Virus CMV Sebab Jangan Cium Anak Di Mulut Atau Di Pipi

Virus CMV: Sebab Jangan Cium Anak Di Mulut Atau Di Pipi

3 min bacaan

Antara jangkitan virus yang sering dihidapi oleh wanita hamil ialah cytomegalovirus atau CMV. Ia adalah jangkitan kongenital yang boleh dijangkiti oleh bayi semasa kehamilan atau setelah kelahiran. CMV berkait rapat dengan herpes dan ia disebarkan melalui transfusi darah, kontak peribadi dan pemindahan organ. Faktor utama penyebaran CMV ialah melalui aktiviti seksual.

CMV

Di Amerika Syarikat hampir 50 – 80% wanita dijangkiti virus tersebut. Oleh kerana virus ini tidak mempunyai gejala, tanpa diketahui ibu yang telah dijangkiti mungkin akan memindahkan CMV ke janin melalui plasenta. Menurut Akademi Pediatrik Amerika, sekitar 1% bayi dilahirkan dengan jangkitan yang disebut sebagai CMV bawaan.

Kebanyakan bayi yang dilahirkan dengan CMV kongenital, mungkin tidak akan menunjukkan simptom atau gejala ketika kelahiran. 1 dari 10 bayi mungkin akan menunjukkan gejala seperti radang retina, penyakit kuning, kurang berat badan semasa kelahiran atau ruam ketika lahir. Kesan jangka panjang virus adalah seperti kehilangan pendengaran, keterbelakangan mental serta gangguan penglihatan.

Punca Cytomegalovirus

Virus ini akan merebak apabila seseorang terdedah dengan cecair dari tubuh pesakit seperti air liur, air kencing, najis, air mani, darah, air mata, rembesan vagina dan susu ibu. Jangkitan yang berbahaya ini juga boleh mempengaruhi plasenta atau bayi sepanjang tempoh kehamilan. CMV boleh menjangkiti bayi melalui darah semasa proses kelahiran atau susu ibu yang dijangkiti virus.

Simptom CMV pada orang dewasa dan kanak-kanak

Simptom CMV pada orang dewasa

Umumnya CMV tidak mempunyai gejala yang dapat dilihat pada orang dewasa. Namun terdapat beberapa situasi di mana individu yang dijangkiti akan mengalami beberapa gejala seperti selsema, serta pembengkakan kelenjar dan rasa letih yang melampau.

Manakala gejala kepada bayi adalah seperti:

  • Microcephaly atau ukuran kepala yang kecil
  • Hati dan limpa yang membesar
  • Jaundis atau penyakit kuning
  • Ruam semasa kelahiran
  • Kekejangan
  • Kurang berat badan, saiz bayi kecil
  • Keradangan pada retina

Diagnosis dan rawatan

Diagnosis dan rawatan CMV

Oleh kerana gejala cytomegalovirus sukar untuk dikesan, ujian untuk mengenalpasti jangkitan perlu dilakukan. Ujian ultrasound rutin akan dijalankan untuk memeriksa perkembangan bayi. Jika terdapat sesuatu yang tidak normal kepada janin, ujian darah perlu dilakukan sebelum pembenihan berlaku.

Sekiranya hasil ujian menunjukkan terdapat jangkitan beberapa ujian tambahan akan dilakukan untuk mengenalpasti adakah ia jangkitan utama atau jangkitan yang berulang. Beberapa ujian lain seperti ujian air kencing, amniosentesis, ujian air liur bayi, ujian tisu selepas kelahiran juga boleh dilakukan untuk pasti kewujudan jangkitan.

Sekiranya jangkitan CMV dikenalpasti pada bayi ia dapat dirawat dengan menggunakan ganciclovir atau globulin gama hiperimun dan terapi antibodi.

Untuk mengelakkan jangkitan ini wanita yang memegang anak kecil perlu berhati-hati. Jagalah kebersihan diri dengan mencuci tangan setelah menukar lampin atau setelah bersentuhan dengan cecair seperti air liur atau peluh yang datang dari badan. Anda tidak digalakkan untuk mencium kanak-kanak di mulut atau di pipi serta berkongsi barang dengan mereka. Wanita hamil yang bekerja di pusat asuhan juga disarankan untuk elak dari bekerja dengan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun.

Sekiranya anda dijangkiti cytomegalovirus, rujuklah pakar perubatan dengan segera. Pilihan rawatan akan diberikan kepada anda untuk dipilih. Setiap tahun hampir 30 000 kanak-kanak dilahirkan dengan jangkitan CMV yang mungkin menyebabkan kecacatan serius seperti Sindrom Down, sindrom alkohol janin dan kecacatan saluran saraf.

Setiap wanita dinasihatkan untuk memahami jangkitan ini dan berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengelakkan virus ini.