Naik Turun Berat Badan Semasa Mengandung Tetap Memudaratkan

3 min bacaan

Mana-mana wanita amat takut untuk menimbang berat badan mereka dan mendapati berat mereka bertambah. Wanita hamil juga tidak terkecuali, berat badan semasa mengandung sering menjadi isu perbincangan di kalangan wanita hamil dan mereka akan berasa lebih tidak tenteram dengan bentuk fizikal mereka walaupun mereka sedar mereka sedang hamil. Seorang wanita hamil tidak perlu makan terlalu banyak, seperti yang dikatakan oleh orang zaman dahulu iaitu makan untuk dua orang.

Berat Badan Semasa Mengandung

Amalan pemakanan yang sihat sangat perlu semasa kehamilan untuk kesihatan badan serta bayi. Doktor menyarankan agar wanita hamil tidak makan dalam jumlah yang banyak supaya tidak mempunyai berat badan yang berlebihan. Adalah penting untuk seseorang wanita hamil berada dalam keadaan yang sihat untuk melahirkan bayi yang sihat.

Peningkatan berat badan semasa mengandung berbeza mengikut minggu kehamilan. Penting untuk setiap wanita hamil tahu bahawa kenaikan berat badan semasa mengandung adalah perkara biasa. Namun, kenaikan ini perlu dipantau oleh doktor dan diri anda sendiri supaya tidak melebihi had yang sepatutnya. Jika berlaku peningkatan berat badan semasa mengandung yang berlebihan, ia mungkin akan memudaratkan diri anda dan bayi.

Kenaikan berat badan semasa mengandung

Kenaikan berat badan semasa mengandung

Seperti yang disebut tadi, kenaikan berat badan semasa mengandung yang melebihi kadar yang ditetapkan oleh doktor anda akan menyebabkan komplikasi ke atas diri anda dan bayi dalam kandungan. Kaedah yang paling selamat ialah dengan menjalani diet pemakanan yang ketat dan seimbang. Rawatan ini perlu ditetapkan oleh doktor kerana hanya doktor anda yang faham apa yang perlu diambil dan apa yang perlu dielakkan dan jumlah setiap pengambilan.

Selain itu, kesihatan bayi adalah keutamaan jika anda memilih (atau dinasihatkan oleh doktor) untuk menjalani diet seimbang yang ketat. Nutrien yang mencukupi adalah penting untuk tumbesaran bayi anda. Kekurangan zat makanan yang diperlukan akan memberi kesan negatif pada anda dan bayi.

Diet kehamilan boleh dijalani oleh wanita hamil untuk menurunkan berat badan semasa mengandung yang berlebihan. Makanan yang dipilih perlu mengikut sukatan khasiat yang disarankan oleh doktor anda, mengikut waktu hidangan; sarapan pagi, makan tengahari, dan makan malam. Jika anda mengalami gejala mual di aman perut anda tidak boleh kosong, pilihlah makanan yang sesuai seperti biskut bijirin atau kekacang. Jangan pula anda makan roti bakar dengan jem pada jam 3 pagi.

Perkara penting yang perlu anda ingat ialah, anda akan kehilangan berat badan anda selepas kelahiran bayi anda. Jika tidak banyak yang turun, tidak mengapa. Anda boleh mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat tanpa membahayakan bayi anda.

Berat badan turun semasa mengandung

Berat badan turun semasa mengandung

Ini adalah keadaan yang memerlukan perhatian doktor anda dengan segera. Ini kerana punca-punca yang dikenalpasti boleh membahayakan bayi anda.

  • Kebanyakan wanita akan mengalami mual-mual atau ‘morning sickness dan mereka tidak dapat makan mengikut jadual dan sukatan yang betul. Sesetengah wanita hamil terpaksa berhadapan dengan keadaan ini hingga ke fasa akhir kehamilannya. Ini menyebabkan berat badannya tidak meningkat mengikut jumlah yang sepatutnya.
  • Pengambilan alkohol dan penyalahgunaan dadah juga adalah salah satu punca mengapa seseorang wanita hamil itu tidak bertambah berisi semasa hamil. Ia berbahaya bagi ibu dan bayi kerana ketiadaan nutrisi yang diperlukan badan yang akan menyebabkan komplikasi lain.
  • Penyakit Crohn juga mungkin akan menyebabkan penurunan berat badan. Sistem pencernaan yang terganggu akan membengkak atau menjadi radang usus dan mempengaruhi sistem pencernaan anda.
  • Antara punca lain pengurangan berat badan semasa mengandung juga ialah kemurungan. Perubahan hormon yang dialami semasa kehamilan mungkin akan membuatkan seseorang wanita hamil itu berasa murung atau tertekan dengan pelbagai perkara. Jika anda mengalami pemikiran yang terganggu, segera hubungi doktor anda dan dapatkan nasihatnya untuk mencegah keadaan ini.

Kebanyakan wanita mengamalkan diet semasa kehamilan kerana bimbang kesukaran menurunkan berat selepas kelahiran. Kebimbangan ini ditambah dengan tanggapan bahawa pasangan mereka akan hilang minat dengan mereka atau mereka akan kelihatan tidak menarik lagi. Wanita hamil yang berlebihan berat badan semasa mengandung akan mudah terdedah kepada diabetes, masalah jantung, diabetes kehamilan dan masalah kolesterol semasa atau selepas kehamilan.