Apa itu Naluri Bersarang atau Nesting? Ada juga Tips

4 min bacaan

Pernah tak anda perasan keadaan seekor kucing yang hamil berpusing-pusing keliling rumah dan kelihatan gelisah? Tahukah anda ini ialah cara ibu kucing tersebut sedang bersedia sebelum kelahiran anak-anaknya? Begitu juga dengan burung-burung yang berterbangan dengan ranting kayu atau daun-daun untuk membina sarang mereka.

Apa itu naluri bersarang atau nesting

Persamaan antara kedua-dua jenis haiwan ini ialah mereka sedang mengalami naluri semulajadi untuk bersarang atau nesting semasa kehamilan. Wanita hamil juga mempunyai naluri yang serupa dan akan mulai berasa cemas menjelang kelahiran bayi. Mereka akan mula mengemas rumah, membasuh baju-baju bayi, mengemas bag pakaian ibu dan keperluan bayi yang akan dibawa ke hospital serta membeli barang-barang basah untuk disimpan dalam peti sejuk.

Naluri bersarang atau nesting

Keadaan wanita hamil yang kelam kabut mengemas dan membersihkan rumah dianggap sebagai salah satu gejala kehamilan, sama seperti mual atau mengidamkan sesuatu. Perasaan ingin membersihkan dan mengemas diri atau persekitarannya membuatkan seseorang wanita hamil menjadi lebih emosional atau tidak terkawal.

Mereka bimbang keperluan bayi yang tidak mencukupi, rumah tidak sempat dibersihkan apabila mereka berada di hospital dan sebagainya. Bersarang atau nesting adalah perkara biasa di mana wanita hamil ingin memastikan rumahnya berada dalam keadaan yang bersih dan kemas sebaik dia pulang dari hospital.

Antara aktiviti bersarang atau nesting yang akan dilakukan oleh wanita hamil:

Naluri bersarang atau nesting

  • membersihkan tandas atau tab mandi
  • membersihkan lantai
  • mengemop lantai
  • menyusun semula perabot
  • membuang barang-barang yang tidak diingini dari almari
  • menyusun semula almari pakaian dengan cara yang kemas
  • memasak
  • membersihkan kabinet dapur
  • memenuhkan peti sejuk dengan barang basah dan almari dengan stok makanan kering
  • menyiapkan, menghias serta memilih cat yang sesuai untuk bilik bayi
  • mencuci kereta / menghantar kereta ke kedai cuci kereta
  • menyeterika pakaian dan disusun dengan kemas dalam almari
  • membeli pakaian baru
  • mengemas keperluan untuk kelahiran (kelengkapan ibu dan anak)
  • membuang cadar dan tuala yang lama, dan membawa stok yang baru
  • mencuci, menyeterika, melipat, menyusun pakaian bayi lagi
  • membasmi kuman di dapur dan bilik-bilik lain

Wanita hamil juga akan lebih bersungguh-sungguh semasa melakukan perkara-perkara di atas berbanding wanita biasa. Ini mungkin kerana naluri seseorang wanita hamil yang berasa lebih risau atau tertekan dengan persiapan menjelang kelahiran sambil memastikan keadaan rumah dalam keadaan yang kemas dan bersih berbanding wanita biasa. Namun anda perlu berhati-hati dan tidak terlalu memenatkan diri anda. Jangan mengangkat barang yang berat atau bekerja terlalu lama.

Tips bersarang atau nesting untuk wanita hamil

Tips bersarang atau nesting untuk wanita hamil

Hampir setiap wanita hamil akan berasa tidak sabar dan terlalu gembira menantikan kelahiran cahaya mata mereka. Sepanjang proses menunggu ini, sesetengah wanita hamil akan cuba melakukan sesuatu untuk menghabiskan masa mereka di samping bersedia dengan semua keperluan yang penting. Ada yang terlalu bersungguh-sungguh hingga melakukan perkara yang boleh membahayakan mereka dan bayi seperti mengalihkan almari atau turun naik tangga berulang kali untuk membersihkan rumah.

Naluri bersarang atau nesting ini akan mulai dialami oleh wanita hamil seawal bulan kelima kehamilan mereka. Jika ini berlaku, mereka akan merasakan mereka cukup kuat dan bertenaga untuk membuat apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Di sinilah mereka salah dan berikut adalah antara tips yang boleh diikuti oleh wanita hamil yang ingin bersarang atau nesting semasa kehamilan mereka.

  • Elakkan mengecat bilik asuhan bayi. Lakukan senaman ringan mengikut nasihat doktor.
  • Sentiasa periksa kandungan bahan kimia dalam sabun yang digunakan untuk membersihkan rumah. Jangan menghidu asap yang kuat.
  • Pakai sarung tangan semasa membersihkan bekas najis haiwan peliharaan anda, atau lebih elakkan kerja ini buat sementara waktu.
  • Elakkan bermain dengan haiwan peliharaan anda, membersihkan halaman rumah atau berkebun.
  • Periksa dan buang makanan yang telah berkulat atau tamat tempoh, dan pastikan hanya makanan yang segar sahaja disimpan dalam peti sejuk anda. Amalkan diet yang seimbang.
  • Pastikan pakaian, cadar dan tuala siap dibasuh dan disimpan dalam bag kelengkapan kelahiran.
  • Nombor telefon atau alamat ahli keluarga terdekat dicatat dalam telefon dan mereka maklum tentang keadaan anda.
  • Sediakan senarai individu yang perlu dihubungi.

Pastikan pakaian, cadar dan tuala siap dibasuh dan disimpan dalam bag bersarang atau nesting

  • Selesaikan urusan pendaftaran di hospital pilihan lebih awal bagi menjimatkan masa menjelang kelahiran bayi.
  • Sediakan peta atau alamat ke hospital untuk ahli keluarga anda, anda tidak akan mampu bersuara dengan tenang apabila kontraksi mula menyerang.
  • Sentiasa periksa dua kali semua kelengkapan kelahiran sebelum ke hospital.
  • Pastikan pengasuh atau ahli keluarga terdekat untuk bersedia menjaga anak yang lebih tua apabila anda ke hospital untuk kelahiran.
  • Beli dan pasangkan tempat duduk bayi dalam kereta (baby seat).
  • Sediakan senarai nombor telefon waris untuk kecemasan, maklumat kad insurans, kad pengenalan, kad kredit, kad ATM berada dalam dompet anda.
  • Susun pakaian bayi, lampin, krim ruam, dll dengan cara yang kemas.
  • Isi almari dapur anda dengan makan sihat seperti sup, kacang, bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, pasta, beras perang dll
  • Menjelang dua atau tiga minggu sebelum kelahiran, masak dalam jumlah yang banyak dan simpan dalam peti sejuk. Ini adalah supaya makanan tersebut boleh dipanaskan dan dimakan semula selepas pulang dari hospital.

Walaupun sesetengah wanita hamil mengalami keadaan bersarang atau nesting seawal bulan kelima kehamilan, ada juga yang mengalaminya sehari sebelum kelahiran. Naluri ini dianggap sebagai perkara yang positif bagi menggalakkan wanita hamil bersedia sebelum kelahiran dan mengelakkan keadaan kelam kabut.

Namun, ada juga wanita hamil yang tidak mengalami sebarang naluri bersarang atau nesting ini, kerana adakalanya bakal ayah pula yang merasainya! Diharapkan tips yang dikongsikan ini dapat membantu anda mengenalpasti cara-cara yang betul ketika bersarang atau nesting.