5 Tips Pemakanan Ibu Hamil Yang Sesuai

3 min bacaan

5 Tips Pemakanan Ibu Hamil Yang Sesuai

Amalan pemakanan yang seimbang adalah sangat penting untuk setiap wanita hamil. Terdapat pelbagai tips-tips dan petua yang sering menekankan tentang kepentingan makanan yang berkhasiat sepanjang kehamilan. Jadi mengapakah sesetengah bakal-bakal ibu masih tidak mengambil makanan seimbang yang diperlukannya?

Sebiji epal sehari akan menjauhkan doktor

Perumpamaan ini sering digunakan untuk menggambarkan kepentingan pengambilan makanan yang sihat dan bagaimana ia akan membantu anda mencapai kesihatan yang optimum.

Mungkin jika anda mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang diperlukan setiap hari, anda mungkin tidak akan perlu berjumpa doktor untuk masa yang panjang.

Sebagai contoh, pengambilan sebiji epal sehari sepanjang kehamilan dapat mengurangkan risiko anak anda menghidap asma apabila dia meningkat dewasa.

Terdapat kajian yang menunjukkan kesan positif sekiranya bakal-bakal ibu makan sebiji epal secara rutin sepanjang kehamilan mereka, anak-anak mereka tidak akan mudah terdedah kepada masalah kesihatan dan penyakit asma.

Buah pisang mengurangkan bengkak

Antara gejala kehamilan yang akan dialami oleh makan wanita hamil adalah edema yang juga dikenali sebagai pembengkakan. Keadaan pembengkakan ini biasa terjadi kaki dan tangan akibat peningkatan berat badan semasa hamil.

Pengambilan kalium akan dapat membantu mengurangkan pembengkakan kaki dan tangan anda. Salah satu sumber makanan yang mempunyai kalium yang tinggi adalah pisang.

Oleh itu makanlah buah pisang dengan banyak supaya anda dapat mengurangkan bengkak-bengkak di kaki dan tangan anda.

Makan coklat untuk keselamatan bayi

Apa? Saya boleh makan coklat semasa hamil? Ya, anda tidak salah dengar. Kajian yang dijalankan oleh para saintis di Finland pada tahun 2004 mendapati bahawa pengambilan coklat dalam jumlah yang sedikit dan terkawal sepanjang kehamilan boleh menyebabkan bayi mereka lebih gembira.

Seramai 300 orang wanita hamil telah diselidik tentang pengambilan coklat sepanjang kehamilan mereka dan mereka menyatakan bayi mereka lebih gembira berbanding rakan yang lain.

Namun ini bukanlah alasan untuk anda makan coklat sesuka hati. Anda boleh makan coklat dalam jumlah yang sedikit setiap hari supaya anda dapat melepaskan rasa mengidam anda dan dalam masa yang sama membuat bayi anda berasa gembira.

Susu tanpa lemak atau susu asli

Adakah susu tanpa lemak lebih baik berbanding susu asli? Adakah anda tidak akan menjadi lebih gemuk sekiranya minum susu tanpa lemak? Persoalan ini sering ditanya oleh wanita hamil kerana bimbang peningkatan berat badan yang berlebihan akibat pengambilan susu sepanjang kehamilan mereka.

Susu tanpa lemak atau susu skim dan susu asli tidak mempunyai perbezaan. Susu tanpa lemak tetap mempunyai kalsium yang sama seperti susu biasa. Oleh itu anda boleh minum mana-mana jenis susu tanpa rasa risau tentang kalori dan menikmati semua faedahnya kepada tubuh anda.

Mengidam arang batu dan lumpur?

Aduh.. Peliknya rasa mengidam sesetengah wanita hamil ini. Namun ia perkara yang biasa dialami oleh mereka dan terdapat maksud di sebalik rasa mengidam ini.

Pakar perubatan mengatakan sekiranya anda mempunyai keinginan untuk makan arang batu atau lumpur, ia adalah tanda-tanda yang menunjukkan tubuh anda memerlukan lebih banyak zat besi.

Hubungilah doktor anda dan jalanilah ujian untuk memeriksa sekiranya anda menghidap anemia. Anda boleh menambah pengambilan makanan yang mengandungi zat besi, dan mungkin akan diberi suplemen zat besi berdasarkan keadaan tertentu.

Perkara-perkara yang disebut di atas ini sering menjadi kebimbangan setiap wanita hamil. Pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat mempunyai kesan yang sangat penting terhadap tubuh wanita hamil serta kesihatan bayi mereka.

Amalkanlah pengambilan makanan-makanan yang disebut di atas untuk memastikan anda mendapat faedah yang optimum dan memastikan bayi anda berada dalam keadaan selamat.