Bengkak Tangan Pada Ibu Hamil: Pre-eklampsia atau Edema?

3 min bacaan

Kebanyakan wanita hamil mengakui bahawa bengkak tangan pada ibu hamil atau pembengkakan pada pergelangan kaki, kaki dan tangan adalah satu ketidakselesaan yang perlu mereka lalui. Keadaan ini berlaku bila cecair berlebihan dihasilkan oleh badan dan dikumpulkan di dalam tisu. Ini menyebabkan pembengkakan berlaku di tangan dan kaki.

Gejala ini juga dikenali sebagai edema, namun ia dianggap sebagai perkara normal semasa kehamilan. Walau bagaimanapun, jika gejala pembengkakan ini menjadi lebih teruk sehingga ke arah pre-eklamsia, rawatan yang segera diperlukan.

Punca bengkak tangan pada ibu hamil

Punca bengkak tangan pada ibu hamil

Sistem peredaran darah wanita hamil akan mengembang untuk peningkatan aliran darah kepada janin yang sedang membesar. Seseorang wanita hamil menghasilkan lebih kurang 50% lebih banyak darah dan cecair untuk membantu tumbesaran janin. Oleh itu pembengkakan yang berlaku di tangan adalah perkara yang biasa dialami semasa kehamilan.

Anda juga mungkin akan mengalami pembengkakan pada wajah, kaki, dan pergelangan kaki. Cecair yang berlebihan dihasilkan oleh badan wanita hamil untuk melembutkan badan serta meningkatkan proses pembukaan sendi pelvis dan tisu sebagai persiapan kelahiran bayi. Cecair tambahan di dalam tubuh wanita hamil adalah sekitar 20% dari kenaikan berat badan sepanjang fasa kehamilan.

Sesetengah wanita akan mengalami pembengkakan di tangan semasa awal kehamilan, pembengkakan diperhatikan berlaku pada bulan kelima kehamilan. Pada trimester ketiga pembengkakan akan meningkat dengan ketara pada setiap minggu. Cuaca yang panas, peningkatan aktiviti fizikal, pengambilan diet natrium yang tinggi dan diet kalium yang rendah, serta pengambilan kafein yang berlebihan boleh menyebabkan tangan membengkak.

Tips untuk mengurangkan bengkak tangan pada ibu hamil

Tips untuk mengurangkan bengkak tangan pada ibu hamil

  • Cuba elakkan daripada melakukan aktiviti fizikal yang lasak atau bekerja sepanjang hari.
  • Kebanyakan wanita hamil menghabiskan masa dengan berdiri dengan lama yang menyebabkan kakinya membengkak, dan ada juga menggunakan komputer dengan sangat lama yang menyebabkan tangannya membengkak.
  • Anda tidak perlu berehat sepenuhnya, tetapi adalah lebih baik untuk mengurangkan aktiviti fizikal dan tidak melakukan sebarang aktiviti regangan badan anda.
  • Senaman ringan seperti berjalan, berjoging dan berenang boleh dilakukan untuk melancarkan peredaran darah.
  • Elakkan untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal semasa cuaca panas.
  • Anda juga dinasihatkan untuk memilih pakaian yang tidak ketat di bahagian bahu dan pergelangan tangan anda.
  • Pembengkakan di tangan atau kaki anda boleh diredakan dengan menuam dengan ais.
  • Oleh kerana jumlah cecair yang meningkat di dalam badan semasa hamil, adalah sangat penting untuk minum air yang banyak bagi menghilangkan toksin dari badan.
  • Perkara yang paling penting adalah diet pemakanan yang sesuai. Pengambilan garam ( natrium ) perlu dikurangkan, anda juga perlu elakkan pengambilan makanan segera, makanan ringan, makanan yang diproses dan makanan dalam tin.

Pre-eklampsia (pembengkakan tangan )

Pre-eklampsia bengkak tangan pada ibu hamil

Sekiranya tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing dikesan semasa kehamilan, bermakna anda mengalami pre-eklampsia. Keadaan ini biasanya berlaku pada trimester kedua kehamilan. Antara gejalanya ialah tangan dan kaki yang bengkak, gatal-gatal, sakit kepala, penglihatan kabur, sakit perut, dan denyutan nadi yang tinggi. Rawatan yang segera diperlukan kerana ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius. Doktor akan mengawal bengkak tangan pada ibu hamil dengan memberikan ubat yang sesuai untuk menurunkan tekanan darah tinggi.

Sekiranya keadaan ini dialami oleh individu biasa, adalah sukar untuk mengenalpasti perbezaan antara bengkak tangan pada ibu hamil yang normal dengan pembengkakan yang serius. Bagi wanita hamil, pemeriksaan pranatal dapat dilakukan untuk memantau kesihatan ibu dan bayinya. Oleh itu, sekiranya anda mengalami sebarang pembengkakan di tangan atau di mana-mana bahagian badan anda, segera rujuk doktor anda untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Mengamalkan diet yang seimbang serta mengurangkan pengambilan makanan yang boleh membahayakan ibu dan bayi, merupakan salah satu cara yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan bengkak tangan pada ibu hamil. Semasa kehamilan, kesihatan badan anda serta tumbesaran bayi dalam kandungan anda adalah perkara yang paling penting dan perlu diutamakan.