Apa itu Kelahiran Pramatang?

2 min bacaan

Terdapat pelbagai gejala yang mungkin anda akan hadapi semasa hamil. Rasa tidak selesa, sakit belakang atau pinggang serta keletihan adalah antara keadaan yang biasa dialami sepanjang tempoh kehamilan.

Namun, rasa tidak selesa atau sakit-sakit ini juga mungkin petunjuk kepada perkara lain. Salah satu darinya adalah kelahiran pramatang.

Apakah kelahiran pramatang?

Apa itu Kelahiran pramatang

Kelahiran pramatang juga dikenali sebagai proses melahirkan bayi sebelum usia kandungan 37 minggu.

Sesetengah kes ada yang mengatakan bahawa seseorang wanita hamil boleh melalui kelahiran pramatang seawal minggu ke 20 kehamilan.

Gejala kelahiran pramatang sama seperti kelahiran normal, termasuk kontraksi teratur berlaku setiap lima (5) hingga sepuluh (10) minit kepada satu kontraksi setiap jam. Ada wanita mengalami kebocoran air ketuban.

Namun begitu, sejumlah kecil wanita tidak mengalami kontraksi, tetapi pangkal rahim (serviks) akan membuka secara perlahan-lahan tanpa diketahui oleh ibu-ibu.

Siapa yang berisiko?

Keadaan ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Namun bakal-bakal ibu yang pernah mengalami keguguran atau kelahiran pramatang sebelum ini mungkin akan berhadapan dengan keadaan ini sekali lagi.

Namun, jangan risau kerana doktor anda akan melakukan semua yang termampu untuk mengelakkan kelahiran pramatang seterusnya membolehkan anda meneruskan kehamilan anda hingga trimester ketiga (ke-3) dengan selamat.

Mengapakah kelahiran pramatang berlaku?

Pasti anda tertanya-tanya, mengapakah kelahiran pramatang boleh terjadi dan adakah saya juga berisiko untuk lalui perkara ini jika saya mempunyai simptom-simptomnya?

Perkara pertama yang perlu anda ketahui ialah bagaimanakah rasa sakit sebelum kelahiran itu berlaku. Apabila proses kelahiran bermula, rahim anda akan mengalami kontraksi dan serviks anda akan terbuka. Rahim anda akan menipis untuk bersedia dengan kelahiran bayi.

Yang Berkaitan:  Adakah Kehamilan Pertama dan Kedua Berbeda?

Apabila rahim anda cukup nipis, air ketuban anda akan pecah dan bayi akan kekal di posisi yang betul untuk proses kelahiran.

Sekiranya keadaan ini anda alami terlalu awal, ia adalah tanda-tanda kelahiran pra-jangka. Ia menjurus kepada beberapa punca.

  • Preeklampsia
  • Kehamilan kembar
  • Jangkitan
  • Pemisahan plasenta dari dinding rahim
  • Serviks yang tidak cukup kuat

Gejala-gejala yang dihadapi

Pasti anda akan berasa cemas sekarang apabila membaca artikel ini. Usah risau kerana apa yang anda perlu lakukan adalah perhatikan gejala-gejala berikut untuk memastikan anda buka sedang melalui kelahiran pramatang.

Sakit perut dan kontraksi adalah antara tanda-tanda kelahiran pramatang yang anda perlu perhatikan. Ia juga adalah tanda-tanda yang biasa dialami oleh setiap wanita hamil, oleh itu anda perlu fokus kepada beberapa tanda-tanda sampingan.

Sekiranya rasa sakit berlaku pada sebelum tarikh kelahiran (due date) anda, diiringi demam atau pendarahan, anda mungkin sedang lalui kelahiran pra-jangka.

Oleh itu, jangan panik dan hubungi doktor anda dengan segera atau ke hospital berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Doktor anda akan membuat pemeriksaan menyeluruh untuk mengenalpasti keadaan anda dan bayi.

Langkah segera akan diambil untuk menghentikan kelahiran pramatang ini, atau jika ia tidak dapat dihentikan, memastikan anda melalui kelahiran yang selamat dan berjaya dengan kelahiran bayi yang sihat.

Adalah sangat penting untuk setiap wanita memberi perhatian yang khusus kepada isyarat yang diberikan oleh tubuh mereka yang mungkin petanda bahawa ada yang tidak kena.

Walaupun anda tidak pasti, hubungi doktor anda untuk mendapatkan pengesahan walaupun ia kemudiannya mungkin amaran palsu. Perkara yang paling penting adalah memastikan bayi anda selamat dan sihat dalam kandungan.

Yang Berkaitan:  Kenali Tanda Gugur Demi Keselamatan Ibu Hamil