Cara Hilang Selsema Bayi Di Rumah

7 min bacaan

Biasanya selsema tidak memerlukan rawatan perubatan. Ada masanya doktor mungkin akan memberikan ubat anti-virus bagi seseorang yang menghidap selsema. Kesan ubat tersebut akan dapat dilihat selepas dua (2) hari pengambilannya. Ubat tersebut juga akan mengurangkan gejala selsema dan meredakan selsema dalam tempoh beberapa hari.

Namun ia mempunyai beberapa kesan sampingan, dan adalah lebih baik untuk merujuk doktor anda dahulu untuk mengenalpasti kebaikan dan keburukan pengambilannya.

Doktor tidak akan mengesyorkan ubat antibiotik untuk penyakit selsema. Ini kerana antibiotik hanya berkesan ke atas bakteria dan bukan virus.

Rawatan di rumah

Ibu-ibu pasti akan berasa susah hati apabila bayi mereka menghidap selsema atau apa-apa jenis penyakit pun. Ini kerana bayi tidak boleh diberikan ubat seperti orang dewasa. Terdapat cara hilang selsema bayi di rumah yang sesuai untuk bayi yang mengalami selsema.

Berikut adalah beberapa cadangan yang anda boleh cuba.

Jangan beri ubat selsema

Adalah satu kebiasaan untuk bayi kerap jatuh sakit semasa mereka berusia kurang dua (2) tahun. Pada tahun pertama, bayi anda mungkin akan sering mengalami selsema sehingga tujuh (7) kali. Anda perlu bersedia menenangkan bayi anda yang tidak selesa dengan hidung mereka yang sentiasa berair dan beberapa malam tanpa tidur.

Ubat selsema yang boleh didapati di farmasi tidak disarankan untuk kanak-kanak berusia dua (2) tahun ke bawah. Namun jangan risau kerana terdapat cara hilang selsema bayi dan bahan semula jadi yang dapat membantu melegakan selsema yang dialami bayi anda dan menenangkan hati ibu-ibu.

Tinggikan tempat tidur bayi

Untuk membantu bayi anda tidur dengan baik pada waktu malam, tinggikan bahagian kepala atau bantal bayi anda. Ini akan membuatkan tarikan graviti di sisi mereka membantu untuk mengeringkan mukus atau hingus dan bayi anda akan dapat bernafas dengan mudah.

Yang Berkaitan:  Kenali Ruam Bayi: Punca, Jenis, Rawatan dan Langkah Pencegahan

Anda juga boleh letakkan beberapa buah buku atau tuala yang digulung di bawah tilam bayi untuk meninggikan satu sisi tilam beberapa inci. Jangan gunakan bantal untuk menopang atau meninggikan kepala bayi anda kerana ia akan meningkatkan kemungkinan sesak nafas atau ‘sudden infant death syndrome (SIDS)’.

Beri ubat titis hidung

Membilas atau membersihkan hidung bayi anda akan dapat melegakan hidung tersumbat kerana ia mencairkan mukus atau hingus pekat yang menyekat hidung bayi anda. Anda boleh beli ubat titis hidung atau spray di farmasi atau hasilkan ubat anda sendiri.

  • Kacau setengah (1/2) susu teh garam ke dalam segelas air suam.
  • Baringkan bayi anda secara menelentang, titiskan dua (2) hingga tiga (3) campuran air garam tadi menggunakan penitis.
  • Lapkan mukus atau anda boleh juga gunakan penyedut cecair untuk menyedut sebarang mukus atau cecair yang ada di dalam hidung bayi anda.

Memberi bayi air yang banyak

Cecair mukus boleh membuatkan hidung bayi and tersumbat dan berasa tidak selesa. Ia juga akan membuatkan bayi anda mengalami dehidrasi. Berikan bayi anda susu sekerap yang boleh, dan jangan beri mereka minuman lain seperti minuman ringan dan jus kerana ia mengandungi jumlah gula yang tinggi.

Bagaimana anda ingin tahu sama ada bayi anda minum susu secukupnya? Anda boleh lihat warna air kencing bayi anda dan pastikan ia berwarna jernih. Jika warna air kencing bayi anda pekat dan kekuningan, galakkan mereka untuk minum lebih banyak susu.

Sedut hidung bayi anda

Anda boleh pastikan hidung bayi anda bersih dan tidak tersumbat dengan menggunakan ‘rubber bulb syringe’, sejenis penyedut hidung yang anda boleh beli di farmasi.

  • Picit ‘bulb syringe’ itu untuk membuang angin di dalamnya, kemudian masukkan muncung ‘bulb syringe’ itu ke dalam lubang hidung bayi anda sekitar 1/4 hingga 1/2 inci (lebih kurang 6 hingga 12 milimeter).
  • Lepaskan ‘bulb syringe’ itu, pegang ia sambil ia menyedut mukus atau hingus dari hidung bayi anda.
  • Alihkan syringe tersebut dan bersihkannya menggunakan tisu.
  • Ulang langkah yang sama beberapa kali di lubang hidung sebelah pula.
  • Bersihkan ‘bulb syringe’ menggunakan air dan sabun.

Hidangkan sup ayam

Orang dulu-dulu nampaknya berkata benar; sup ayam memang ubat yang terbaik untuk orang yang sedang sakit. Kajian membuktikan bahawa sup ayam memberikan faedah yang banyak.

Yang Berkaitan:  Cara Merawat Bayi Demam Dengan Selamat

Khasiat yang terkandung dalam bahan-bahan yang digunakan untuk mereneh sup ayam seperti ayam dan sayur-sayuran dapat melegakan keradangan yang merupakan punca berlakunya gejala-gejala selsema.

