tersebut mempengaruhi pergerakan bayi. Bagi wanita yang menderita HELLP sindrom yang agak teruk, mereka akan disarankan untuk melalui proses kelahiran dengan segera.

Walaupun ketika itu kehamilan masih belum cukup matang, pembedahan mungkin akan dilakukan bagi menyelamatkan bayi.

Berita baiknya ialah sindrom ini akan beransur-ansur hilang setelah kelahiran bayi.

Kajian menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh wanita yang menghidap sindrom HELLP, berada dalam keadaan yang baik dan tidak mempunyai masalah kesihatan. Pemberian ubat-ubatan kepada wanita yang menderita sindrom HELLP, amat terhad kerana masih belum dapat dikenal pasti ubat yang sesuai untuk merawat sindrom ini.

Ubat yang biasa diberikan oleh doktor kepada wanita hamil ubat anti hipertensi untuk mengawal tekanan darah, dan magnesium sulfat untuk mencegah kekejangan. Setiap wanita hamil perlu maklum dan peka dengan keadaan kesihatan mereka sepanjang kehamilan.

Bagi wanita hamil yang didiagnosis mengalami HELLP sindrom, amat penting untuk mengenalpasti gejala-gejalanya dengan awal bagi mendapatkan rawatan yang sempurna.

Yang Berkaitan:  Kenali Carpal Tunnel Syndrome: Punca dan Rawatan

Terdapat kes-kes di mana pendarahan atau pemisahan awal plasenta dari rahim yang berlaku dan mengancam nyawa bayi. Pemahaman tentang HELLP sindrom amat penting bagi setiap wanita mereka supaya mereka dapat menjaga dan memantau keselamatan diri dan bayi mereka.