Menghirup sup yang panas dapat menipiskan mukus dan hingus serta melegakan hidung tersumbat. Jika bayi anda masih kecil dan belum boleh makan makanan yang pejal, anda boleh kisarkan sup tersebut atau hanya memberikan bayi anda kuah sup sahaja.

Gunakan alat pelembap udara

Melembapkan udara dapat membantu mengurangkan batuk dan hisung tersumbat. Untuk memastikan bayi anda selamat, anda boleh gunakan alat pelembap ‘cool-mist’. Wap dan air panas berisiko menyebabkan melecur pula.

Anda perlu menukar air setiap hari dan bersihkan alat pelembap udara anda mengikut arahan dengan betul. Ia bagi mengelakkan bakteria dan kulat membiak di dalam alat pelembap udara anda.

Mewujudkan bilik stim / bilik sauna

Jika anda dapati bayi anda berasa tidak selesa kerana hidungnya tersumbat, cuba wujudkan bilik stim anda sendiri.

  • Buka air panas di bilik air anda dalam keadaan pintu ditutup. Biarkan bilik air anda dipenuhi dengan wap panas.
  • Kemudian duduk di dalam bilik air anda selama 10 hingga 15 minit.
  • Bawa buku atau mainan bersama untuk menghiburkan bayi anda selama anda duduk dalam bilik air itu.
  • Bernafas dalam udara yang panas dan lembap akan menghilangkan hidung tersumbat.

Waktu yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti ini adalah sebelum waktu tidur bayi anda. Bayi anda pasti akan dapat tidur dengan selesa selepas itu.

Hilangkan asap

Elakkan bayi anda berada dalam satu bilik bersama perokok. Asap rokok hanya akan membuatkan selsema bayi anda menjadi lebih teruk dan membuatkan hidung dan kerongkong bertambah tidak selesa.

Tahukah anda kanak-kanak yang menjadi ‘passive smoker’ akan menghadapi kesukaran untuk sembuh. Selain itu mereka juga terdedah kepada penyakit seperti bronkitis dan radang paru-paru (pneumonia).

Jauhi perokok dan tempat yang dipenuhi asap rokok, dan anda boleh minta ahli keluarga anda untuk tidak merokok di dalam rumah anda.

Banyakkan rehat

Tidur yang mencukupi adalah punca sistem imun badan yang sihat. Ia akan membantu bayi anda melawan virus selsema. Anda boleh bantu bayi anda tidur dengan nyenyak dan selesa dengan membersihkan hidung bayi anda dengan ubat titis dan ‘bulb syringe’ sebelum waktu tidur mereka. Jangan lupa untuk peluk dan dodoikan mereka kerana ini akan membuatkan bayi anda berasa selesa dan bertenang.

Yang Berkaitan:  7 Cara Hilang Batuk Bayi Di Rumah Tanpa Bantuan Doktor

Cuba mandi span

Mandi air suam dengan menggunakan span dapat membantu melegakan bayi yang tidak selesa atau yang hampir demam dan ia mungkin boleh turunkan suhu badan bayi anda yang tinggi.

Penuhkan tab mandi dengan air suam, dan gunakan span atau kain lap untuk mengelap badan bayi anda. Jangan gunakan air sejuk, ais atau alkohol. Jika bayi anda kesejukan, keluarkan mereka dengan segera dan keringkan badan mereka.

Berikan makanan yang berkhasiat

Ada pepatah yang mengatakan untuk mengutamakan jenis penyakit tertentu untuk dirawat dan membiarkan penyakit yang lain untuk sembuh sendiri. Ini sama sekali tidak benar kerana bayi dan kanak-kanak memerlukan nutrisi yang mencukupi untuk melawan penyakit seperti selsema dan untuk menguatkan sistem imun badan mereka.

Jika bayi anda telah mula makan makanan yang pejal, berikan mereka makanan yang kaya protein, sayur-sayuran dan lemak yang sihat. Jika anda menyusukan bayi anda sendiri, teruskan kerana susu ibu melindungi bayi dari kuman yang menyebabkan selsema.

Beri madu kepada bayi berusia satu tahun ke atas

Jika bayi anda berusia satu tahun ke atas, anda boleh berikan satu susu madu lebah kepadanya untuk melegakan batuk pada waktu malam. Kajian menyatakan bahawa kanak-kanak yang tidak sihat akan kurang batuk dan tidur dengan lebih selesa apabila diberikan satu sudu teh dan setengah madu lebah sebelum waktu tidur mereka.

Jangan berikan madu kepada bayi yang berusia kuran satu tahun ya. Ia boleh menyebabkan penyakit serius lain pula iaitu botulisme.

Bilakah masa yang sesuai untuk berjumpa doktor?

Dalam sesetengah waktu, selsema boleh menyebabkan penyakit lain yang lebih serius. Segera hubungi pakar kanak-kanak jika bayi anda berusia kurang daripada tiga (3) bulan dan suhunya amat tinggi hingga mencecah 100.4F (38°C) atau lebih tinggi dari itu, bayi anda merengek tidak selesa atau tidak mahu minum susu.

Jika bayi anda berusia tiga (3) bulan ke atas, hubungi doktor jika telinga bayi anda sakit atau sukar bernafas, batuk yang melebihi seminggu, atau mukus dan hingus yang masih ada selepas 10 – 14 hari. Jika suhu badan bayi anda melebihi 100.4F (38°C) selama 3 hari juga perlu dirujuk dengan doktor dengan segera.